Thursday, June 24, 2010

SHABERY CHEEK LANCARKAN KELAB SUKAN & REKREASI WARGA KOTA KUALA LUMPUR

Dato' Ahmad Shabery Cheek (Foto) Menteri Belia dan Sukan Malaysia akan melancarkan program 'Komuniti Sukan Untuk Negara' di dalam satu majlis makan malam yang akan diadakan pada 9 Julai depan di Ballroom 2 & 3 Hotel Legend, di Jalan Putra, Kuala Lumpur.

Program yang akan diadakan di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini adalah anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur yang telah disusun semula pengurusannya sejak ia ditubuhkan pada tahun 2005.

'Program Komuniti Sukan Untuk Negara' diadakan bertujuan untuk merakyatkan aktiviti sukan di kalangan warga kota Kuala Lumpur, di samping dapat mewujudkan rangkaian penggiat dan peminat sukan untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Usaha ini selaras dengan objektif penubuhan Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur yang bertujuan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat khususnya warga kota Kuala Lumpur dalam lapangan sukan dan juga rekreasi. Ia juga selaras dengan matlamat untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kecerdasan menerusi akviti sukan yang diceburi.

Pengerusi pengelola program ini, Abdul Rahman Hashim yang juga Timbalan Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur berkata pihaknya telah mengundang Dato' Ahmad Shabery Cheek Menteri Belia dan Sukan Malaysia untuk melancarkan program ini di dalam satu majlis makan malam yang dinamakan 'Malam Mesra Komuniti Sukan Untuk Negara' pada 9 Julai yang akan datang ini.

Abdul Rahman Hashim juga berkata sempena dengan majlis itu Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur juga akan melancarkan logo rasmi program 'Komuniti Sukan Untuk Negara' (Lihat foto kanan) seterusnya menyampaikan watikah kepada penggiat pertubuhan sukan yang terdapat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta melancarkan Kelab Peminat Sukan Kuala Lumpur.

Menurutnya, program ini akan diadakan di setiap kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula dengan Parlimen Setiawangsa yang diadakan pada malam tersebut. Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur juga akan mengundang Ahli Parlimen Setiawangsa Dato' Sri Zulhasnan Rafique serta para pemimpin yang lainnya di kawasan parlimen ini ke majlis makan malam tersebut.

Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur merupakan sebuah pertubuhan berdaftar yang ditubuhkan lima tahun yang lalu yang diketuai oleh Rosli Mohammad (Foto Kiri) yang menjadi Presidennya sehingga sekarang. Dalam penyusunan semula pengurusannya itu, Rosli Mohammad telah melantik Roselan Abdul Rahman sebagai Setiausaha yang baru, manakala Md. Zahari Desa dilantik sebagai Penolong Setiausaha.

Diantara lain-lain yang menduduki ahli jawatankuasa kelab ini ialah DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Abidin Supardi, Azrul Abdullah, Mohd. Radzi Jaafar, Phaetima Marina, Wan Arif Wan Ahmad, Dimyati Jaffar, Jailani Mohamad, Supri Saad, Abas Mohd. Dom, Adi Shahreeza Abdul Rahman, Nor Idayu Mohd. Shari dan Saripah Abd. Kareem.

Kelab juga akan melantik jawatankuasa penyelarasnya di peringkat kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diberikan peranan untuk menyelaraskan aktiviti 'Komuniti Sukan Untuk Semua' di peringkat kawasan parlimen masing-masing. Pihak kelab juga akan mendapatkan sokongan dan juga kerjasama dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan khususnya di peringkat Wilayah Persekutuan.





Tuesday, June 22, 2010

ZULHASNAN AKAN SERAH USUL PERUMAHAN KEPADA MUHYIDDIN YASSIN 11 JULAI INI

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dijangka akan menerima satu 'Usul' yang menyentuh masalah penjualan rumah pangsa PPR dan Perumahan Awam DBKL.

Usul ini dikatakan akan diserahkan sendiri oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique semasa majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa yang bakal berlangsung pada 11 Julai nanti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Isu yang membabitkan penjualan rumah PPR dan Perumahan Awam DBKL masih hangat diperbahaskan oleh warga kota Kuala Lumpur terutama di kalangan mereka yang terbabit dengan isu ini. Lebih 60 ribu unit rumah PPR dan Perumahan Awam DBKL dikatakan terlibat dengan dasar penjualan tersebut, manakala kurang separuh daripada jumlah itu dikatakan tidak menunjukkan respon yang positif kerana mereka menghadapi halangan dengan pihak bank untuk mendapatkan pinjaman bagi tujuan pembelian rumah-rumah tersebut.

