Sunday, May 30, 2010

PEMBANGUNAN KG BARU - KUOTA 40 PERATUS UNTUK BUKAN MELAYU?

KUALA LUMPUR, 29 Mei — Hak pemilikan tanah orang Melayu di kawasan Kampung Baru tidak akan terjejas walaupun masyarakat bukan Melayu bakal diberikan kuota 40 peratus untuk memiliki hartanah di kawasan berkenaan apabila projek Pembangunan Kampung Baru dilaksanakan kelak.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata ini kerana Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang akan ditubuhkan di bawah Akta Parlimen akan bertindak sebagai badan mekanisme penyeliaan kawalan pemilikan Melayu di kawasan itu.

“Cadangan itu bertujuan memaksimumkan potensi pembangunan di kawasan tersebut...apabila kita katakan bukan Melayu, maksudnya ia tidak terhad kepada kaum bukan Melayu di negara ini tetapi mungkin juga pelabur-pelabur luar yang berminat.

“Kalau kita teruskan sekatan kepentingan tanah ini kepada orang Melayu sahaja, saya tidak yakin kita akan dapat nilai tanah, RM4,000 atau RM1,000 sekalipun seperti yang pemilik tanah dan pewaris tanah di Kampung Baru mahukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan pemilik dan pewaris tanah mengenai pembangunan Kampung Baru di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Berdasarkan cadangan untuk membatalkan sekatan kepentingan tanah-tanah di Kampung Baru, kaum bukan Melayu akan berpeluang untuk memiliki ruang perniagaan dan unit-unit kediaman yang akan dibangunkan di kawasan itu berdasarkan nisbah 60:40.

Raja Nong Chik (gambar) berkata kabinet dalam mesyuaratnya pada awal bulan ini juga secara dasarnya telah bersetuju mengenai cadangan itu.

Sekatan kepentingan tanah yang terdapat di dalam geran tanah Kampung Baru menetapkan bahawa tanah di kawasan itu tidak boleh dipindah milik atau diduduki oleh kaum bukan Melayu.

Ia secara tidak langsung menjadi satu dilema dalam isu-isu tanah di kawasan berkenaan selain disifatkan akan mengehadkan potensi pembangunan Kampung Baru, sekiranya sekatan itu dikekalkan.

Ditanya sama ada nilai RM4,000 sekaki persegi yang dituntut pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu adalah realistik, Raja Nong Chik berkata ia agak tinggi, tetapi tidak mustahil nilai hartanah di kawasan berkenaan akan mencapai tahap itu dalam jangka masa panjang.

Selain itu Raja Nong Chik berkata kerajaan juga telah bersetuju untuk melantik Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemaju utama dalam melaksanakan pembangunan Kampung Baru. Selain PNB, kerajaan juga menawarkan kepada dua lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Lembaga Tabung Haji dan Pemodalan Hartanah Berhad, katanya.

“Tiga GLC ini kita pilih sebab ia berpegang kepada kepentingan bumiputera. Memang ada GLC lain yang lebih besar tetapi kebanyakannya tidak berasas kepada kepentingan bumiputera.

“Kerajaan pula tidak akan menjadi pemaju...kita tidak ada keupayaan itu sebab itu kerajaan hanya akan menjadi pengawal dan penyelaras bagi projek ini,” katanya.

Manakala GLC yang lain digalakkan untuk menjadi pemilik atau penyewa utama hartanah di Kampung Baru. Kampung Baru mempunyai keluasan sejumlah 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian tanah yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada Mac 2007 yang melibatkan keluasan 54.4 hektar di kawasan itu menetapkan kadar RM270.00 ke RM300.00 per kaki persegi bagi tanah kediaman dan RM500.00 ke RM600.00 per kaki persegi bagi tanah perdagangan.

Majlis perjumpaan itu menyaksikan kira-kira 1,000 pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru hadir, bukan sahaja untuk mendapatkan penjelasan mengenai transformasi yang akan dilaksanakan tetapi turut mengutarakan pelbagai soalan dan pandangan berhubung projek berkenaan.

