Tuesday, August 31, 2010

200 ORANG WARGA PPR SRI SEMARAK MENERIMA SUMBANGAN NUR RAMADAN

Foto dari kiri - Dato' Ahmad Yamin, Tuan ASP Napri Sahlan dan Abd. Rahman Muhamad. Mereka menyampaikan ucapan di dalam majlis ini.

Seramai 200 orang warga flat PPR Sri Semarak Blok B, C & D di sini telah menerima sumbangan Nur Ramadan daripada Surau Al-Hijrah kelmarin (30 Ogos 2010). Mereka yang terbabit adalah terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, anak-anak yatim dan keluarga miskin yang menghuni di flat PPR Sri Semarak.

Selain wang tunai, pihak Surau itu juga telah mengagihkan barang-barang keperluan seperti kampit beras, gula, minyak masak, kampit Milo dan kampit teh kepada semua penerimanya. Sumbangan ini telah disampaikan di dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh para jemaah Surau Al-Hijrah dan penduduk tempatan di flat berkenaan.

Datuk Astaman Abdul Aziz yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Titiwangsa merupakan salah seorang yang telah bermurah hati menghulurkan derma kepada tabung surau ini bagi tujuan menjayakan majlis Nur Ramadan tersebut.

Foto Kiri - Dato' Yamin (kanan), Pak Ngah Bakar (Tengah), Abdul Rahman Hashim (Dua dari kiri) dan Badrun Masan (Kiri sekali).

Selain Datuk Astaman, turut memberikan sumbangan sempena program Nur Ramadan itu ialah Datuk Ahmad Yamin bin Dato' Abdul Rahim yang juga Pengerusi Badan Kebajikan dan Tabung Bantuan Khas Persiaran Kuantan, Parlimen Setiawangsa.

Datuk Astaman Abdul Aziz yang juga Pengerusi Unit Amal Rakyat (UMARAK) kepada sebuah NGO di sini telah diwakili oleh Abdul Rahman Hashim bagi tujuan menyampaikan sebahagian daripada sumbangan tersebut, manakala Dato' Yamin sendiri telah menyampaikan sumbangan yang sama kepada sebahagian penerima yang lainnya.

Majlis Nur Ramadan ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Majlis Permuafakatan Masjid Parlimen Setiawangsa (MAPEM), Tuan ASP Napri Sahlan yang turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas pada malam tersebut.

Sementara itu Pengerusi Surau Al-Hijrah, Abdul Rahman Muhamad di dalam ucapannya telah mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini yang diadakan setiap tahun.


Tuan ASP Napri Sahlan Pengerusi MAPEM menyampaikan sumbangan.


Dato' Ahmad Yamin menyampaikan sumbangan


Abd. Rahman Hashim mewakili Dato' Astaman Aziz menyampaikan sumbangan.


Diantara warga emas yang menerima bantuan Nur Ramadan.

Semasa ditemubual, Abdul Rahman Muhamad berkata bahawa pihak Surau Al-Hijrah pada tahun ini telah berbelanja lebih RM12 ribu untuk menjayakan program Nur Ramadan ini, dan beliau menyatakan kesyukurannya kerana program ini telah menepati sasaran untuk memberi bantuan kepada anak-anak kariahnya yang memerlukan bantuan menjelang musim perayaan aidilfitri tidak berapa lama lagi.

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Abu Bakar Ismail (Pak Ngah), Ketua UMNO Cawangan Dataran PPR Sg. Bonus dan juga Ketua Pergerakan Wanitanya Puan Saridah Mohd. Jailani.


Thursday, August 19, 2010

KELAB SUKAN & REKREASI LANCAR PROGRAM AMAL

Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur telah menubuhkan 'Unit Amal Rakyat (UMARAK)' sebagai satu usaha kelab ini untuk berbakti kepada masyarakat terutama di bulan Ramadan ini. Datuk Haji Astaman Abdul Aziz, Penasihat Kelab ini telah diberi penghormatan untuk mengetuai unit amal berkenaan; dan unit ini akan berusaha mengumpul dana untuk menyalurkan bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.