Di Parlimen Setiawangsa ini, terdapat beberapa kawasan perumahan PPR dan Perumahan Awam DBKL yang terlibat dengan dasar penjualan itu, antaranya ialah di PPR Sungai Bonus, PPR Seri Semarak dan PPR Kg. Baru Air Panas.

Sementara itu isu yang sama juga dihadapi oleh penduduk Perumahan Awam DBKL di Seksyen 10 Wangsa Maju yang membabitkan tiga blok iaitu blok C9, C10 dan blok C11. Sebahagian besar daripada penyewa yang menghuni di 110 unit itu kini meraih simpati pihak kerajaan supaya kaedah pembayarannya dapat dipermudahkan.

Menurut kata Ketua UMNO Cawangan Bukit Wangsa Abdul Rahman Hashim, sebahagian besar daripada penghuni di sini telah menyewa dengan pihak DBKL sejak tahun 1987 lagi. Setelah Dato' Sri Najib Tun Razak Perdana Menteri mengumumkan penjualan unit-unit rumah pangsa milik DBKL kepada penyewanya pada tahun lalu, rakyat dilihat telah menyambut baik, malah mereka berpendapat inilah peluang terbaik untuk mereka memiliki rumah tersebut.

Namun begitu, penghalang terbesar kepada dasar 'Satu Keluarga Satu Rumah' sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu ialah masalah pembiayaan pinjaman bank yang dihadapi oleh mereka yang hilang kelayakan untuk membuat pinjaman.

Perumahan Awam DBKL Desa Rejang juga terlibat dengan penjualan rumah ini. Manakala penghuni-penghuni yang menyewa di Perumahan Awam DBKL Setapak Jaya 1A juga tidak mahu mereka dianak tirikan. Difahamkan Persatuan Penduduk dan juga UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A sedang berusaha gigih supaya 10 blok yang terdapat di kawasan perumahan ini turut dijual kepada mereka.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa turut merasakan kegelisahannya kerana beliau sendiri mendapat maklum balas daripada sebahagian besar penduduk yang terbabit yang mahukan supaya kaedah pembiayaannya dapat dipermudahkan.

Oleh yang demikian, di atas kesedarannya untuk memberikan pembelaan kepada rakyat dalam menghadapi kemelut ini, maka Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa itu bercadang untuk mengemukakan usul perumahan ini di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang akan diadakan pada 11 Julai ini, supaya kaedah pembayarannya dibuat secara konsep 'Sewa Beli'.

Menurutnya, sistem sewa beli ini mungkin merupakan satu formula yang boleh diterima oleh mereka yang terbabit, kerana penyewa asal dikehendaki melunaskan jumlah keseluruhan harga rumah yang ditawarkan itu secara ansuran (bulanan) kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Penghuni yang terbabit juga dikehendaki menandatangani perjanjian sewa beli dengan pihak DBKL. Hari ini mereka yang terbabit menyewa rumah pangsa DBKL hanya terikat dengan perjanjian sewaan yang dibuat dengan pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur.



Sunday, June 20, 2010

DUA DATUK TANDING G7 DI SETIAWANGSA


Datuk Astaman Abd. Aziz & Dato' Ahmad Yamin

Walaupun tahun ini bukannya musim pemilihan jawatan bagi semua peringkat UMNO, namun pemilihan tujuh perwakilan (G7) UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia tetap menghangatkan suasana persidangan perwakilan UMNO di peringkat Bahagian yang sudah pun bermula sabtu lalu.

UMNO Bahagian Setiawangsa bakal mengadakan persidangan perwakilannya pada 11 Julai depan yang akan dirasmikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Kehangatan untuk memilih G7 ini turut dirasai di Bahagian Setiawangsa yang bakal menyaksikan 16 calon akan berentap untuk merebut tujuh kerusi yang biasa disebut sebagai G7 yang dipertandingkan kali ini. Diantara calon yang dilihat telah menawarkan diri dalam pemilihan G7 itu ialah dua orang yang bergelar Datuk, iaitu Datuk Astaman Bin Abdul Aziz dan juga Dato' Ahmad Yamin Bin Dato' Abd. Rahim.

Datuk Astaman mantan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju kini menjadi ahli UMNO di cawangan Rampai Town di Bahagian Setiawangsa, manakala Dato' Ahmad Yamin pula merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa dan juga Ketua UMNO Cawangan Persiaran Kuantan.

