Warga kota di Kuala Lumpur ini siang dan malamnya memang sentiasa ceria dengan berbagai kesibukan rempah ratus kehidupan. Siang sibuk dengan kegiatan mencari sumber rezeki, manakala sebelah malamnya selain daripada memerap di rumah menonton TV bersama keluarga, ada juga yang tidak melekat di rumah untuk bersantai di warung-warung kopi.
(Foto sebelah - Dato' Hj Jawahar Ali, Pemilik Restoran Ali Maju)
Mereka mempunyai banyak pilihan untuk memenuhi selera malam. Jika mereka inginkan suasana berprestij, mungkin mereka akan melepak di restoran-restoran seperti Old Town White Coffee, Starbucks, Coffee Bean dan jika kita berada di sekitar Taman Seri Rampai, Taman Setapak Jaya dan Bandar Wangsa Maju warga penduduk di sini pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bersantai dan melepak di restoran mamak, terutamanya di Restoran Ali Maju yang terletak di Rampai Business Park, iaitu sebuah pusat bandar yang baru dibangunkan selepas Rampai Town Centre.
Restoran Ali Maju yang beroperasi 24 jam ini merupakan restoran mamak yang kini menjadi mercu kepuasan selera bagi penduduk-penduduk yang tinggal berdekatan dengan Rampai Business Park ini. Kemunculannya telah memusatkan kunjungan orang ramai untuk tidak melepaskan peluang menikmati makanan dan minuman India muslim di restoran ini.
Restoran Ali Maju yang terletak di Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park (Foto sebelah) ini juga merupakan rangkaian Restoran Ali Maju yang ke-13 yang terdapat di negara ini.
Pemiliknya Dato' Hj Jawahar Ali bagaikan penakluk sebuah empayar restoran mamak yang begitu dominan di Kuala Lumpur ini, setelah berjaya bertapak di Pusat Bandar Damansara dan yang terkini di Rampai Buiness Park.
Rata-rata di kalangan masyarakat di kaswasan ini begitu mengenali Dato' Jawahar Ali, kerana beliau merupakan seorang yang murah hati di mana beliau sering memberikan hantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan. Rangkaian restoran miliknya sering juga memberikan sumbangan tajaan untuk menjayakan beberapa kegiatan masyarakat anjuran NGO.
Walaupun harga makanan dan minumannya dilihat lebih mahal jika dibandingkan dengan restoran mamak yang lainnya yang terdapat di pusat bandar Rampai Business Park ini, namun kunjungan bertali arus mereka yang menggemari masakan mamak di Restoran Ali Maju ini dilihat tetap menjadi pilihan utama mereka.
Jika kita berada di sebelah malam, Restoran Ali Maju bagaikan menggamit kemeriahan kerana pengunjungnya adalah terdiri daripada pelbagai golongan yang bercirikan 1MALAYSIA kerana pengunjungnya terdiri daripada berbagai bangsa iaitu Melayu, Cina dan India; tidak kira tua dan muda malah dilihat juga pengunjung tetapnya hampir setiap hari melekat dengan penuh kesetiaan hingga ke larut malam.
Kelihatan juga golongan korporat, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan daripada DBKL, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Felcra termasuk juga para guru dan jururawat yang keluar masuk di restoran Ali Maju ini terutama di sebelah tengah hari untuk menikmati masakan kari dan nasi beriyaninya.
Selain keenakan sajian makanan dan minumannya yang pelbagai rasa, restoran ini juga menyediakan kemudahan WiFi untuk penggunaan internet kepada pengunjungnya yang menggemari melayari laman-laman sesawang dan juga laman-laman sosial yang lainnya.
Penggemar internet termasuk blogger-blogger ini merasakan begitu santai apabila melangut di hadapan laptop, note book dan sebagainya di restoran ini. Mereka ini merasakan melepak di restoran Ali Maju ini lebih santai; mungkin juga harga minumannya lebih murah jika dibandingkan dengan Restoran Downtown Coffee & Tea dan juga Old Town White Coffee yang berdekatan dengannya.
Keriuhan yang dialami di restoran mamak ini bagaikan sudah lali kepada mereka yang tidak mahu berganjak melepak di Restoran Ali Maju. Pencatur-pencatur dan pecacai politik juga sering berada di restoran Ali Maju ini. Cetusan minda politik mereka menjadi lebih bernas apabila bertemankan selera teh tarik, kopi radix, tongkat ali, kopi jantan, kopi janda dan sebagainya.
Mengunyah makanan seperti roti canai, capati, roti telur, tosei, rojak, sup ayam, sup kambing yang beraneka pilihan menjadikan mereka ini pengunjung yang lebih setia daripada kesetiaan memerap di rumah.
Begitulah hebatnya daya tarikan Restoran Ali Maju yang begitu berjaya menambat hati pelanggannya. Warna warni kehidupan warga tempatan di sini turut mewarnai Restoran Ali Maju yang menjadi mercu selera mereka.
Diharapkan perkhidmatan dan tahap layanan kemesraan terhadap pelanggan-pelanggannya tidak diabaikan, kerana kegagalan faktor ini juga akan mengakibatkan Restoran Ali Maju tidak semaju sekarang!
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.