Monday, December 6, 2010

BN KENA ELAKKAN BERKHAYAL, LUPA DIRI, JUMUD DAN ANGKUH JIKA INGIN BERKUASA LAGI

Oleh Abdul Rahman Hashim

BN kena elakkan 4 penyakit jika ingin berkuasa lagi

Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi Barisan Nasional mengajak semua anggota komponennya supaya mengelakkan diri daripada empat gejala penyakit besar yang sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa.

Empat penyakit tersebut delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan.

Menurutnya, parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri. Baginya, keempat-empat penyakit ini perlu dielak dan dijauhkan sebelum rasa sayang rakyat kepada BN berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan, sokongan menjadi penentangan.

Beliau berkata demikian di dalam ucaptamanya sempena Konvensyen Barisan Nasional 2010 yang diadakan semalam (5 Disember 2010) di Dewan San Choon, Wisma MCA dekat Kuala Lumpur. Ucapan dasar Najib itu dialunkan dengan penuh bersemangat di hadapan lebih dua ribu perwakilan yang mewakili parti -parti komponen BN dari seluruh negara.


Ikrar Piagam Barisan Nasional 2010 dilafazkan...

Saya sendiri berada di dalam dewan tersebut (sebagai perwakilan dari UMNO WP), dan saya mendapati getaran ucapan dasar Perdana Menteri itu mampu menyuntik semangat yang tinggi kepada semua deligasi dari 13 parti komponen BN. Kesemua yang hadir dilihat begitu mengkagumi visi yang digariskan oleh pemimpin mereka itu, malah rata-rata perwakilan begitu optimis bahawa ucapan Najib kali ini menjurus kepada persediaan untuk menghadapi PRU13 yang dibayangkannya semakin hampir.

Saya bersama Tengku Adnan, Setiausaha Agung BN di Konvensyen BN 2010

Saya bersama Dato' Shafei, Setpol PM (di tengah)

Sempat juga bertemu dengan sahabat-sahabat lama saya Dato' Abdul Rahman Palil (Dua dari kanan) dan Datuk Zahidi (paling kiri)

Saya bersama Hajis Japar Labaw (kiri) Exco Pemuda Parti PBB dari Sarawak

Suasana di dalam Dewam San Choon
Perwakilan Konvensyen BN 2010

Ucapan yang bertemakan 'Mengukuh Barisan Mendahulu Rakyat' merupakan satu tiupan nafiri dari seorang pemimpin yang tampak lebih serius untuk melakukan transformasi politik yang lebih ampuh setelah parti ini kehilangan majoriti 2/3 dalam PRU12 lalu.

Dato' Sri Najib Tun Razak begitu yakin rakyat semakin menampakkan kecenderungan untuk kembali menyokong Barisan Nasional. Dambaan ini dibuat berasaskan kepada angin perubahan rakyat yang dirasainya bakal menjadikan BN sebagai parti yang mampu menebus kembali kekalahan yang dialami di beberapa kerusi dalam pilihan raya yang lepas.

Menurutnya, untuk bangun kembali, BN mesti mencari formula pemulihan dalam melaksanakannya secara konsisten. Padanya, empat gejala penyakit yang disebutkan itu jika tidak dapat dihindari, hanya akan menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah kepada BN.

Pucuk pangkalnya, Najib berkata semua pihak di dalam BN hendaklah lebih berani melangkah ke hadapan untuk menggapai kekuatan baru memenuhi harapan rakyat hingga ke akar umbi. Najib meminta semua anggota komponen BN harus memahami denyutan nadi rakyat, kerana menurutnya rakyat hendak tahu apakah BN kali ini lebih bersedia untuk mengota apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Dato' Sri Najib juga secara sinikal menyifatkan pihak pembangkang hanya mampu memperdagangkan mimpinya (traders of dream), mencanangkan angan-angan dan mencetak khayalan untuk memperdayakan rakyat, sedangkan BN adalah parti yang menjadi barisan pejuang tulen untuk rakyat, merchant of realities, yang berpasak di bumi, bersandarkan perancangan yang jitu, serta perlaksanaan kerjanya lebih tersusun.

Menurutnya lagi, pembangkang cuba meniru konsep kerjasama yang diamalkan di dalam BN. Namun begitu baginya, usaha pihak pembangkang hanya sia-sia sahaja, kerana mereka tidak mempunyai ramuan keikhlasan, tidak memiliki wawasan malah nilai yang dikongsi bersama hanya bersifat talam dua muka.

Beliau juga menyifatkan antara DAP dan PAS tidak akan wujud kerjasama yang berpanjangan, mereka hanya boleh tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Mereka nampak macam bersatu tetapi hakikatnya telunjuk sahaja yang lurus, kelingking tetap berkait. Di antara kedua-dua parti ini mereka hanya bersatu semata-mata kerana ada orang ketiga. Kalau dahulu ada Parti Melayu Semangat 46, tetapi hari ini peranan itu diambil alih oleh PKR yang beliau sifatkan sebagai 'Parti Keluar Ramai-Ramai'.

Hakikatnya, ketiga-tiga parti lawan yang mendakwa bersifat pelbagai kaum, tetapi sebenarnya merekalah parti yang didominasi oleh satu kaum sahaja. Jika ada pun kaum-kaum lain, hanyalah bersifat token atau sekadar kosmetik.

Sebenarnya menurut Najib, mereka bukan Pakatan Rakyat tetapi hanyalah pakatan tiga empat kerat, atau tiga empat kepala atau tiga empat orang sahaja. Lebih tepat dikatakan, mereka adalah parti dua buah keluarga dengan satu pihak lagi sekadar menjadi pak turut atau kuda tunggangan.

Seterusnya Najib berkata, inilah kelainannya konsep BN yang memang dari segi hakiki dan maknawinya benar-benar berdasarkan perkongsian sejati rakyat dengan mengiktiraf realiti kepelbagaian kaum.

Konvensyen sehari ini telah berakhir kira-kira jam 6.00 petang selepas semua perwakilan melafazkan ikrar 'Piagam Barisan Nasional 2010' di hadapan Dato' Sri Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang lainnya.


Nota: artikel ini juga disiarkan dlm blog http://locengwangsa.blogspot.com