TURUT BERTANDING G7


Abdul Rahman Hashim, Ahmad Laili Tajul Arus, Sakandar Khan, Samad Saim, Abas Mohd. Dom & Roselan

Selain mereka berdua yang turut menawarkan diri ialah Abdul Rahman Hashim, Azhar Md. Kassim, Samad Saim, Ahmad Laili Tajul Arus, Mohd. Shari Sidek, Dimyati Jaffar, Hamzah Kamarudin, Sakandar Khan, Mohd. Radzi Jaafar, Roselan Abdul Rahman, Abas Mohd. Dom dan beberapa orang lagi yang bakal mendaftar nama sebelum Isnin ini (21 Jun).

Kaedah pemilihan calon G7 yang dipraktiskan kali ini tidak dibuat di dalam persidangan cawangan-cawangan sebagaimana yang biasa dilakukan sebelum ini. Mereka yang ingin menawarkan diri untuk menjadi calon G7 di peringkat Bahagian kali ini hanya perlu mendaftarkan diri mereka dengan syarat seseorang itu mestilah seorang ahli UMNO di dalam Bahagian yang berkenaan.

Apakah perebutan kerusi G7 kali ini memperlihatkan persaingan yang lebih sihat diantara tokoh-tokoh yang menawarkan diri itu tanpa dibayangi oleh nakhoda-nakhoda tertentu yang terdapat di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa? Jika senario pertandingan G7 ini juga digambarkan sebagai persaingan kumpulan-kumpulan tertentu, maka sewajarnyalah mereka yang bertanding itu tidak terjebak dengan agenda kumpulan, sebaliknya biarlah pertandingan G7 yang diadakan itu sebagai satu proses biasa sahaja.

Janganlah ada pihak-pihak tertentu yang cuba membuat persepsi negatif seolah-olah pertandingan merebut jawatan G7 itu merupakan persaingan proksi tertentu. Biarkanlah pemilihan G7 itu diadakan secara sihat mengikut lunas-lunas demokrasi yang diamalkan oleh parti kita selama ini.

Sebaik-baiknya 'kerja buat' yang perlu dilipatgandakan selepas ini ialah bagaimana caranya untuk UMNO meyakinkan rakyat supaya parti ini terus bertakhta di hati mereka. UMNO jangan sekali-kali melekakan tanggungjawab ini, kerana jika bukan kita yang memikul tanggungjawab ini, siapa lagi?

Agenda memperkukuhkan kumpulan tertentu di dalam UMNO bukanlah satu keutamaan ketika UMNO sedang dilanda cabaran getir selepas rakyat menolak BN sehingga parti ini tidak lagi menguasai dua pertiga di dalam Dewan Rakyat. Kekalahan yang menimpa UMNO dan BN di dalam PRU12 yang lalu tidak memungkinkan UMNO terus berpecah.

Perpecahan di dalam UMNO akan mengakibatkan generasi Melayu hari ini bakal ditimpa musibah yang berpanjangan. UMNO Bahagian Setiawangsa yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique hendaknya terus berpadu tenaga supaya lebih mudah kita menyusun agenda gempur terhadap musuh sebenar UMNO.

Bukankah lebih baik jika kekuatan yang dimiliki dipergunakan untuk memperkuatkan perjuangan menebus semula maruah UMNO di kalangan rakyat akar umbi? Kita seharusnya 'selenggang dan sehayun' dalam menggarap tenaga menggempur musuh. Walaupun mempunyai pebezaan pendapat, tetapi ia bukanlah faktor untuk membentuk kumpulan sehingga melemahkan kumpulan yang lain, di mana akhirnya UMNO semakin lemah.

Penyusunan 15 biro yang diumumkan oleh Dato' Sri Zulhasnan untuk UMNO Bahagian Setiawangsa baru-baru ini hendaklah disertai dengan semangat perpaduan yang kukuh. Sepatutnya setiap orang yang diberikan tugas dan tanggungjawab mengetuai mana-mana biro hendaklah memikirkan misi dan visi ke arah kesiapsiagaan merakyatkan UMNO.


Saturday, June 19, 2010

SETIAWANGSA - ZULHASNAN BENTUK 15 BIRO, FAUZI KETUAI BIRO SUKAN


Dato' Sri Zulhasnan Rafique & Dato' Ahmad Fauzi Zahari

Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa telah mengumumkan pembentukan 15 biro di dalam UMNO Bahagian ini dimana beliau sendiri telah mengetuai Biro Politik, manakala Timbalan beliau Dato' Halim Samad merupakan Timbalan Pengerusi Biro berkenaan.

