Sunday, March 14, 2010

ALFATIHAH! SUAMI KETUA WANITA SETIAWANGSA KEMBALI KE RAHMATULLAH


Kiri: Di tanah perkuburan Titiwangsa. Kanan: Hairunnisha di Masjid Sri Rampai

Suami kepada Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Hairunnisha Bivee Ismail telah kembali ke rahmatullah kelmarin (13 Mac) dan jenazahnya telah disemadikan di tanah perkuburan Islam dekat Taman Tasik Titiwangsa tengahari tadi.

Sebelum itu jenazah Allahyarham Abu Bakar, 71 telah dibawa ke masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah Taman Seri Rampai dari Hospital Kuala Lumpur kira jam 8 pagi tadi sebelum di mandikan dan disembahyangkan jenazah selepasnya.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga Ketua UMNO Bahagian itu adalah diantara pemimpin-pemimpin UMNO yang kelihatan berada di masjid untuk mengucapkan takziah kepada 'Kak Ani'. Kira-kira 200 jemaah yang berada di masjid itu juga telah menyempurnakan solat jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Warga Setiawangsa mengucapkan takziah kepada Puan Hairunnisha Ismail dan kami mendoakan agar roh suaminya dicucuri rahmat Allah hendaknya. Tuhan lebih menyayanginya...Al-Fatihah!



Friday, March 12, 2010

BENGKEL MOTOR DIROBOHKAN, KALOI JUARA RAKYAT!

oleh Abdul Rahman Hashim

Sahabat saya saudara Azhar@kaloi benar-benar telah menjiwai slogan 1Malaysia yang menuntut agar semua pemimpin di pelbagai peringkat mendahulukan kepentingan rakyat jika benar-benar kita mendokong aspirasi rakyat dan juga menjadi 'Juara Rakyat' sebagaimana yang disarankan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Semarak, Azhar@kaloi turut resah dan gelisah apabila berlakunya perobohan sebuah bengkel motor berdekatan dengan PPR Sg. Bonus oleh segerombolan penguatkuasa DBKL dua tiga hari yang lepas.

Azhar@kaloi tidak berasa senang hati dengan tindakan itu kerana beliau berpendapat mangsa perobohan itu wajar diberikan peluang untuk meneruskan perniagaannya di situ, malah beliau mahukan agar semua pemimpin yang terdapat di kawasan ini memberikan pembelaan yang sewajarnya kepada golongan rakyat yang memerlukan sedikit perhatian daripada pemimpin setempat.

Azhar@kaloi menyatakan kekecewaannya dengan insiden ini kepada saya melalui percakapan dalam telefon hari ini. Beliau turut kesal kerana Naiji Bin Mohamad atau dikenali oleh penduduk di situ sebagai 'akoi' iaitu mangsa perobohan itu yang dilihatnya tanpa mendapat simpati dan juga pembelaan daripada kalangan pemimpin masyarakat, seterusnya beliau mahukan agar pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat Bahagian Setiawangsa terutamanya wakil rakyat parlimen Setiawangsa dapat bertindak cepat untuk menyelesaikan masalah itu.

Sebagaimana biasa, Azhar@kaloi telah semboyankan kes ini kepada semua rakan-rakan pemimpin dan saya percaya Dato' Halim Samad Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dato' Ahmad Fauzi Zahari Naib Ketua UMNO Bahagian dan juga Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ahli Parlimen Setiawangsa turut tidak terkecuali daripada menerima 'semboyan sms' daripada telefon bimbitnya bernombor 012-9263652.

Saya tidak pasti apakah dengan langkah menghebohkan kejadian ini kepada semua pemimpin di Bahagian Setiawangsa maka 'Akoi' pemilik bengkel motor berkenaan akan memperolehi semula barang-barang berupa peralatan bengkel yang telah dimusnahkan oleh pasukan pemusnah (direkktorat) DBKL itu?

Walaupun saya tidak yakin bahawa barang-barang dalam bengkel itu akan diperolehi semula oleh pemilik bengkel berkenaan, namun saya tetap percaya bahawa Azhar@kaloi mempunyai nawaitu yang tulus iaitu mahukan supaya semua peringkat pemimpin masyarakat samada dalam NGO mahupun di dalam UMNO supaya tidak leka dengan tanggungjawab yang digalas selama ini untuk memberikan pembelaan kepada rakyat, barulah UMNO boleh menjadi JUARA RAKYAT, katanya.

