Thursday, June 24, 2010

SHABERY CHEEK LANCARKAN KELAB SUKAN & REKREASI WARGA KOTA KUALA LUMPUR

Dato' Ahmad Shabery Cheek (Foto) Menteri Belia dan Sukan Malaysia akan melancarkan program 'Komuniti Sukan Untuk Negara' di dalam satu majlis makan malam yang akan diadakan pada 9 Julai depan di Ballroom 2 & 3 Hotel Legend, di Jalan Putra, Kuala Lumpur.

Program yang akan diadakan di setiap kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini adalah anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur yang telah disusun semula pengurusannya sejak ia ditubuhkan pada tahun 2005.

'Program Komuniti Sukan Untuk Negara' diadakan bertujuan untuk merakyatkan aktiviti sukan di kalangan warga kota Kuala Lumpur, di samping dapat mewujudkan rangkaian penggiat dan peminat sukan untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Usaha ini selaras dengan objektif penubuhan Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur yang bertujuan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat khususnya warga kota Kuala Lumpur dalam lapangan sukan dan juga rekreasi. Ia juga selaras dengan matlamat untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kecerdasan menerusi akviti sukan yang diceburi.

Pengerusi pengelola program ini, Abdul Rahman Hashim yang juga Timbalan Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur berkata pihaknya telah mengundang Dato' Ahmad Shabery Cheek Menteri Belia dan Sukan Malaysia untuk melancarkan program ini di dalam satu majlis makan malam yang dinamakan 'Malam Mesra Komuniti Sukan Untuk Negara' pada 9 Julai yang akan datang ini.

Abdul Rahman Hashim juga berkata sempena dengan majlis itu Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur juga akan melancarkan logo rasmi program 'Komuniti Sukan Untuk Negara' (Lihat foto kanan) seterusnya menyampaikan watikah kepada penggiat pertubuhan sukan yang terdapat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta melancarkan Kelab Peminat Sukan Kuala Lumpur.

Menurutnya, program ini akan diadakan di setiap kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula dengan Parlimen Setiawangsa yang diadakan pada malam tersebut. Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur juga akan mengundang Ahli Parlimen Setiawangsa Dato' Sri Zulhasnan Rafique serta para pemimpin yang lainnya di kawasan parlimen ini ke majlis makan malam tersebut.

Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur merupakan sebuah pertubuhan berdaftar yang ditubuhkan lima tahun yang lalu yang diketuai oleh Rosli Mohammad (Foto Kiri) yang menjadi Presidennya sehingga sekarang. Dalam penyusunan semula pengurusannya itu, Rosli Mohammad telah melantik Roselan Abdul Rahman sebagai Setiausaha yang baru, manakala Md. Zahari Desa dilantik sebagai Penolong Setiausaha.

Diantara lain-lain yang menduduki ahli jawatankuasa kelab ini ialah DSP (B) Muhamad Yusof Isa, Abidin Supardi, Azrul Abdullah, Mohd. Radzi Jaafar, Phaetima Marina, Wan Arif Wan Ahmad, Dimyati Jaffar, Jailani Mohamad, Supri Saad, Abas Mohd. Dom, Adi Shahreeza Abdul Rahman, Nor Idayu Mohd. Shari dan Saripah Abd. Kareem.

Kelab juga akan melantik jawatankuasa penyelarasnya di peringkat kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diberikan peranan untuk menyelaraskan aktiviti 'Komuniti Sukan Untuk Semua' di peringkat kawasan parlimen masing-masing. Pihak kelab juga akan mendapatkan sokongan dan juga kerjasama dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan khususnya di peringkat Wilayah Persekutuan.