Sementara itu Dato' Ahmad Fauzi Zahari Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa telah dilantik sebagai Pengerusi Biro Sukan. Timbalan-timbalan Pengerusi Biro Sukan ialah Mohd. Shari Sidek, Abdul Rahman Hashim dan Abdul Razak Karim.

Zulhasnan juga mengumumkan pembentukan Biro Hal Ehwal Anggota Beruniform dimana Tan Sri Anwar Mohd. Noor (Foto Kanan) telah ditugaskan untuk mengetuai Kementah, Askar Wataniah dan Persatuan-Persatuan Bekas Tentera. Sementara itu Ahmad Jais Haji Raduan ditugaskan untuk mengetuai Pulapol, Polis dan Persatuan-Persatuan Bekas Polis. Mohd. Noor Salleh Ketua UMNO Cawangan Balai Bomba pula ditugaskan untuk memantau hal ehwal anggota bomba di kawasan ini.

Seramai empat orang dilantik mengetuai Biro Pilihan Raya Kecil yang terdiri daripada Azhar Md. Kassim, Abdul Hamid Mayuni, Muner Nasution dan Roziana Osman. Bendahari UMNO Bahagian ini Shuib Haji Ibrahim pula dilantik sebagai Penegerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan. Manakala timbalan-timbalan biro ini adalah terdiri daripada Dato' Ahmad Yamin dan Abas Mohd. Dom.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique mengumumkan pembentukan biro-biro ini di dalam satu mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa yang diadakan pada 17 Jun lalu di pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa. Anda boleh melihat susunan biro-biro ini di bahagian bawah berita ini.

Demikianlah susunan kabinet Dato' Sri Zulhasnan Rafique dalam misinya untuk berhadapan dengan cabaran pilihan raya akan datang. Kepada mereka yang terlantik dalam apa jua biro diharapkan dapat melunaskan tanggungjawab masing-masing tanpa ragu-ragu lagi.

Walaupun dari segi meritnya mungkin terdapat 'ketidaksesuaian' kepada individu tertentu namun diyakini bahawa mereka mampu menggalas tugas yang telah diberikan.

Jumlah Keahlian UMNO Setiawangsa - Di dalam mesyuarat yang sama juga Abdullah Mat, Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa memaklumkan bahawa jumlah terkini ahli-ahli UMNO Bahagian ini setelah dilakukan ops pemutihan ialah seramai 7,056 orang. Sebelum ini bilangan ahli UMNO Bahagian Setiawangsa ialah 11,586 orang.

Pak Lah juga memaklumkan jumlah keseluruhan perwakilan yang bakal menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa yang diadakan pada 11 Julai nanti ialah serami 204 orang. Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa kali ini akan diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, yang akan dirasmikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.


SUSUNAN LENGKAP BIRO-BIRO UMNO BAHAGIAN SETIAWANGSA

1. BIRO POLITIK
Pengerusi: Dato' Sri Zulhasnan Rafique
Timbalan: Dato' Halim Samad

2. BIRO SUKAN
Pengerusi : Dato' Ahmad Fauzi Zahari
Timbalan : Mohd, Shari Sidek/Abdul Rahman Hashim/Abd. Razak Karim.

3. BIRO PEMBANGUNAN KELUARGA/WANITA/KEBUDAYAAN
DAN KESENIAN
Pengerusi : Hairunnisha Ismail
Timbalan : Hjh Normah Awang

4. BIRO PEMBANGUNAN REMAJA/PEMUDA
Pengerusi : Azmi Badarudin
Timbalan : Hameli Mohamed

5. SOSIAL/REMAJA/IT DAN KEBAJIKAN
Pengerusi : Seriwani Sabtu
Timbalan : Nor Hayatina Hakimi

6. PENGURUSAN/KEAHLIAN & DAFTAR PENGUNDI
Pengerusi : Abdullah Mat
Timbalan : Sakandar Khan / Hamzah Kamarudin

7. PENERANGAN & LATIHAN
Pengerusi : Ahmad Hashim
Timbalan : Samsuri Shahrom / Hj Mohd. Radzi Harun

8. PELAJARAN & PENDIDIKAN TINGGI
Pengerusi : Ahmad Laili Tajul Arus
Timbalan : Dimyati Jaffar / Yahya Mohd. Taher

9. AGAMA & PEMBANGUNAN MASJID DAN SURAU
Pengerusi : Haji Abdullah Abdul Rahman
Timbalan : Haji Osman Sab

10. PEMBANGUNAN/KEMUDAHAN ASAS/BENCANA ALAM
DAN ADUAN AWAM
Pengerusi : Haji Mohamed Hashim Hussin
Timbalan : Bakar Ismail / Rosli Mohammad