Hadir sama Timbalan Menteri Datuk M. Saravanan, Ketua Setiausaha (KSU) kementerian Datuk Ahmad Phesal Talib dan Timbalan KSU Datuk Bakaruddin Othman yang mengendalikan sesi penerangan berkenaan dengan baik dan bersahaja.

Rata-rata para hadirin bersetuju supaya Kampung Baru segera dibangunkan, namun isu nilai tanah serta cadangan untuk membuka kampung Melayu itu kepada orang luar merupakan antara persoalan utama yang paling banyak dibahaskan.

Suasana musyawarah dalam majlis itu beberapa kali tergugat apabila ada beberapa pihak yang sedikit emosi ketika menyatakan pandangan mereka.

Bahkan cubaan Anggota Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali yang turut hadir di majlis itu untuk menyuarakan pandangan telah dinafikan beberapa pemilik tanah dan pewaris yang hadir kerana menyifatkan beliau tidak ada kena mengena dalam hal ehwal pembangunan Kampung Baru. — Bernama



Friday, May 28, 2010

23 TAHUN MEMIMPIN AKHIRNYA SULEIMAN MOHAMED MAHU LETAK JAWATAN?l

Oleh: Abdul Rahman Hashim

Memeranjatkan....setelah 23 tahun memimpin UMNO Bahagian Titiwangsa akhirnya Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamed (Foto) tidak mampu lagi untuk bertahan meneruskan legasinya, setelah Bahagian itu digemparkan dengan hasrat perletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian yang dikatakan berkuatkuasa pada 1 Jun ini.

Kelmarin berita 'Iron Man Titiwangsa' ini akan meletakkan jawatannya telah dipaparkan di dalam beberapa laman blog termasuk 'wilayahkini', namun begitu Drs. Suleiman dikatakan telah menafikannya dan meminta supaya mendapatkan pengesahannya terlebih dahulu.

Sehingga ini tidak dapat dipastikan apakah alasan sebenar sehingga mendorong beliau melepaskan jawatan yang begitu sinonim dengan Titiwangsa itu. Dr. Suleiman Mohamed pernah menjadi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana sebelum dipindahkan ke Kementerian Penerangan dan selepas itu pula beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Kesihatan sebelum direhatkan pada tahun 2004, kerana dirinya tidak lagi dicalonkan di dalam pilihan raya umum pada tahun berkenaan.

Sepanjang saya mengenali beliau sejak 1985, Dr. Suleiman Mohamed pernah bergiat cergas di dalam Pergerakan Pemuda dengan mengetuai Pemuda UMNO Bahagian Setapak dan kemudiannya menjadi Bahagian Titiwangsa.

Kariernya di dalam UMNO semakin bersinar apabila dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, seterusnya sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di zaman Anwar Ibrahim. Saya pernah terlibat sebagai salah seorang fasilitator di dalam Biro Latihan Pemuda UMNO Malaysia yang beliau ketuai pada masa itu. Saya masih ingat bagaimana gigihnya beliau menjalankan beberapa siri kursus/latihan untuk ahli-ahli Pemuda UMNO di Kem Ghafar Baba, Kg. Kemensah, Ulu Klang, Selangor.

Ketokohannya semakin mendapat pengiktirafan setelah membarisi jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pasca Mahathir Mohamad. Sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan beliau dilihat begitu berpengaruh persis seorang Ketua Menteri Wilayah Persekutuan.

TERKINI...Ekoran hasrat perletakan jawatannya itu, mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan kelmarin telah dimaklumkan dan difahamkan Majlis Tertinggi telah menerilma notis perletakan jawatan tersebut.

Kita mengharapkan 'Titiwangsa' tidak melupakan jasanya selama beliau mencurahkan khidmat baktinya kepada masyarakat akar umbi di kawasan ini.