Secara peribadi saya nyatakan di sini, sepatutnya warga PPR di kawasan itu tidak rasa terpinggir daripada memperolehi pembelaan, kerana di situ sahaja difahamkan terdapat lima enam pemimpin (Ketua Cawangan) yang turut menjadi penghuni PPR samada di PPR Sg. Bonus, PPR Sri Semarak dan juga di PPR Kg. Baru Air Panas. Ada juga di kalangan mereka yang menduduki AJK UMNO Bahagian Setiawangsa.

Tidak kurang juga adanya pemimpin-pemimpin pertubuhan yang lainnya seperti Persatuan Penduduk, pemimpin-pemimpin rumah ibadat, pemimpin-pemimpin belia dan bermacam-macam lagi jenama pemimpin di situ. Saya percaya semua pemimpin-pemimpin besar ini cukup terlatih dan berwibawa untuk mengendalikan keresahan yang dialami oleh rakyat di tempat masing-masing.

Semua mereka ini boleh menjadi jambatan bukan sahaja kepada wakil rakyat bahkan mereka juga sepatutnya boleh menjadi benteng terawal untuk berhadapan dengan kemelut yang menimpa rakyat. Kepada Azhar@kaloi, saya juga ingin mengesyorkan supaya anda menggunakan kebijaksanaan dan pengaruh anda untuk menambat hati rakyat dan meyakinkan warga di situ bahawa sebenarnya UMNO bukanlah menjadi pengkhianat rakyat, kerana agenda perjuangan UMNO bukannya untuk mengkhianati dan menganiaya rakyat.

Azhar@kaloi juga seorang pemimpin UMNO, dan tentunya UMNO berterima kasih kepada anda kerana anda telah menunjukkan sikap prihatin kepada permasalahan rakyat. Menjadi lebih manis jika anda teruskan perjuangan ini secara bergandingan dengan rakan-rakan pemimpin yang lain yang terdapat di tempat anda. Sememangnya kita harus menjadi pemimpin yang menjuarai rakyat dan bukan menjadi sebaliknya. Budaya menjaga hati rakyat haruslah menebal di kalangan pemimpin UMNO.

Nampaknya DBKL juga harus diberikan suntikan motivasi untuk lebih menjaga hati rakyat. Tindakan meruntuh dan meroboh adalah satu tindakan yang dilihat oleh rakyat sebagai kejam. Walaupun prosedur memberikan notis telah dikeluarkan kepada mereka yang berkenaan, namun tindakan mengadakan perundingan adalah lebih manis untuk menjiwai pendekatan yang dimahukan oleh Dato' Sri Najib iaitu mendahulukan raktyat!


TASIK SRI RAMPAI BAGAIKAN LAGUNA RAMPAI

oleh Abdul Rahman Hashim


Sesiapa yang telah mendiami di kawasan Taman Sri Rampai dan Taman Setapak Jaya tentunya mengetahui bahawa di situ terdapat sebuah tasik yang kini menjadi mercu tanda kepada sebuah kawasan penempatan yang telah didiami oleh warganya sejak awal tahun 80an lagi.

Tasik itu yang dikenali sebagai 'Tasik Sri Rampai' (Foto) dahulunya merupakan sebuah lombong kini telah dinaikkan taraf oleh pihak DBKL sebagai taman rekreasi untuk kemudahan orang ramai beriadah secara santai di sepanjang 'jogging track' yang melingkari tasik tersebut. Di tasik ini juga sering mendapat tumpuan oleh mereka yang kaki pancing, terutamanya di sebelah petang.

Panoramanya sungguh menarik kerana tasik ini dikelilingi oleh pusat-pusat perniagaan seperti Pusat Bandar Rampai, Megan Sri Rampai, Rampai Business Centre dan juga taman-taman perumahan seperti rumah pangsa DBKL Setapak Jaya 1A, Pangsapuri DBKL Setapak Jaya 1B, Pangsapuri Jasmin, Pangsapuri Dahlia, Taman Sri Rampai, Taman Setapak Jaya dan juga Taman Setapak Permai yang telah menjadikan lokasi tasik ini bagaikan Laguna Rampai yang menjadi milik kebanggaan warganya.

Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah (Foto Kanan) yang tersergam indah di tebingan tasik ini juga telah menyaksikan bahawa laguna rampai ini tidak mudah dicemari dengan remaja berpeleseran, dan pelbagai anasir kebejatan sosial yang menyongsangkan maruah dan kesucian rumah ibadat di situ.

