Sunday, March 8, 2009

BERITA SAHIH - RIBENA ADA KANDUNGAN ARAK

LONDON: Pemimpin Islam di Birmingham menggesa diadakan rombakan menyeluruh dalam undang-undang pengguna selepas kemunculan berita menggemparkan bahawa dua minuman ringan kegemaran mengandungi arak.

Birmingham Post semalam melaporkan ramai peniaga membuang stok Ribena dan Lucozade selepas pengguna mendapati ramuan perisa air minuman itu mengandungi arak meskipun pada paras yang rendah. Peraturan makanan tidak mensyaratkan pengeluar produk itu, Glaxo-SmithKline menyenaraikan arak pada bungkusan minuman itu kerana kandungan arak itu pada kadar yang rendah.

Bagaimanapun, umat Islam yang diharamkan daripada meminum arak mendakwa semua minuman ringan seharusnya dilabelkan dengan jelas jika ada ramuan yang bercampur arak meskipun amat sedikit. Empat tahun lalu, Walkers, sebuah syarikat makanan, menukar label pada bungkusan kerepeknya selepas akhbar Birmingham Post mendedahkan snek keju dan bawangnya mengandungi ekstrak lembu tidak disembelih.

Kandungan arak dalam Ribena dan Lucozade adalah kurang daripada 0.1 peratus tetapi umat Islam memberitahu Birmingham Post bahawa mereka kecewa selepas mengetahui bahawa mereka sejak sekian lama meminum arak meskipun pada paras yang teramat rendah.

Pengerusi Masjid Jamik Birmingham, Dr Mohammed Naseem menyuarakan rasa terkejutnya kerana undang-undang itu masih membenarkan kandungan dalam makanan atau minuman tidak dinyatakan dengan jelas pada label.

'Kita amat kecewa kerana sebelum ini umat Islam menganggap minuman ringan seperti Ribena dan Lucozade ini halal tetapiberlaku sebaliknya,' katanya.

Pekedai yang juga anggota Persatuan Peniaga Ladypool, Mohammed Zaman Khan berkata penjualan Ribena dan Lucozade jatuh mendadak sejak beberapa minggu lalu dan beliau memastikan produk itu tiada pada rak kedainya.

Jurucakap Glaxo-SmithKline memberi alasan label minuman dan makanan pasti tidak dapat dibaca jika peraturan mensyaratkan semua komponen bagi penyediaan makanan itu dinyatakan. 'Sesetengah bahan perasa mengandungi lebih 50 komponen. Kami amat sensitif dengan keperluan budaya pengguna dan cuba menangani isu itu jika ia dimaklumkan kepada kami,' katanya.

Beliau mengakui minuman tenaga Lucozade berperisa asli, limau, tropika dan sitrus mengandungi paras rendah arak begitu juga deng! an lima perasa yang disediakan untuk Ribena.. - Agensi

Thursday, February 26, 2009

SEMARAKWANGSA PROTEGE LOCENGWANGSA

SemarakWangsa merupakan protege kepada Locengwangsa.blogspot.com yang menjadi mentornya. Sidang panitia locengWangsa telah bermuafakat untuk menghasilkan satu lagi laman mayanya yang akan memberikan fokus kepada isu-isu semasa berkaitan dengan kependudukan yang meliputi aspek kebudayaan, kesenian, kebajikan, pendidikan dan juga prasarana yang melingkari kehidupan seharian warga wangsa khasnya dan tidak terkecuali membicarakan permasalahan kehidupan sejagat warga kota Kuala Lumpur.

Sementara laman blog locengWangsa tetap dengan jati dirinya dengan memaparkan kupasan hal ehwal politik semasa. Diharapkan sisipan ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan warga wangsa, dan tentunya kami mengalu-alukan sebarang ulasan dan juga pandangan yang membina untuk mengangkat suara hati akar umbi di persada maya semarakWangsa.

Salam Takzim.


ABDUL RAHMAN HASHIM
Mentor SemarakWangsa.

PENEMPATAN BARU DI PPR SRI SEMARAK BAGAIKAN BURUNG MERPATI?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera .

Kini PPR Sri Semarak memiliki kawasan letak kereta yang agak selesa dan kini telah boleh diguna pakai oleh warganya. Keselesaan asas sebegini memang menjadi keperluan yang sangat dituntut. Keaadan sesak akibat kekurangan kawasan letak kereta antara perkara keperluan asas yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa tempatan khususnya DBKL. Jika perkara ini diabaikan tentunya akan menimbulkan keresahan di kalangan penghuninya.

Ianya suatu budaya yang baru ketika mula menghuni di PPR Antara budaya baru yang saya maksudkan seperti mempunyai serba baharu dan penduduk akan berkongsi segala kemudahan awam seperti lif, kawasan letak kereta awam, padang permainan, surau sementara. Jika dahulu nya pemandangan tidak setinggi hari ini, walau pun pada awalnya agak takut. Tetapi lama-kelamaan dah menjadi kebiasaan. Memang benar, alah bisa tegal biasa.

Warga PPR Sri Semarak yang terdiri dari kalangan masyarakat majmuknya tentunya bersyukur dan kami semuanya mengucapkan terima kasih di atas segala kerjasama yang telah diberikan oleh berbagai pihak khususnya daripada YB Ahli Parlimen Setiawangsa dan juga pihak DBKL.

Namun begitu, Warga Perumahan Awam PPR di kota metropolitan ini perlulah menerima hakikat betapa kehidupan di dalam sebuah kota memang banyak cabarannya. Apa pun kita mengharapkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dapat memberikan fokusnya untuk mempastikan penyelenggaraannya menepati piawaian sebagaimana yang sepatutnya. Janganlah dibiarkan warganya bagaikan burung merpati yang hanya mampu bersarang, manakala taraf kehidupannya tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Salam.

Wednesday, February 25, 2009

SALAM MAYA SEMARAK WANGSA

'SemarakWangsa' merupakan satu lagi jenama info maya yang bergandingan dengan 'http://locengwangsa.blogspot.com'. Ianya tampil untuk menggerakkan minda masyarakat supaya lebih semarak bukan sahaja prihatin kepada hal ehwal politik semasa, malah lebih terjurus kepada aspek pembangunan komuniti kosmopolitan yang mewarnai kehidupan kota raya Kuala Lumpur, khususnya bagi warga wangsa yang mengerti rempah ratus, merasai asam garam dan menjiwai suka duka gejolak penghuni Ibu Kota Malaysia ini.

Tentunya kami amat menghargai apa jua cita rasa anda yang mampu digalas terutama ketika mencoretkan buah fikiran untuk dihayati bersama. Semarakwangsa semekar namanya akan terus menyemarakkan gerak hati akar umbi supaya vibrasinya dapat turut dirasai oleh kalangan pemimpin yang berwajib.

Saya, Radzi Jaafar hanyalah khadam akar umbi yang sentiasa terdedah dengan segala kekurangan dan juga kelemahan yang mungkin memerlukan anjakan paradigma secara tulus daripada anda sekelian. Tunjuk ajar dari sahabat, rakan taulan dan para pemimpin merupakan pencetus semangat untuk semarakwangsa.

Terima Kasih, Wassalam.