Thursday, May 27, 2010

ZULHASNAN MASIH TERBAIK UNTUK SETIAWANGSA


Dato' Sri Zulhasnan, Dato' Halim Samad & Dato' Ahmad Fauzi Zahari

Apabila saya membaca 'posting' sebelum ini yang mengaitkan wujudnya tiga kepala di Setiawangsa yang dikatakan akan berentap dengan Dato' Sri Zulhasnan Rafique untuk merebut jawatan Ketua Bahagian, lantas saya terfikir siapakah gerangan di kalangan tokoh yang rapat dengannya begitu berani untuk beradu nasib tanpa menyukat keupayaan dan pengaruh yang dimiliki.

Setakat ini saya masih belum terasa adanya individu yang sebaris dengannya yang mampu untuk menggugat kedudukan Zulhasnan yang telah memimpin 'Bahagian Setiawangsa' sejak 2004 yang lalu. Saya bagaikan tidak percaya jika benar Dato' Halim Samad yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian begitu berminat untuk berentap dengan Ketuanya di musim pemilihan akan datang.

Saya juga mungkin terkejut jika ada pihak-pihak tertentu yang sengaja membuat andaian kononnya Dato' Ahmad Fauzi Zahari Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa bercita-cita besar untuk menjatuhkan orang nombor satu dalam Bahagian itu.

Sepanjang saya akrab dengan mereka, saya masih tidak terhidu wujudnya pakatan di antara kedua-dua tokoh ini sehingga mereka terdorong untuk menikam kepimpinan Zulhasnan. Hubungan baik di antara Zulhasnan, Halim dan Fauzi merupakan gandingan mantap yang perlu dipertahankan secara 'status quo' demi untuk memperkasakan UMNO di Bahagian ini di masa hadapan.
Memang lumrah berlaku dalam pencak poilitik yang menyaksikan kemunculan juragan-juragan yang gemar beraksi mengadu domba, malah ada yang berwatak kaki ampu serta tidak silu pula untuk mencucuk dan menabur fitnah sehingga berlakunya 'berantakan' sesama pemimpin yang tidak menjurus kebaikan kepada UMNO.

(Foto: Gandingan mantap tiga pemimpin kanan UMNO Bahagian Setiawangsa)

Gelagat politikus jenis inilah yang sebenarnya menjadi duri dalam daging yang bakal menjahanamkan hubungan baik yang sedia terjalin di kalangan pemimpin. Pada saya, golongan kiri jenis inilah juga yang sentiasa bersifat cemburu dan iri hati sehingga terpancar dendam kesumat yang tegar supaya wujudnya prasangka jahat di kalangan mereka itu.

Apakah tiga pemimpin utama Bahagian Setiawangsa iaitu Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Dato' Halim Samad dan Dato' Fauzi Zahari begitu rapuh pegangan mereka sehingga tergamak diperlakukan sedemikian rupa oleh 'penjual sate' yang hanya bijak menyucuk dan mengipas sebelum ianya dimamah oleh orang lain?

Bukankah gandingan tiga sejoli ini jika diperkuatkan akan menyaksikan seluruh komposisi di dalam Bahagian Setiawangsa berada di dalam kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan musuh sebenar iaitu 'Pakatan Rakyat' yang sentiasa mengintai peluang untuk merebut kerusi Parlimen Setiawangsa yang telah didominasi oleh Dato' Sri Zulhasnan sejak tahun 2004 hingga hari ini.

Seharusnya wujud kesedaran motivasi di kalangan 48 pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan di dalam Bahagian Setiawangsa termasuk kepimpinan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puterinya supaya tidak terpengaruh dengan desiran angin yang menyatakan wujudnya pergeseran di kalangan pemimpin tertinggi UMNO Bahagian ini.

Pergeseran sesama sendiri wajarlah dielakkan kerana diantara kita bukanlah musuh sebenarnya. Jika kita masih tuli untuk membezakan yang mana satu kawan dan yang mana satu lawan, akhirnya kekeliruan itu akan menikam diri sendiri. Oleh itu pertikaman sesama kawan yang mencederakan itu janganlah sampai ke tahap membawa mala petaka kepada perjuangan UMNO.

'Setiawangsa' biarlah hendaknya terpancar suatu iltizam yang mencerminkan semangat kesetiaan untuk 'wangsa' yang lebih perkasa. Dato' Sri Zulhasnan disarankan supaya lebih bertekad untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang diwakilinya. Walaupun beliau telah kehilangan jawatan Menteri, namun hayat politiknya masih berdenyut.

