Monday, July 12, 2010

DATUK ASTAMAN MENANG G7 DI SETIAWANGSA

Mantan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Astaman Abdul Aziz (foto) turut memenangi kerusi G7 UMNO Bahagian Setiawangsa yang menjadi rebutan 22 calon yang bertanding di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian itu yang diadakan kelmarin (11 Julai 2010).

Astaman yang juga mantan Ahli Parlimen Titiwangsa telah memperolehi 95 undi di belakang tiga calon yang lain iaitu Abd. Samad Saim 100 undi, Azhar Kassim 96 undi dan Abdul Rahman Hashim 96 undi.

Sementara itu tiga calon lain yang turut melengkapkan pengisian kerusi G7 itu ialah Ahmad Laili Tajul Arus 90 undi, Mohd. Shari Sidek 86 undi dan Wan Zainal Wan Chee 82 undi.

ANTARA YANG MENANG G7


Dari kiri: Samad saim, Abdul Rahman Hashim, Ahmad Laili Tajul Arus & Wan Zainal

Percubaan Datuk Astaman Abd. Aziz yang kini menjadi ahli UMNO di Cawangan Rampai Town merebut salah satu kerusi G7 kali ini dilihat telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang mengaitkan beliau sebagai tokoh yang tidak disenangi kemunculannya oleh pihak tertentu. Namun begitu kejayaannya membarisi G7 telah membuktikan bahawa dirinya masih diingati dan diterima baik oleh perwakilan yang mengundinya.

Turut bertanding di dalam G7 kali ini ialah Dato' Izudin Ishak mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa, namun begitu percubaan beliau kali ini tidak berjaya memikat majoriti perwakilan. Sementara itu Haji Ahmad Hashim Ketua Penerangan UMNO Bahagian Setiawangsa telah menarik diri di saat akhir yang turut diikuti oleh Shuib Ibrahim Bendahari UMNO Bahagian.

Sebelum pengundian dijalankan Pengerusi Tetap Haji Abdullah Abdul Rahman telah membacakan senarai calon G7 yang akan bertanding di mana daripada 28 orang calon yang diperkenalkan, terdapat enam calon telah menarik diri termasuk Haji Ahmad Hashim dan Shuib Ibrahim.

Sementara itu percubaan Haji Ahmad Hashim Ketua Penerangan UMNO Bahagian yang membuat cadangan supaya calon-calon G7 yang tidak hadir di dalam persidangan hendaklah ditolak daripada pertandingan telah diketepikan begitu sahaja, kerana cadangan tersebut dikatakan bercanggah dengan perlembagaan UMNO yang tidak menghalang ahli biasa bertanding untuk menjadi wakil Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia.

Kelihatan Dato' Sri Zulhasnan sendiri tidak mempersetujui cadangan yang dibuat oleh Ketua Penerangannya itu, kerana beliau mengetahui bahawa cadangan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan perlembagaan UMNO, bahkan Peraturan persidangan UMNO juga tidak menyebut bahawa ahli yang tidak hadir dilarang bertanding untuk G7.