Friday, August 6, 2010

SETIAWANGSA MENJATUHKAN DARJATNYA?

UMNO Bahagian Setiawangsa nampaknya semakin terjerumus dengan pertelingkahan sesama politikusnya. Semenjak Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa menyerapkan lantikan baru Bendaharinya, UMNO Bahagian ini dilihat bertambah goyah akibat persengketaan dan sindrom kebencian terhadap 'Sang Bendahari' itu sehingga mengheret maruah dan darjat ketuanya.

Bertambah buruk lagi apabila kemunculan Datuk Astaman dalam pertandingan G7 baru-baru ini telah mengundang kebaculan blog hantu 'anak kuala lumpur' yang hanya berani mengkritik dan mengadu domba tetapi tidak berani pula memaparkan nama apatah lagi memaparkan wajahnya di dalam blog berkenaan.

Blog itu terlalu ghairah membuat 'kutukan dewata' yang bersifat bias kerana ia terlalu menyenget dengan kebenciannya terhadap Datuk Astaman sehingga terserlah auranya sebagai penulis upahan yang terpercik kepada tuannya sendiri.

Blogger berkenaan tidak cermat dalam penulisannya seolah-olah melihat keburukan dan kelemahan UMNO Setiawangsa hanya terletak di pundak Datuk Astaman semata-mata, tanpa sedikit pun huraian penambah baikan yang perlu dilakukan oleh kepimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa dalam menangani beberapa isu rakyat yang semakin membenci terhadap UMNO/BN.

Apa perlunya blog berkenaan menjolok sarang tabuan sehingga membuat provokasi kononnya UMNO Setiawangsa kini dihendap oleh SPRM? Bukankah hendapan itu akan memburukkan lagi imej Zulhasnan, seolah-olah beliau sengaja mahukan SPRM menyelongkar kelemahan yang berlaku di dalam empayar Setiawangsa yang beliau pimpin?

Bukankah perlakuan menjolok sarang tabuan itu boleh juga disifatkan sebagai membuka pekung di dada? Sudah tentulah mereka yang diserang itu akan mengambil sikap pula untuk menangkis dan mungkin mereka yang terbabit juga akan mencari punca provokasi serta akan mengatur pula tindakan untuk melakukan pendedahan terhadap kebobrokan pihak lain yang tidak didedahkan oleh 'blog anak kuala lumpur'?

Risiko inilah yang sedang dihadapi oleh UMNO Setiawangsa akibat menebalnya sikap iri hati yang memperlihatkan juga sifat ketakutan terhadap bayang-bayang yang diandaikan sebagai bayangan hantu.

Samada menuduh tanpa bukti atau bersangka benar bahawa wujudnya permainan wang dalam perebutan jawatan tertentu di dalam UMNO, bukan bermakna kita dianggap lebih sayangkan UMNO, kerana perlakuan membaling batu sembunyi tangan itu dilihat lebih membahayakan parti. Apatah lagi jika yang menyembunyikan tangannya itu juga pernah terlibat malah lebih menonjol koruptivitinya daripada orang yang disangka sepertinya.

Apa bezanya koruptiviti G7 dengan koruptiviti merebut jawatan penting di dalam UMNO Bahagian? Bukankah apa yang didedahkan itu juga berlaku lebih hebat ketika musim merebut jawatan pada tahun 2008, cuma tidak ada yang terdorong dan mendorong untuk membuat provokasi di dalam blog tertentu. Blog locengwangsa yang lebih mendahului blog semarakwangsa juga tidak terdorong apatah lagi didorong untuk melakukan pendedahan mengenai aktiviti rasuah yang berlaku pada tahun 2008.

Saya turut mengikuti kemunculan Ahmad Yahaya dengan blog sensasinya iaitu 'buraqkualalumpur'. Ahmad Yahaya dilihat terdorong pula mempertahankan dirinya setelah diserang akibat prasangka buruk yang dicetuskan oleh pihak tertentu di dalam blog upahannya iaitu blog 'anak kuala lumpur'.

Pada saya, pergeseran itu semakin tercondong untuk mengheret keburukan yang berlaku di dalam kepimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa yang bukan sahaja memercik ke muka pengadu domba yang terbabit, malah telah mencalarkan imej Dato' Sri Zulhasnan yang mungkin mahu mendarjatkan dirinya untuk semusim lagi selepas ini.