Gandingan Sayap UMNO Bahagian Setiawangsa

Hairunnisha (Ketua Wanita), Azmi (Ketua Pemuda) Sriwani (Ketua Puteri)

Sokongan padu yang diberikan oleh semua 48 cawangan selama ini tidak mungkin menggugat dirinya untuk terus kekal di persada Setiawangsa. Manakala ketulusan sokongan yang ditunjukkan oleh Timbalannya, Naib Ketua, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri selama beliau menerajui UMNO Bahagian Setiawangsa membuktikan beliau masih relevan untuk diberikan sokonngan selanjutnya.

Jika ada pihak yang bercita-cita untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian di Setiawangsa ini bukanlah bermakna jawatan itu tidak patut dicabar, cuma biarlah ianya diganti sekiranya empunya badan tidak berdaya lagi untuk meneruskan khidmatnya. Proses demokrasi tidak menyekat mana-mana pihak untuk menawarkan diri bertanding merebut sesuatu jawatan, namun begitu pengaruh yang dimiliki oleh mereka yang terbaiklah yang bakal menjadi pilihan.

Saya optimis bahawa Dato' Sri Zulhasnan Rafique masih diperlukan bukan sahaja mengetuai UMNO Bahagian ini bahkan beliau masih terbaik untuk dikekalkan sebagai calon UMNO/BN di dalam PRU13 nanti.

Wednesday, May 26, 2010

SETIAWANGSA KINI WUJUD 3 KEPALA?

Berikut ini ialah komen yang diberikan oleh seorang yang menggelarkan namanya LOCENGMANGSA (Bukan LOCENGWANGSA)......pada 19 Mei lalu di dalam blog 'wilayahkini.blogspot.com'. Komentarnya dipetik untuk tatapan pengunjung 'semarakwangsa.blogspot.com' yang mungkin berminat membuat analisa selanjutnya.

LOCENGMANGSA said...

Setiawangsa oh Setiawangsa......

Apa nak jadi dgn Setiawangsa ni,dari sumber yang boleh dipercayai, sekarang dah ada 3 kepala, silap-silap 4 kepala.... Walaupun jauh lagi tempoh pertandingan,YB Dato Sri Ketua Bahagian dengar cerita akan dicabar oleh 2 orang yang terdekat dengan beliau, yang sorang lagi tak confirm lagi tapi dah mula sponsor Sayap Pergerakan dan orang2tertentu untuk kehulu kehilir.

YB Ketua Bahagian Setiawangsa adalah dari kalangan yang buat kerja dan menjaga Setiawangsa dengan bagus sekali, tengok Setiawangsa 10 tahun lepas dgn sekarang. Apa lagi korang nak hah ! Dah dapat Ketua Bahagian yang bagus,kebajikan masyarakat terjaga, kira Alhamdullilah lah...

Kepada yang dok kejar jawatan tu, fikir2 lah faktor, ada ke sokongan cawangan? Umur ? dan berbagai-bagai.

Teringat kata-kata seorang teman " biar jawatan yang cari kita, kalau kita yang cari jawatan maka tak lama".... ada betul juga dan telah banyak juga tauladan.


Saturday, May 22, 2010

MUHYIDDIN YASSIN BUAT KOPI TARIK DI SETIAWANGSA

oleh: Abidin Supardi

Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri disambut meriah oleh penduduk tempatan di Parlimen Setiawangsa hari ini di dalam satu program 'Juara Rakyat' yang diadakan di PPR Sg. Bonus dekat Ayer Panas.
Memeriahkan lagi suasana di situ, Tan Sri Muhyiddin telah diberikan kesempatan untuk mempamirkan bakatnya membuat kopi tarik di atas pentas di hadapan lebih 1,000 penduduk yang menghadiri sambutan 'Hari Keluarga' anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Setiawangsa.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tunjuk bakat buat kopi tarik

Dato' Sri Zulhasnan Rafique menyambut ketibaan Tan Sri Muhyiddin Yasin

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan juga telah dibawa melawat ke tapak pameran dan juga menyaksikan pertandingan memasak rendang 1Malaysia serta pertandingan mewarna kanak-kanak yang dikendalikan oleh Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa.