Laguna Rampai hendaknya juga tidak menjadi rampai gejala sosial yang bakal meruntuhkan nilai-nilai insaniah warganya. Biarlah Laguna Rampai memiliki jati dirinya untuk menyuburkan akal budi pengunjungnya yang inginkan kerehatan (rehlah) menyedut udara nyaman, berekreasi menyihatkan jasmani seterusnya dapat pula mewujudkan interaksi mesra rakyat.

Memang wajarlah pihak DBKL sebagai penguasa tempatan memberikan fokus terhadap pengindahan lanskapnya di samping merencanakan pelbagai kegiatan rekreasi dan interaksi sosial untuk disertai oleh penduduk tempatan dan pengunjungnya.

Daya usaha pihak pengurusan DBKL cawangan Setiawangsa yang dipimpin oleh Ahmad Tarmizi Baharom yang akan mengadakan aktiviti gotong royong membersihkan tasik ini pada 14 Mac, bermula jam 8 pagi haruslah disertai dengan iltizam oleh penduduk tempatan supaya tasik tersebut bakal menjadi LAGUNA RAMPAI yang akan menjadi mercu tanda 'Parlimen Setiawangsa'.

Penyertaan Syarikat Persada Tenaga Sdn Bhd milik Dato' Ahmad Fauzi Zahari dan Azhar Kasim yang menjadi penggerak (Penganjur) kepada Pertandingan Memancing 1Malaysia yang akan diadakan di laguna ini pada 21 Mac depan, menjadi bukti bahawa sektor korporat juga mempunyai tanggungjawab sosialnya untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

(Foto: Tarmizi Baharom, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Setiawangsa DBKL)

Untuk tujuan itu, Dato' Ahmad Fauzi Zahari (foto kiri) yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dijangka akan melepaskan ikan-ikan di Laguna Rampai ini pada 17 Mac depan, manakala pertandingan memancing pula akan diadakan pada 21 Mac 2010 , 8 pagi yang akan dirasmikan oleh YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Foto Kanan), Ahli Parlimen Setiawangsa.

Saya sendiri juga telah diberikan penghormatan menghadiri mesyuarat jawatankuasa gotong royong membersih Tasik Sri Rampai sempena pertandingan memancing 1Malaysia ini yang diadakan pada 10 Mac lalu bertempat di bilik mesyuarat pejabat cawangan DBKL Setiawanga di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Encik Ahmad Tarmizi Baharom, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Setiawangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Encik Azhar Kasim yang mewakili Syarikat Persada Tenaga Sdn Bhd, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam DBKL Setapak Jaya 1A, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam DBKL Desa Rejang, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Semarak dan juga wakil daripada Jabatan Pertahanan Awam serta wakil RELA.

Monday, March 8, 2010

PEMUKIMAN JANDA BAIK YANG BERJAYA...

'Retreat' atau 'pemukiman' UMNO Bahagian Setiawangsa di Janda Baik, Bentong, Pahang yang berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula pada 5 Mac lalu telah berakhir dengan jayanya pada hari ahad, 7 Mac yang lepas.

(Foto Retreat Janda Baik: Dari Kiri - Dato' Fauzi Zahari, Dato' Sri Zulhasnan dan Dato' Halim Samad)

Di akhir pemukiman Janda Baik ini, jelas kelihatan ketiga-tiga pemimpin utama UMNO Bahagian ini iaitu Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Ketua Bahagian), Dato' Halim Samad (Timbalan Ketua) dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari (Naib Ketua) begitu ceria sekali dengan kejayaan penganjuran kursus ini.

Lebih 200 peserta yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan di Bahagian Setiawangsa juga telah menjadi saksi apabila ketiga-tiga pemimpin ini telah bergandingan menjulang tangan di hadapan mereka sebaik sahaja selesai Dato' Fuad Hassan, Ketua Pengarah Jasa menyampaikan ceramah isu-isu semasa di hari kedua (Hari Sabtu).

Para peserta kelihatan begitu tersentuh dan tampak gembira apabila kesemua mereka di dalam dewan berdiri sambil memberikan tepukan gemuruh setelah ketiga-tiga pemimpin ini berada di pentas sambil menjulang tangan bersama-sama dengan Dato' Fuad Hassan.


Foto Kiri: Dato' Sri Zulhasnan, Dato' Halim & Dato' Fauzi meraikan Dato' Fuad Hassan
Foto Kanan: Suasana hari ketiga dalam dewan.

