Thursday, February 26, 2009

SEMARAKWANGSA PROTEGE LOCENGWANGSA

SemarakWangsa merupakan protege kepada Locengwangsa.blogspot.com yang menjadi mentornya. Sidang panitia locengWangsa telah bermuafakat untuk menghasilkan satu lagi laman mayanya yang akan memberikan fokus kepada isu-isu semasa berkaitan dengan kependudukan yang meliputi aspek kebudayaan, kesenian, kebajikan, pendidikan dan juga prasarana yang melingkari kehidupan seharian warga wangsa khasnya dan tidak terkecuali membicarakan permasalahan kehidupan sejagat warga kota Kuala Lumpur.

Sementara laman blog locengWangsa tetap dengan jati dirinya dengan memaparkan kupasan hal ehwal politik semasa. Diharapkan sisipan ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan warga wangsa, dan tentunya kami mengalu-alukan sebarang ulasan dan juga pandangan yang membina untuk mengangkat suara hati akar umbi di persada maya semarakWangsa.

Salam Takzim.


ABDUL RAHMAN HASHIM
Mentor SemarakWangsa.

PENEMPATAN BARU DI PPR SRI SEMARAK BAGAIKAN BURUNG MERPATI?

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera .

Kini PPR Sri Semarak memiliki kawasan letak kereta yang agak selesa dan kini telah boleh diguna pakai oleh warganya. Keselesaan asas sebegini memang menjadi keperluan yang sangat dituntut. Keaadan sesak akibat kekurangan kawasan letak kereta antara perkara keperluan asas yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa tempatan khususnya DBKL. Jika perkara ini diabaikan tentunya akan menimbulkan keresahan di kalangan penghuninya.

Ianya suatu budaya yang baru ketika mula menghuni di PPR Antara budaya baru yang saya maksudkan seperti mempunyai serba baharu dan penduduk akan berkongsi segala kemudahan awam seperti lif, kawasan letak kereta awam, padang permainan, surau sementara. Jika dahulu nya pemandangan tidak setinggi hari ini, walau pun pada awalnya agak takut. Tetapi lama-kelamaan dah menjadi kebiasaan. Memang benar, alah bisa tegal biasa.

Warga PPR Sri Semarak yang terdiri dari kalangan masyarakat majmuknya tentunya bersyukur dan kami semuanya mengucapkan terima kasih di atas segala kerjasama yang telah diberikan oleh berbagai pihak khususnya daripada YB Ahli Parlimen Setiawangsa dan juga pihak DBKL.

Namun begitu, Warga Perumahan Awam PPR di kota metropolitan ini perlulah menerima hakikat betapa kehidupan di dalam sebuah kota memang banyak cabarannya. Apa pun kita mengharapkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dapat memberikan fokusnya untuk mempastikan penyelenggaraannya menepati piawaian sebagaimana yang sepatutnya. Janganlah dibiarkan warganya bagaikan burung merpati yang hanya mampu bersarang, manakala taraf kehidupannya tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Salam.