11. EKONOMI DAN PEMBNGUNAN USAHAWAN
Pengerusi : Shuib Haji Ibrahim
Timbalan : Dato' Ahmad Yamin / Abas Mohd. Dom

12. PERUMAHAN
Pengerusi : Othman Baba
Timbalan : Yatim Mohamad / Hj Yahya Abu Bakar / Hj Yusof Ishak

13. PENJAJA & HAL EHWAL PENGGUNA
Pengerusi : Samad Saim
Timbalan : Ismail Che Wan / Daud Che Ani

14. HAL EHWAL ANGGOTA BERUNIFORM
a) Kementah/Askar Wataniah/Persatuan Bekas Tentara
Pengerusi : Tan Sri Anwar Mohd. Noor
b) Pulapol/Polis/Persatuan Bekas Polis
Pengerusi : Ahmad Jais Raduan
c) Bomba
Pengerusi : Mohammad Nor Salleh

15. TUGAS-TUGAS KHAS (PILIHAN RAYA KECIL)
Pengerusi Bersama: Azhar Kassim, Hamid Mayuni, Muner Nasution & Roziana Kassim

Friday, June 11, 2010

PEMBANGUNAN KG. BARU - PANDANGAN ZULHASNAN....TINGKATKAN NILAI HARTANAHNYA UNTUK PEMILIKAN KEKAL MELAYU 100%!

Oleh Abdul Rahman Hashim

(Berikut ini petikan daripada pandangan yang dikemukakan oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique, mantan Menteri Wilayah Persekutuan berkaitan dengan isu pembangunan Kg. Baru yang telah disiarkan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 7 Jun 2010. Saya berpendapat pandangannya begitu konstruktif dan amat relevan untuk dijadikan rujukan)


USAHA membangunkan Kampung Baru, di ibu negara sudah sekian lama digiatkan kerajaan. Sejak Pilihan Raya 2004, usaha pembangunan dan pengurusan kampung itu dilaksanakan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
(Foto Kanan: Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan mantan Menteri Wilayah Persekutuan)

Pelbagai pendekatan, idea, s
trategi dan kaedah pelaksanaan cadangan pembangunan Kampung Baru sudah disiap, diutarakan kepada pemilik dan penduduknya untuk menjayakan usaha itu. Ia bertujuan untuk memberi peluang mereka turut serta dalam proses pembangunan Kampung Baru, kawasan strategik milik Melayu di tengah Bandar Raya Kuala Lumpur.

Pada 2005, kerajaan memulakan projek pembangunan di situ dengan membuka Pejabat Unit Khas Pembangunan Kampung Baru di Jalan Hamzah. Ia dianggotai pegawai Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan. Unit itu bertindak sebagai pejabat pengurusan tanah Kampung Baru bagi membantu menyelesaikan isu pemberi milikan tanah.

Your browser may not support display of this image.Pada 2006, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) memperuntukkan RM100 juta khusus bagi tempoh lima tahun untuk mempertingkatkan prasarana sedia ada di Kampung Baru dan pembangunan di tanah milik DBKL.

Kerajaan juga menerusi Kementerian Wilayah menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Pembangunan Kampung Baru yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan; dan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Kampung Baru yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian.

Your browser may not support display of this image.Pada 2007, kerajaan memulakan beberapa mesyuarat bagi memantapkan cadangan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB). Pada masa sama, kementerian menerusi DBKL melakar draf pelan khusus untuk pembangunan dinamakan Draf Pelan Tempatan Kampung Baru yang terkandung dalam Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020; yang diuar-uarkan kepada rakyat pada 2008.

Sehingga hari ini, pembangunan Kampung Baru masih menjadi isu sensitif. Ia bukan saja membabitkan rakyat tempatan, malah juga kerajaan, badan bukan kerajaan, pa
rti politik dan akhirnya pandangan mata seluruh negara. Pembangunan kawasan itu perlu dilihat daripada aspek kepentingan strategik dan kritikal orang Melayu di Kuala Lumpur.

"Kampung Baru boleh dibangunkan dengan berkesan, mempertingkatkan nilai hartanah orang Melayu dan memberi pulangan berterusan serta berkekalan kepada orang Melayu yang menjadi pemilik tanah di kampung itu"

(Dato' Sri Zulhasnan Rafique)

Justeru, semua pihak wajar bersabar, bertenang dan melihat apakah isu utama yang seharusnya diselesaikan sebelum Kampung Baru boleh dibangunkan dengan berkesan, mempertingkatkan nilai hartanah orang Melayu dan memberi pulangan berterusan serta berkekalan kepada orang Melayu yang menjadi pemilik tanah di kampung itu.