Abdul Rahman Hashim, Ahli Jawatankuasa Bahagian (Foto kanan) yang bertindak sebagai moderator kepada sesi ceramah ini dengan penuh bersemangat menyatakan bahawa gandingan mantap mereka ini perlu diberikan sokongan padu untuk mengukuhkan lagi keazaman politik UMNO/BN Setiawangsa dalam menghadapi cabaran PRU13 yang akan datang.

Dato' Fuad Hassan (Foto Kiri), Ketua Pengarah Jasa terbukti telah berjaya menambat hati para peserta dengan ceramah memukaunya itu. Fuad Hassan telah menghangatkan lagi sesi ceramahnya itu dengan kupasan terhadap isu-isu 'Anwar Ibrahim' dan kemelut Pakatan Rakyat yang membabitkan pergolakan PKR.

Menurutnya UMNO hendaklah sentiasa berada di dalam kesiapsiagaan dan mampu untuk menyerang dakyah parti lawan yang sering memutar belitkan isu-isu tertentu terhadap UMNO/BN dan juga kerajaan. Pegangan 'attacking is the best defence' telah dilontarkan oleh Fuad sebagai kaedah terbaik untuk melemahkan parti pembangkang.

Fuad juga berpendapat serangan bertubi-tubi yang dibuat oleh parti pembangkang terhadap UMNO/BN tidak harus dibiarkan, malah pihak UMNO juga mempunyai banyak isu yang membabitkan parti lawan yang sepatutnya diketengahkan. Fuad juga meminta agar semua pemimpin UMNO tidak berada di dalam zon selesa sehingga terleka untuk membuat serangan balas kepada parti pembangkang.


Foto Kiri: Dato' Zul, Dato' Halim, Dato' Fauzi & Rahman Hashim bersama penceramah SPR
Foto Tengah: Dato' Sri Zulhasnan bersalaman dengan peserta di akhir kursus
Foto Kanan: Peserta membuat bulatan di akhir kursus

Sementara itu, di akhir retreat ini Dato' Sri Zulhasnan Rafique telah menerima rumusan-rumusan berupa cadangan pelan tindakan yang dirumuskan oleh para peserta daripada 4 kumpulan yang berbeza mengikut zon peti undi pilihan raya bagi kawasan Parlimen Setiawangsa.

Dato' Fauzi Zahari, Naib Ketua Bahagian yang juga Pengerusi Penyelaras Retreat ini telah menyerahkan semua pelan tindakan tersebut kepada Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa untuk dijadikan rujukan dan juga tindakan selanjutnya. Semua pelan tindakan itu telah dirumuskan dalam bentuk 'Analisa SWOT' yang menjurus kepada kajian kekuatan, kelemahan, merebut peluang dan juga bentuk ancaman yang dihadapi oleh UMNO khususnya di Setiawangsa.

Di dalam ucapan penutupan, Dato' Sri Zulhasnan telah memaklumkan iaitu semua pelan tindakan yang diterimanya itu akan diteliti oleh Biro Politik dan akan mempastikannya segera diambil tindakan.



Saturday, March 6, 2010

TEKAD NONG CHIK - SETIAWANGSA TERUS DIPERKASA, MANAKALA 6 KAWASAN PARLIMEN DI WP BAKAL KE PANGKUAN BN

Oleh: Abdul Rahman Hashim

Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan optimis dengan kekuatan yang dimiliki oleh UMNO Bahagian Setiawangsa terutama dalam menghadapi pilihan raya umum musim ke-13 nanti.

(Foto: Kiri - Datuk Raja Nong Chik, Kanan: Dato' Sri Zulhasnan Rafique)

Menurutnya, Parlimen Setiawangsa merupakan satu-satunya kawasan parlimen yang terdapat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dimenangi oleh Barisan Nasional dalam PRU12 yang lalu selain Parlimen Putrajaya di WP Putrajaya dan juga Parlimen Labuan di WP Labuan. Wilayah Persekutuan secara keseluruhannya mempunyai 13 buah kawasan Parlimen; tetapi BN telah tewas di sepuluh buah kawasan Parlimen iaitu di Segambut, Kepong, Titiwangsa, Cheras, Bandar Tun Razak, Seputih, Bukit Bintang, Wangsa Maju, Batu termasuk juga Parlimen Lembah Pantai.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar begitu yakin jika UMNO/BN dapat memberikan tumpuan dengan penstrukturan strategi yang lebih terancang bukan sahaja Parlimen Setiawangsa mampu dipertahankan, malah 6 kawasan parlimen yang pernah dimenangi oleh BN seperti Lembah Pantai, Batu, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan juga Batu juga bakal dikembalikan ke pangkuan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

Raja Nong Chik berkata demikian semasa beliau menyampaikan ucapan perasmian retreat UMNO Bahagian Setiawangsa yang bertemakan 'Program Pemantapan Politik (3P)' di Kem Ilmu Janda Baik, Bentong, Pahang kelmarin (5 Mac 2010). Lebih 200 peserta yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan seluruh Bahagian Setiawangsa telah mengambil bahagian di dalam kursus selama 3 hari itu yang akan berakhir pada ahad ini 7 Mac 2010.