(Foto kanan: Datuk Astaman Abd. Aziz bersama-sama dengan AJK Surau Nurul Iman Kelumpuk Bunga Raya AU3. Kelihatan juga Rosli Mohammad (dua dari kanan) dan Abd. Rahman Hashim (Kiri sekali)

Hari ini UMARAK telah menjenguk dua orang yang memerlukan bantuan. Siti Hanim yang mengidap sakit leukimia sejak 4 tahun lalu telah diberikan sumbangan oleh Datuk Astaman yang telah berkunjung ke rumahnya di Kelumpuk Bunga Raya AU3. Datuk Astaman yang ditemani oleh Rosli Mohammad, Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur dan Abdul Rahman Hashim, Timbalannya turut memberikan sumbangan hari raya kepada seorang ahli UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya, Abang Kamal yang kini mengalami sakit lumpuh.

Program sumbangan amal ini akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan yang meliputi golongan OKU, anak-anak yatim, warga emas dan keluarga miskin di sekitar Kuala Lumpur. Rosli Mohammad amat menghargai di atas keprihatinan dan kemurahan hati Datuk Astaman yang telah menghulurkan bantuan bagi menjayakan program kebajikan Kelab ini.

Selain menghulurkan bantuan kepada golongan yang berkenaan, UMARAK ini juga telah mengadakan siri kunjungan ke beberapa buah surau di sekitar Parlimen Setiawangsa. Diantara surau-surau yang telah dikunjungi ialah Surau Pesiaran Setiawangsa, Surau Setapak Jaya, Surau PPR Seri Semarak dan Surau Nurul Iman Kelumpuk Bunga Raya.

Dalam siri kunjungan itu, Datuk Astaman turut memberikan sumbangan jariahnya kepada tabung surau-surau yang berkenaan.

Datuk Astaman berbual mesra dengan Ustadz Mahmud Abdullah selepas solat tarawih di Surau Nurul Iman.
Datuk Astaman menyampaikan sumbangan kepada Puan Siti Hanim di Kelumpuk Bunga Raya D
Datuk Astaman menyampaikan sumbangan kepada Ahli UMNO Kelumpuk Bunga Raya, Abang Kamal.


Datuk Astaman di Surau Setapak Jaya. Kelihatan Cikgu Mohamad Dolah, Pengerusi Surau (Dua dari kiri). Badrun Masan, Tim. Ketua UMNO Cawangan Setapak Jaya (Kanan sekali).

Wednesday, August 18, 2010

ZULHASNAN PERGI UMRAH, AKAN ADAKAN MAJLIS BERBUKA PUASA 3 SEPTEMBER INI

Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa telah berangkat ke tanah suci mengerjakan umrah kelmarin. Beliau dijangka akan kembali ke tanah air pada 30 Ogos ini. Sementara itu, UMNO Bahagian Setiawangsa difahamkan akan mengadakan majlis berbuka puasa pada 3 September yang akan datang di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

(Foto kiri: Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Kanan: Azmi Badarudin)

Begitu juga, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa akan mengadakan majlis berbuka puasa pada ahad ini, 22 Ogos 2010 di pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa. Terima kasih kepada Sdra Azmi Badarudin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang telah menjemput sidang panitia semarakwangsa ke majlis tersebut.

Thursday, August 12, 2010

PAK LAH DIBEDAH JANTUNG, MESYUARAT AJK BAHAGIAN SETIAWANGSA DIBATALKAN

Sumber daripada pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa dipetik bahawa mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa Kali Ke-3/2010 yang dijadualkan pada hari Jumaat, 13 Ogos 2010, jam 4.30 petang telah dibatalkan; manakala sumber itu juga memaklumkan iaitu Abdullah Mat @ Pak Lah (Foto kiri), Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa kini sedang uzur dan beliau akan dimasukkan ke hospital Serdang pada 14 Ogos ini untuk menjalani pembedahan jantung.

Sebelum ini mesyuarat tersebut telah dijadualkan pada 9 Ogos 2010, namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan maka ia telah ditunda pada 13 Ogos 2010.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar Pak Lah dapat menjalani pembedahan jantungnya dengan selamat dan diberikan ketabahan hatinya dalam menempuh ujian Allah ini.