Ia juga satu usaha yang akan membawa Kampung Baru ke persada pembangunan abad ke-21 dan kemajuan kepada pemilik tanah selain memastikan warga kampung itu tidak ketinggalan mengecapi nikmat arus pembangunan negara.

Ada beberapa isu asas perlu diselesaikan sebagai titik permulaan pembangunan Kampung Baru. Pertama, isu status tanahnya. Ramai berpendapat atau menyangka Kampung Baru ialah tanah rizab Melayu. Ia tidak tepat. Sebenarnya ia tanah bebas milik bersyarat iaitu tidak boleh dipindah milik dan hanya boleh diduduki orang Melayu.

Jadi untuk membangunkan Kampung Baru, perkara pertama harus dilakukan ialah menyelesaikan isu status tanah ini. Bagaimana ia dapat dilakukan? Ada beberapa pilihan kepada pemilik. Antaranya, melalui proses pengambilalihan tanah oleh kerajaan pada kadar harga dipersetujui pemilik atau berdasarkan nilaian semasa harga tanah. Hanya kerajaan menerusi Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Kabinet, berupaya menukar status tanah itu.

Persoalan yang timbul apakah jaminan kepada pemilik bahawa penjualan atau pengambilalihan tanah oleh kerajaan tidak akan menghilangkan terus hak mereka ke atas tanah itu? Bagaimana kerajaan menentukan kepentingan orang Melayu Kampung Baru terbela jika tanah itu terus diambil kerajaan? Selepas pemilik menjualkan tanah, mereka masih berhasrat menetap di Kampung Baru selepas kawasan ini dibangunkan.

Ada pemilik mungkin berhasrat membangunkan tanah mereka secara sendirian atau menerusi usaha sama pihak ketiga. Jawapannya adalah kepada kesungguhan politik kerajaan dalam menjamin masa depan orang Melayu Kampung Baru.

Sebagai kawasan yang ditadbir terus Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Wilayah, isu ini dapat diselesaikan terus pada peringkat pusat atau Kabinet. Perdana Menteri dan jemaah menteri boleh menetapkan syarat mengenai kaedah pengambilalihan tanah Kampung Baru selepas dipersetujui semua pihak terbabit, bagi melindungi kepentingan pemilik tanahnya, pada mesyuarat Kabinet.

Yang penting adalah menjaga kepentingan pemilik tanah dan menjamin tanah keramat ini kekal di tangan orang Melayu, walaupun selepas dibangunkan. Pilihan seterusnya jika perlu, kerajaan boleh membuat keputusan menukar status tanah Kampung Baru kepada pajakan selama 25, 30, 60 atau 99 tahun, mengikut keperluan pembangunan dan persetujuan pengeluar dana kepada pembangunan iaitu institusi kewangan.

Beberapa syarat boleh dikenakan untuk mengelak syak wasangka kepada pemilik. Antaranya, mensyaratkan tanah boleh dipajak hanya kepada pihak yang akan membangunkan Kampung Baru. Dengan ini, isu pemilikan tanah tidak akan timbul kerana selepas tamat pajakan, tanah kembali kepada pemilik asal. Penyelesaian isu pemilikan tanah adalah permulaan kepada kejayaan usaha membangunkan Kampung Baru.

Isu seterusnya ialah Pelan Pembangunan Kampung Baru. DBKL sudah mencadangkan Pelan Pembangunan Kampung Baru dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur pada 2008. Ia dibincang dan dibahaskan semua pihak. Pelan itu merangkumi segala aspek pembangunan, termasuk lot komersial, perumahan dan tapak rizab bagi kemudahan awam.

Ia peta pembangunan yang memberi gambaran menyeluruh kepada rakyat terutama pemilik tanah Kampung Baru, mengenai cadangan ke atas tanah milik. Justeru, ia memberi gambaran nilai sebenar tanah pemilik mengikut pelan yang dicadangkan. Semua pihak harus memberi masa supaya pelan itu dapat dipersetujui dan diwartakan terlebih dulu. Jika tidak, usaha pembangunan Kampung Baru tidak dapat dilaksanakan sebab harga tanah tidak dapat ditentukan secara khusus dan tepat.

Pewartaan pelan ini juga satu tanda keprihatinan dan kesungguhan kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL dalam membangunkan Kampung Baru secara teratur dan menyeluruh. Cadangan menubuhkan PPKB adalah bernas dan perlu diperhalusi untuk memastikan pihak yang menguruskan pembangunan Kampung Baru mampu melaksanakannya dengan berkesan.