Sebelum itu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah disambut oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang juga Ahli Parlimen kawasan tersebut. Turut hadir di dalam majlis itu ialah Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamad Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Dato' Redzuan Hamid Ketua UMNO Bahagian Kepong, Dato' Tan Chai Ho Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan dan juga pemimpin-pemimpin komponen BN yang lainnya.

Pujian harus diberikan kepada Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sg Bonus Encik Razak Karim (Foto Kiri) yang menjadi tuan rumah kepada program juara rakyat ini.

Pengerusi Pengelola Hari Keluarga tersebut Puan Hairunnisha Ismail (Foto kanan di bawah) yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa melahirkan rasa syukur dan amat menghargai di atas sokongan dan juga kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak dalam menjayakan kesempurnaan perjalanan program Juara Rakyat ini.

Hari Keluarga yang diadakan itu dilihat telah berjaya mengeratkan hubungan perpaduan di kalangan penduduk tempatan. Tahniah dan syabas kepada UMNO Bahagian Setiawangsa di atas kesungguhan mendekati rakyat akar umbi menerusi aktiviti kemasyarakatan yang telah diadakan itu.

UMNO Bahagian Setiawangsa yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique telah banyak merencanakan aktiviti masyarakat seumpama ini. Sebelum program Hari Keluarga ini dijalankan, Dato' Sri Zulhasnan yang juga Wakil Rakyat kawasan ini dikatakan begitu gembira dan berpuas hati di atas kesungguhan semua peringkat sayap-sayap parti yang telah berjaya mengaturkan program masing-masing.

Kejayaan mengadakan Kursus Pemantapan Politik (Retreat) di Kem Ilmu Janda Baik pada April yang lepas dilihat telah meningkatkan motivasi kepimpinan di semua peringkat dalam Bahagian Setiawangsa sebagai langkah persediaan untuk menghadapi cabaran pilihan raya umum yang akan datang.

Kebijaksanaan Zulhasnan dalam era kepimpinannya dilihat telah berjaya memperkukuhkan kedudukan politik UMNO di Bahagian ini. Persaingan merebut jawatan tertentu di dalam UMNO Bahagian sebelum ini dilihat tidak menjurus kepada keretakan yang membarah, sebaliknya beliau mampu menyusun secara berhemah dalam mengurangkan politiking untuk menjadikan 'Setiawangsa' lebih perkasa.


Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Noraini (Kiri sekali)
di atas pentas utama bersama Dato' Sri Zulhasnan Rafique

Kelihatan Dato' Fauzi Zahari (memegang payung) di tengah-tengah
kemeriahan program Juara Rakyat

Papan Tanda UMNO Cawangan Dataran Bonus dan UMNO
Cawangan Immetex yang baru saja dipasang sempena
program Juara Rakyat Parlimen Setiawangsa

Abidin Supardi bersama Tuan Haji Yusof Setpol
Timbalan Perdana Menteri

Datin Sri Ana Razak (Tengah-tengah) bergambar kenangan
bersama para tetamu





MUHYIDDIN YASSIN BERKUNJUNG KE SETIAWANGSA

Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri akan berkunjung ke Parlimen Setiawangsa hari ini dan beliau akan merasmikan satu program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Setiawangsa di PPR Sungai Bonus.

Muhyiddin akan diberikan sambutan meriah di sana. Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga Ketua UMNO Bahagian itu akan mengetuai sambutan sebelum beliau memeriahkan beberapa acara Hari Keluarga yang dipengerusikan oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Puan Hairunnisha Ismail.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan. Parlimen Setiawangsa merupakan satu-satunya kawasan parlimen yang dimenangi oleh UMNO/BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selain Putrajaya dan juga Labuan dalam PRU12 yang lalu.

Kehadiran Muhyiddin Yassin diharapkan dapat menyuntik semangat rakyat di kawasan parlimen ini untuk mengekalkan kekuatan BN menjelang pilihan raya akan datang.