Wednesday, August 11, 2010

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN AL-MUBARAK

EDITORIAL SEMARAKWANGSA MENGUCAPKAN
SELAMAT BERPUASA KEPADA SEMUA SAHABAT MAYA



Ketua Panitia: Abdul Rahman Hashim. Panitia Kanan: Rosli Mohammad & Radzi Jaafar


Anggota Panitia: Abas Mohd. Dom, Roselan Abd. Rahman, Abidin Supardi & Adi Putra

Sesungguhnya Ramadan bulan kemuliaan, turunnya Al-Quran sebagai mukjizat Nabi Muhamad SAW, juga disebut Allah sebagai bulan keampunan (Al-Maghfirah), di bulan ini juga dibuka segala pintu syurga, di tutup semua pintu neraka dan terbelengu segala iblis dan syaitan.

Berpuasa merupakan perisai kepada orang yang bertaqwa, berpuasa menginsafkan kita sebagai insan, berpuasa bukan sekadar berlapar dan berdahaga di siang harinya malah berpuasa berkehendakkan sajian amalan berjariah dan banyakkan bersedekah.

Sesungguhnya seluruh warga semarakwangsa mengharapkan agar semangat Ramadan dapat memupuk silaturrahim yang lebih akrab tanpa dicemari dengan prasangka buruk di kalangan kita. Tiada lain tempat yang selayaknya untuk dipohon keampunan melainkan kepadaMu Ya Allah!!

Friday, August 6, 2010

SETIAWANGSA MENJATUHKAN DARJATNYA?

UMNO Bahagian Setiawangsa nampaknya semakin terjerumus dengan pertelingkahan sesama politikusnya. Semenjak Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa menyerapkan lantikan baru Bendaharinya, UMNO Bahagian ini dilihat bertambah goyah akibat persengketaan dan sindrom kebencian terhadap 'Sang Bendahari' itu sehingga mengheret maruah dan darjat ketuanya.

Bertambah buruk lagi apabila kemunculan Datuk Astaman dalam pertandingan G7 baru-baru ini telah mengundang kebaculan blog hantu 'anak kuala lumpur' yang hanya berani mengkritik dan mengadu domba tetapi tidak berani pula memaparkan nama apatah lagi memaparkan wajahnya di dalam blog berkenaan.

Blog itu terlalu ghairah membuat 'kutukan dewata' yang bersifat bias kerana ia terlalu menyenget dengan kebenciannya terhadap Datuk Astaman sehingga terserlah auranya sebagai penulis upahan yang terpercik kepada tuannya sendiri.

Blogger berkenaan tidak cermat dalam penulisannya seolah-olah melihat keburukan dan kelemahan UMNO Setiawangsa hanya terletak di pundak Datuk Astaman semata-mata, tanpa sedikit pun huraian penambah baikan yang perlu dilakukan oleh kepimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa dalam menangani beberapa isu rakyat yang semakin membenci terhadap UMNO/BN.

Apa perlunya blog berkenaan menjolok sarang tabuan sehingga membuat provokasi kononnya UMNO Setiawangsa kini dihendap oleh SPRM? Bukankah hendapan itu akan memburukkan lagi imej Zulhasnan, seolah-olah beliau sengaja mahukan SPRM menyelongkar kelemahan yang berlaku di dalam empayar Setiawangsa yang beliau pimpin?

Bukankah perlakuan menjolok sarang tabuan itu boleh juga disifatkan sebagai membuka pekung di dada? Sudah tentulah mereka yang diserang itu akan mengambil sikap pula untuk menangkis dan mungkin mereka yang terbabit juga akan mencari punca provokasi serta akan mengatur pula tindakan untuk melakukan pendedahan terhadap kebobrokan pihak lain yang tidak didedahkan oleh 'blog anak kuala lumpur'?

Risiko inilah yang sedang dihadapi oleh UMNO Setiawangsa akibat menebalnya sikap iri hati yang memperlihatkan juga sifat ketakutan terhadap bayang-bayang yang diandaikan sebagai bayangan hantu.

