Monday, February 21, 2011

LEBIH TIGA RIBU WARGA SETIAWANGSA SERTAI PERARAKAN MAULIDUR RASUL

Oleh Abdul Rahman Hashim



Lebih 3 ribu peserta dari kalangan warga Setiawangsa telah mengambil bahagian di dalam perarakan Maulidur Rasul anjuran Permuafakatan Masjid dan Surau Parlimen Setiawangsa (MAPEMS) yang diadakan pada hari Sabtu, 19 Februari lepas.

Perarakan Maulidur Rasul ini diketuai oleh YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa bermula dari padang Taman Seri Rampai menuju ke Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan melalui jalan-jalan berdekatan dengan Bangunan Felcra, simpang ke Seksyen 10 Wangsa Maju menghala ke Rampai Court seterusnya ke destinasi terakhir di perkarangan Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah.



Sebanyak 52 pasukan kontinjen telah mengambil bahagian dalam perarakan tersebut yang mewakili masjid dan surau-surau seluruh kawasan Parlimen Setiawangsa termasuk daripada badan-badan kebajikan, persatuan-persatuan penduduk dan juga murid-murid sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Setiawangsa. Sementara itu Universiti Teknologi Malaysia sendiri telah menghantar sebanyak 15 pasukan kontinjennya menyertai perarakan tersebut.



Turut serta dalam perarakan ini juga ialah Datuk Che' Mat Che' Ali, Pengarah JAWI, Tuan Haji Abdullah Abdul Rahman, Pengerusi Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, dan ASP Napri Sahlan, Pengerusi MAPEMS. Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa serta beberapa orang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian juga kelihatan mengambil bahagian dalam perarakan ini.




Turut mengambil bahagian dalam perarakan tersebut ialah Datuk Jawahar Ali, pemilik rangkaian Restoran Ali Maju yang menaja sebahagian daripada makanan dan minuman majlis tersebut.

Pasukan-pasukan kontinjen yang terbaik juga telah menerima hadiah kemenangan daripada Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Forum Perdana Maulidur Rasul juga diadakan sebaik sahaja selesai majlis penyampaian hadiah tersebut. Tahniah kepada pihak penganjur yang telah berjaya mengumpulkan lebih 3 ribu orang yang terlibat di dalam program ini.