PPKB wajar diperbadankan menerusi satu Akta Parlimen bagi menentukan ketelusan serta tanggungjawab, peranan dan fungsinya. Antara pihak yang wajar menjadi pemegang saham PPKB adalah Kerajaan Pusat menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC berkepentingan Melayu) yang mempunyai dana dan kepakaran, contohnya PNB dan Tabung Haji.

Dana pinjaman pembangunan pula boleh didapati daripada kerajaan, KWSP dan institusi kewangan korporat. Pemegang saham yang dicadangkan ini akan menjaga kepentingan pemilik tanah Kampung Baru, di samping memberi pulangan kepada caruman dan pelaburan rakyat yang dibuat menerusi ASB, ASN, Tabung Haji dan jika perlu, saham tertentu contohnya 'Kampung Baru Property Reit'.

PPKB diberi tanggungjawab membeli semua tanah daripada pemilik yang bersetuju menjual tanah dan menjadi pemegang amanah kepada tanah itu. Menerusi pembabitan PPKB yang diperbadankan, pembangunan Kampung Baru dapat dilaksanakan dengan melantik golongan profesional untuk merancang dan melaksanakan pembangunannya sambil memberi gambaran serta jaminan kepada pemilik bahawa kerajaan mengambilalih tanah itu untuk meningkatkan nilai hartanah, memberi pulangan kepada pemilik dalam jangka waktu panjang serta memberi pilihan lebih tepat untuk menjaga kepentingan semua pihak.

Ia akan menjamin tanah Kampung Baru tetap menjadi 100 peratus milik orang Melayu dan pembangunannya diurus tadbir kerajaan dan pemilik sendiri. Penyelesaian isu itu akan menjadi wadah kepada titik permulaan pembangunan Kampung Baru berwawasan, sejajar aspirasi semua pihak.

Untuk menjadi kenyataan, rakyat Kampung Baru harus bekerjasama dengan kerajaan dalam satu gagasan supaya hasrat pembangunan Kampung Baru tercapai sebagai satu legasi pusat tamadun Melayu dinamik dan berjaya.

Sudah tentu misi pembangunan Kampung Baru menjadi pemangkin ke arah memperkasakan Melayu Bandar. Insya-Allah!

Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Petikan: Berita Harian - 7 Jun 2010.

Tuesday, June 1, 2010

KG. BARU TANAH ANUGERAH SULTAN SELANGOR BAKAL DIMILIKI 40 PERATUS BUKAN MELAYU?

Almarhum Sultan Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa
Sultan Selangor memerintah dari 1898 - 1938


Kg. Baru anugerah Sultan Sulaiman Shah Ibni Raja Muda Musa

Kg. Baru semakin mendapat perhatian. Terbaru Raja Nong Chik Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengumumkan cadangan kerajaan untuk menyerahkan kuota 40 peratus kepada bukan Melayu terhadap tanah anugerah Sultan Selangor, Sultan Sulaiman Shah Ibni Sultan Raja Muda Musa yang kini didiami turun temurun oleh masyarakat Melayu sejak tahun 1899.

Isu kuota 40 peratus kepada bukan Melayu untuk pembangunan Kg. Baru di Kuala Lumpur kini dihambat kontroversi. Rata-rata di kalangan orang Melayu merasakan cadangan kerajaan untuk menisbahkan 60/40 antara Melayu dan bukan Melayu bukanlah satu formula yang bijak sebaliknya telah mengguris malah melukakan hati orang Melayu.

Keresahan masyarakat Melayu yang mewarisi tanah pusaka anugerah Sultan Selangor itu jika tidak cermat diuruskan berkemungkinan akan memarakkan lagi kebencian dan kemarahan warga Melayu di situ yang masih sayangkan tanah milik mereka selama ini.

Jika cadangan ini tetap diteruskan dibimbangi Melayu akhirnya makan tulang sedangkan dagingnya akan dimamah oleh 'orang luar' yang tidak berperisa Melayu. Perdana Menteri ketika mengulas mengenai masa depan Kg. Baru ini ketika berucap di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM Ahad lalu telah memberi jaminan bahawa identiti Melayu tidak akan hilang jika pembangunannya dapat disertai oleh golongan bukan Melayu.

Persoalan yang berbangkit ialah apa guna dengan identiti itu jika harta milik orang Melayu selama ini dibiarkan pupus secara 'pecah dan perintah'. Terfikirkah kita selama ini jika Kg. Baru dibangunkan dengan perancangan nisbah 60/40, Melayu hanya bermegah dengan projek mega itu, tetapi tidak mampu bersaing dengan golongan yang mendapat 40 peratus itu.