Menurutnya lagi walaupun sokongan daripada pengundi-pengundi Cina masih belum menunjukkan peningkatan cenderung kepada BN, namun begitu beliau yakin pengundi-pengundi Melayu yang terdapat di tujuh kawasan parlimen berkenaan telah menunjukkan peningkatan untuk menyokong UMNO dan BN kali ini.

Justeru beliau mengharapkan supaya semua pemimpin UMNO di Wilayah Persekutuan terutama di tujuh kawasan parlimen ini dapat melipatgandakan usaha untuk mendekati rakyat menerusi program-program yang boleh dinikmati oleh rakyat terbanyak.

Semasa ditemui selepas selesai majlis perasmian, saya sempat bertanyakan kepada Raja Nong Chik tentang isu penjualan rumah PPR dan Perumahan Awam DBKL yang kini menjadi kerumitan di kalangan penghuninya untuk memperolehi pinjaman daripada pihak institusi kewangan, Raja Nong Chik berkata beliau akan mencari pendekatan terbaik untuk mempermudahkannya.

Sementara itu, Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa telah diberikan pujian oleh Raja Nong Chik kerana program retreat yang diadakan ini telah membuktikan bahawa pimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa tetap ampuh untuk berhadapan dengan cabaran politik yang bakal dihadapi untuk musim pilihan raya yang akan datang.

Sebagai Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Raja Nong Chik berkata beliau mahu menimba pengalaman yang dimiliki oleh Zulhasnan dalam menyusun jentera pilihan raya di kawasan Parlimen Setiawangsa, kerana menurutnya Zulhasnan terbukti telah berjaya mengemudi kemenangan dengan kekuatan jentera pilihan raya yang dipimpinnya selama ini.

Beliau juga kagum dengan semangat yang dimiliki oleh Zulhasnan walaupun beliau tidak lagi menjadi Menteri WP dan juga Pengerusi Perhubungan UMNO WP, namun Zulhasnan masih unggul malah sedang bekerja keras untuk mantapkan perjuangan UMNO di kawasan ini.


Wednesday, March 3, 2010

RAJA NONG CHIK RASMIKAN RETREAT PEMANTAPAN POLITIK UMNO SETIAWANGSA DI JANDA BAIK

Senator Datuk Raja Nong Chik, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan merasmikan retreat pemantapan politik UMNO Bahagian Setiawangsa yang bakal diadakan pada 5, 6 dan 7 Mac ini, di Kem ILMU Janda Baik, Bentong, Pahang.

Majlis perasmiannya akan berlangsung pada hari Jumaat, 5 Mac 2010, kira-kira jam 9 malam, sementara majlis penutupan rasmi pula akan diadakan pada hari Ahad, 7 Mac 2010 selepas semua peserta menerima sijil penyertaan masing-masing yang akan disampaikan oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang akan merasmikan majlis penutupannya pada sebelah tengah hari berkenaan.

Difahamkan lebih daripada 250 peserta telah dinamakan oleh UMNO Cawangan masing-masing termasuk wakil-wakil Wanita, Pemuda dan juga Puteri. Dijangkakan sasaran 300 peserta akan tercapai menjelang hari pendaftarannya pada hari Jumaat ini.

Retreat ini dijangka akan merumuskan satu pelan tindakan bersepadu ke arah memantapkan lagi strategi parti sebagai suatu langkah persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Diantara penceramah yang terbabit dalam sesi-sesi yang dijadualkan itu ialah Datuk Rauf Yusoh, Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Senatoir Datuk Mej. Gen (B) Jamil Khir Baharum Menteri di JPM dan juga Dato' Fuad Hassan Ketua Pengarah Jasa. Para peserta juga dijangka akan di bahagi kepada 4 kumpulan mengikut 'Zon Pilihan Raya' bagi kawasan Parlimen Setiawangsa yang telah ditetapkan oleh urusetia.