Monday, May 10, 2010

SETIAWANGSA DI SIBU

Pintu Gerbang Bandar Sibu

Wajah-Wajah Bandar Sibu
Bersama Dato' Seri Mohd. Ali Rustam (Tengah) yang turut berada di Sbu

Wajah perkampungan Melayu di Kg. Hilir, Sibu di tepian
Sungai Rajang.

Galeri Foto


Foto Kiri: Bergambar bersama Dato' Shaberi Chik Menteri Belia & Sukan di Hotel Paramount, Sibu. Foto Kanan: Delegasi Setiawangsa bergambar kenangan selepas minum petang bersama Skuad 69 PDRM Sarawak di Hotel Paramount, Sibu.



Foto
Atas & Bawah: Delegasi Setiawangsa duduk bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di SM Agama Sibu.


TIGA HARI SETIAWANGSA DI BANDAR ANGSA

Pilihan raya kecil di Parlimen Sibu telah menjadi tumpuan di kalangan orang-orang politik bukan sahaja di negeri Bumi Kenyalang ini malah tokoh-tokoh politik daripada semenanjung juga turut 'gago', bahkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri masih meletakkan harapan agar rakyat di Sibu dapat memberikan isyarat yang jelas bahawa mereka sebenarnya tidak menolak Barisan Nasional.

Dato' Sri Najib Tun Razak telah membayangkan betapa sengitnya pilihan raya kecil yang sedang berjalan di Parlimen Sibu ini, kerana majoriti pengundi Cina yang mendominasi suara rakyat di Swan Town ini dilihat masih tidak menentu samada mahu mengekalkan 'status quo' empayar Robert Lau yang mewakili SUPP/BN, atau pun kali ini mereka mahu beralih arah kepada parti roket yang datang daripada semenanjung.

Dalam suasana yang masih hangat ini, delegasi daripada 'Parlimen Setiawangsa' tidak mahu ketinggalan untuk menjengah bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangan lain daripada bumi semenanjung membantu kerabat-kerabat BN di negeri bumi kenyalang dalam misi meyakinkan rakyat supaya mengekalkan BN di Sibu.
Delegasi Setiawangsa yang terdiri daripada Azhar Kassim, Abdul Rahman Hashim, Rosli Mohammad, Samad Saim, Muner Nasution, Razak Karim merupakan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa selain Roselan Abdul Rahman, Mohd. Radzi Jaafar, Md Zahari Desa dan Muhamad Yusof Isa telah berada di Bandar Sibu sejak 9 Mei lalu dan mereka semua akan pulang ke Kuala Lumpur pada 11 Mei ini.

(Foto kiri: Calon BN Robert Lau)


Selama tiga hari berada di Sibu mereka telah sempat melawat ke beberapa tempat menarik, antaranya ialah melawat rumah panjang RH Juing yang berada tidak jauh daripada Bandar Sibu. Di rumah panjang ini kami telah dilayan mesra oleh penghuni tempatan dan sempat pula kami menyaksikan beberapa orang penghuni rumah panjang ini membuat kuih jala secara bergotong royong sebagai persiapan mereka menyambut kedatangan 'Hari Gawai Dayak' yang jatuh pada tanggal 1 & 2 Jun depan.

Foto Kanan: Wisma Sanyan di Sibu merupakan bangunan tertinggi di Negeri Sarawak.

Semasa kami makan malam di Jalan Bandung pada hari pertama (9 Mei) iaitu sebuah kawasan medan selera yang popular di Sibu, kami juga terperangkap dengan hidangan ceramah DAP di tengah-tengah medan selera tersebut. Diantara penceramahnya ialah Mustafa Kamil Ayub Naib Presiden PKR. Oleh kerana tempahan awal telah dibuat untuk kami menikmati makan malam di sana, maka kami terpaksa jugalah mendengar ceramah-ceramah mereka.

Pada malam yang sama juga, kami sempat berjumpa dengan Dato' Mohd. Shafei Abdullah iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Malaysia yang juga Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju di RH Hotel iaitu sebuah hotel yang terkemuka di Bandar Sibu. Kelihatannya ramai tokoh-tokoh pemimpin daripada pusat yang berada di hotel ini.