Melayu yang telah kehilangan 4o peratus itu akhirnya terjerumus dengan fenomena gulung tikar bahkan kemungkinan apa yang digenggam akan terlepas ke tangan mereka yang sudah pun memiliki 40 peratus hasil dasar yang tidak cermat yang dilakukan oleh kerajaan UMNO hari ini.

Kita lihat saja apa yang sudah terjadi dengan projek mega KLCC. Perancangan awal kononnya akan memberi jaminan kepada kepentingan bumiputera, tetapi Ananda Krishnan yang telah menjualnya kepada Petrronas tetap tidak mampu menyelamatkan kepentingan kuota Melayu yang menceburi pasaran komersial di Suria KLCC.

Perniagaan Nasi Kerabu oleh pengusaha Melayu yang terpaksa membayar belasan ribu sewaan bulanan di kompleks membeli belah itu kini telah dilenyapkan jika dibandingkan dengan perniagaan Coffee Bean, Starbucks, Secret Recipe dan banyak lagi gedung-gedung yang telah didominasi oleh golongan yang bukan berperisa Melayu.

Apakah tergamak kerajaan hari ini mengambil tanah-tanah pusaka Melayu yang terletak di Kg. Baru itu dengan menjanjikan kononnya kepentingan Melayu tidak akan terjejas, sedangkan 40 peratus sudah pun terang lagi bersuluh akan diberikan pemilikan kepada golongan bukan Melayu, seolah-olah kerajaan merasakan orang Melayu di sana mungkin boleh bersetuju dengan formula pembahagian 60/40.

Inilah rumitnya jika orang Melayu hari ini dipaksa untuk menerima slogan 1Malaysia dimana segala-galanya mesti berkongsi dengan orang lain atas dasar kesamarataan kononnya. Keuntungan yang boleh dikecapi oleh bangsa lain di sebalik gagasan 1Malaysia sebenarnya amat merugikan malah boleh membunuh bangsa Melayu.

Orang Melayu sering disarankan supaya lebih banyak berkompromi dengan bukan Melayu hatta tanah milik pusaka orang Melayu juga terpaksa dibahagi-bahagi dengan mereka yang bukan sejiwa dengan Melayu, atas dasar untuk membodek hati mereka menyokong kerajaan yang ada pada hari ini.

Apakah kerajaan UMNO/BN sudah menghadapi kebuntuan untuk memikirkan bagaimana untuk membangunkan kepentingan Melayu di Kg Baru ini tanpa merobek hati orang Melayu yang tidak merelakan tanah mereka dikongsikan dengan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan tanah pusaka itu?

Jika formula perkongsian itu difikirkan boleh memajukan masa depan Melayu, kenapa ianya tidak dipraktiskan di tanah setinggan Cina yang terletak di Pudu yang kini menempatkan bangunan berkembar 'Berjaya Times Square' (Foto) milik Vincent Tan? Apakah orang Melayu telah diberikan kuota tertentu sebelum tanah itu dibangunkan? Rasanya tidak! Jika begitu kenapa Kg. Baru perlu dimangsakan atas nama pembangunannya?

Diharapkan kerajaan dapat menimbang semula cadangannya itu. Raja Nong Chik Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tidak wajarlah 'under estimate' pemilik dan pewaris tanah di Kg. Baru itu tanpa melihat lebih jauh masa depan generasi yang boleh diharapkan menjadi pewaris kepada hak kepentingan tanah kurniaan Sultan Selangor itu.

Kita tidak mahu melihat kerugian yang telah diterima oleh masyarakat Melayu di Singapura hasil dasar yang tidak memihak kepada orang-orang Melayu di negara Temasek itu. Kita rasa sedih dengan peninggalan-peninggalan Melayu seperti Kg. Gelam, Jalan Ampas dan yang terkini menyaksikan permainan tarik tali kerajaan PAP untuk meNyahkan tanah milik Keretapi Tanah Melayu di Tg. Pagar.

Amat malang sekali jika nasib orang Melayu di Kg. Baru tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan yang dipimpin oleh UMNO hari ini. UMNO janganlah dilihat oleh generasi akan datang sebagai 'Pagar Makan Padi'.

Kg. Baru yang sinonim dengan sejarah penempatan tertua bagi masyarakat Melayu di Kuala Lumpur ini hendaknya tidak meluputkan susur galur tanah pusaka ini kerana kita tidak mahu orang Melayu hilang sejarahnya kelak.