Samada menuduh tanpa bukti atau bersangka benar bahawa wujudnya permainan wang dalam perebutan jawatan tertentu di dalam UMNO, bukan bermakna kita dianggap lebih sayangkan UMNO, kerana perlakuan membaling batu sembunyi tangan itu dilihat lebih membahayakan parti. Apatah lagi jika yang menyembunyikan tangannya itu juga pernah terlibat malah lebih menonjol koruptivitinya daripada orang yang disangka sepertinya.

Apa bezanya koruptiviti G7 dengan koruptiviti merebut jawatan penting di dalam UMNO Bahagian? Bukankah apa yang didedahkan itu juga berlaku lebih hebat ketika musim merebut jawatan pada tahun 2008, cuma tidak ada yang terdorong dan mendorong untuk membuat provokasi di dalam blog tertentu. Blog locengwangsa yang lebih mendahului blog semarakwangsa juga tidak terdorong apatah lagi didorong untuk melakukan pendedahan mengenai aktiviti rasuah yang berlaku pada tahun 2008.

Saya turut mengikuti kemunculan Ahmad Yahaya dengan blog sensasinya iaitu 'buraqkualalumpur'. Ahmad Yahaya dilihat terdorong pula mempertahankan dirinya setelah diserang akibat prasangka buruk yang dicetuskan oleh pihak tertentu di dalam blog upahannya iaitu blog 'anak kuala lumpur'.

Pada saya, pergeseran itu semakin tercondong untuk mengheret keburukan yang berlaku di dalam kepimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa yang bukan sahaja memercik ke muka pengadu domba yang terbabit, malah telah mencalarkan imej Dato' Sri Zulhasnan yang mungkin mahu mendarjatkan dirinya untuk semusim lagi selepas ini.




Monday, August 2, 2010

ASTAMAN TURUT MENANG BESAR DALAM FAM

Datuk Astaman Abdul Aziz, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur adalah di antara muka baru yang telah membarisi 'Jawatatankuasa Eksekutif FAM' bagi sesi 2010 - 2014. Beliau berjaya di tempat kedua telah memperolehi 32 undi di bawah Datuk Takiyuddin Hassan daripada Kelantan yang mendapat undi tertinggi iaitu 33 undi.

(Foto kiri: Datuk Astaman Abdul Aziz)

Enam orang tokoh yang lain yang turut berjaya menduduki Jawatankuasa Eksekutif FAM ialah Mejar Rani Abdul Rahim (31 undi), S. Sivasundram (31 undi), Dr. Hamdan Mohamed Khalib (29 undi), Datuk Osman Salleh (24 undi), Haji Rosmadi Ismail (24 undi) dan Datuk Jeferey Low Han Chau (20 undi).

Kongres Tahunan Ke-47 Persatuan Bolasepak Malaysia yang diadakan pada 31 Julai lalu juga telah mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila 38 perwakilan yang menghadiri Sidang Pemilihan Kongres telah mengembalikan semula Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Timbalan Presiden FAM yang bergandingan dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Annuar Musa yang turut memenangi jawatan Timbalan Presiden dengan memperolehi 23 undi. Tengku Abdullah memperolehi 29 undi.

Tengku Abdullah sebelum ini pernah menyandang jawatan itu pada Februari 1992, namun telah melepaskannya pada Mac tahun berikutnya. Tengku Mahkota Pahang itu bagaimanapun dipilih memegang jawatan itu semula pada Februari 1994, sebelum melepaskannya kembali pada Julai 2007.

Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur turut berbangga di atas kejayaan Datuk Astaman Abdul Aziz bertapak di dalam arena bolasepak negara. Datuk Astaman yang juga penasihat kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur baru-baru ini telah menerima anugerah 'Tokoh Komuniti Sukan Kuala Lumpur' daripada Kelab ini sebagai pengiktirafan di atas kecemerlangannya mengangkat martabat sukan bolasepak Kuala Lumpur.

Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur, Rosli Mohammad berkata bahawa kelab ini akan mengadakan satu majlis kesyukuran di atas kejayaannya itu sebelum ketibaan Ramadan yang akan datang ini.