Sembang-sembang politiik di coffee house RH Hotel itu rata-rata berpendapat bahawa BN masih sukar untuk menembusi pengundi-pengundi Cina yang dikatakan majoritinya berpihak kepada parti lawan iaitu DAP. Faktor perbalahan sesama pemimpin dalam SUPP yang masih membahang juga dikatakan mempengaruhi kedudukan BN dalam pilihan raya kecil kali ini.

Pada hari keduanya (10 Mei), kami telah pergi ke Sekolah Menengah Agama Kebangsaan Sibu dimana YAB Tan Sri Muhiyddin Yassin Timbalan Perdana Menteri telah menghadiri satu majlis dialog bersama warga pendidik anjuran Kementerian Pelajaran. Di sini juga kami berkesempatan berjumpa dengan YB Dato' Awang Bemee Ali Basah Ahli Dewan Undangan Negeri Nangka, dimana sekolah tersebut juga berada dalam kawasan DUN berkenaan.

Bilik Gerakan Pemuda BN di Kampung Hilir, Sibu

Di sebelah petangnya kami telah dijemput menghadiri satu majlis jamuan petang anjuran Skuad 69 PDRM Sarawak di Hotel Paramount, Sibu. Di dalam majlis itu Sdra Azhari Kassim telah dijemput untuk menyampaikan ucapan sebagai mewakili delegasi UMNO Setiawangsa. Sebagai Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak, DSP (B) Muhamad Yusof Isa turut berucap mengalu-alukan kehadiran kami.

Rombongan kami tidak lama berada di Sibu ini. Kami terpaksa check-out dari Hotel Kingwood meninggalkan Bandar Sibu pada hari ini (11 Mei). Jadual penerbangan Airasia ke Kuala Lumpur pada jam 4.20 petang @ 11 Mei telah menanti kami untuk membawa kami pulang meninggalkan seribu kenangan di Band Teoriar Angsa ini.

Kami mendoakan agar BN dapat mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya dahulu. Pendapat yang menyatakan bahawa kecenderungan pengundi Cina terhadap parti pembangkang kini sudah beralih arah kepada Pakatan Rakyat hendaknya tidak menjadi mimpi ngeri di Parlimen Sibu.


Galeri Foto Sibu

Penghuni Iban di Rumah Panjang Juing sedang membaut kuih Jala.

Hotel Paramount, Sibu. Kami minum petang di hotel ini bersama
Skuad 69 PDRM Sarawak pada 10 Mei 2010.



Azhar Kassim sedang mendukung anak kecil Iban di rumah panjang Juing. Bersama-samanya juga ialah 'induk dara' (anak-anak dara) rumah panjang berkenaan, 9 Mei 2010.

Dari Kiri: Radzi, Muner, Razak, Tajul (Tourist guide), Samad dan Azhar di rumah panjang Juing, Sibu, 9 Mei 2010.

Pemandangan Menarik di Bandar Sibu

Rahman Hashim bersama calon BN Parlimen Sibu
di hari penamaan calon pada 8 Mei 2010

Rahman Hashim bersama calon BN di hari penamaan calon

Bunting DAP di Bandar Sibu

Suasana Hari Penamaan Calon pada 8 Mei 2010


Kiri: DSP (B) Muhamad Yusof Isa Presiden Skuad 69 PDRM Sarawak sedang berucap.
Foto Kanan: Azhar Kassim mewakili delegasi Setiawangsa sedang menyampaikan ucapan.



Suasana dalam majlis sepetang bersama Skuad 69 PDRM Sarawak, 10 Mei 2010.


Gambar kenangan di Hotel RH Sibu


Delegasi Setiawangsa bersama Dato' Awang Bemee (Duduk tiga dari kiri) ADUN Nangka yang turut berada di majlis dialog bersama warga pendidik di Sek Men Agama Sibu pada 10 Mei 2010.



Suasana sarapan pagi di sebuah restoran di Bandar Sibu pada 10 Mei 2010