Friday, November 26, 2010

RAHMAN HASHIM MENGETUAI SIDANG EDITOR BULETIN UMNO WILAYAH PERSEKUTUAN

Oleh Mohd. Radzi Jaafar

Sidang panitia blog semarakwangsa mengucapkan tahniah kepada Abdul Rahman Hashim (foto kiri) yang telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan sekaligus diberikan amanah mengetuai sidang editor Buletin UMNO Wilayah Persekutuan berkuatkuasa pada 25 November 2010 yang lalu.

Perlantikan ini diumumkan sendiri oleh Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang mempengerusikan mesyuarat ketujuh biro ini Rabu lepas (25 November) di pejabat Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan
di Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Buletin UMNO Wilayah Persekutuan Edisi Kedua

Di antara ahli jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan yang menghadiri mesyuarat Penerangan Ke-7.

Dato' Shafei Abdullah sedang mempengerusi mesyuarat Penerangan Ke-7

Abdul Rahman Hashim yang pertama kali menghadiri mesyuarat itu telah diperkenalkan oleh Dato' Shafei Abdullah kepada semua ahli jawatankuasa biro yang mewakili setiap UMNO Bahagian dalam Wilayah Persekutuan, termasuk wakil Labuan yang diwakili oleh Ahli Parlimennya, Dato' Yusof Mahal.

Di dalam mesyuarat itu juga telah memutuskan bahawa penerbitan buletin UMNO Wilayah Persekutuan bagi edisi selanjutnya (Edisi 3) akan diterbitkan pada bulan Januari 2011 yang akan datang.

Abdul Rahman Hashim yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa merupakan seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam bidang penerbitan dan hal ehwal penerangan. Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Wangsa Maju di samping mengetuai sidang pengarang beberapa buletin/warta terbitan UMNO sebelum ini.

Seiring dengan kecenderungan massa terhadap media medium baru menerusi laman-laman maya, kini beliau turut mengendalikan beberapa laman blog di antaranya ialah blog locengwangsa, blog semarakwangsa, blog skuad69 PDRM dan beberapa laman blog NGO yang lainnya.

Beliau banyak melontarkan idea dan pandangan secara kritis terhadap isu-isu semasa politik tanah air di dalam blog-blognya. Selain itu, Abdul Rahman Hashim juga merupakan seorang pemidato yang mendapat pentauliahan daripada Ibu pejabat UMNO.





Saturday, November 13, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA


Friday, November 5, 2010

NAIB KETUA DAN PSU PEMUDA SETIAWANGSA LETAK JAWATAN, M. RAZALI DIPECAT?

Oleh Mohd. Radzi Jaafar

Apa dah jadi dengan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa....Naib Ketua Pemudanya Hameli Mohamed (foto kiri) dan Penolong Setiausaha Pemuda Shamsul Jamalludin telah pun meletakkan jawatan masing-masing?

Sebagai seorang yang pernah bergelumang dengan Pergerakan Pemuda, saya turut terpanggil untuk membuat sedikit ulasan dan juga pandangan terhadap senario Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa yang kini disaluti dengan kemelut berbaur 'krisis anak beranak' bagaikan tersampuk hantu.

Saya agak terperanjat dengan perkembangan yang berlaku ini, kerana ia melibatkan pembesar-pembesar kanan kepada sayap terpenting UMNO Bahagian yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Azmi Badarudin (Foto kanan di atas) yang mengetuai Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa hendaklah melihat masalah ini secara tuntas dan harus ada agenda terbaik untuk meredakan ketegangan dengan berpaksikan kepada jati diri pemuda itu sendiri.

Barisan G10 Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa

Amat malang sekali jika isu perletakan jawatan kedua-dua mereka ini bukan bersebab dengan pertelagahan dalaman Pemuda, sebaliknya ia tercetus dengan sebab tekanan yang kuat dari lembaga hitam yang telah mencengkam beberapa kerat di dalam kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian.

Gandingan mantap pimpinan Azmi dan Hameli selama ini dilihat begitu serasi, malah rata-rata di kalangan pimpinan Pemuda di peringkat cawangan merasakan selepas Azmi ialah Hameli yang layak memimpin Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa. Tetapi isu Hameli yang telah meletakkan jawatannya walaupun dikatakan dibuat secara maklumat sms kepada pihak tertentu, namun ia cukup memberi impak terhadap kestabilan Pemuda.

Saya hampir tidak percaya dengan perkembangan ini, malah saya bagaikan tidak mahu mempercayainya. Namun apabila empunya diri (Hameli) menyatakannya kepada saya, maka saya beranggapan maklumat berkenaan adalah sahih. Sebelum ini pun saya bagaikan tidak mempercayainya apabila dikhabarkan Shamsul@Seventh (Foto kiri) juga telah meletakkan jawatan sebagai Pen. Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian.

Bukan itu sahaja malah salah seorang daripada Exco Pemuda UMNO Bahagian itu (M. Razali Ibrahim) yang bertaraf exco lantikan turut menerima tekanan untuk dipecat. Operasi pemecatan dan perletakan jawatan ini telah berlaku selepas musim persidangan perwakilan peringkat Bahagian baru-baru ini.

Difahamkan operasi itu boleh terjadi kerana mereka yang berkenaan ini dihidu oleh pihak tertentu sebagai penyokong kepada tokoh tertentu yang tidak sehaluan dengan payung tertentu yang memayungi tokoh tertentu dalam Pemuda. Jika itulah bentuk tekanannya, saya bagaikan boleh tergelak sendiri melihat gelagat pencatur politik yang bergentayangan di dalam Bahagian Setiawangsa ini sehingga menjatuhkan martabatnya mencampuri urusan rumahtangga orang lain.

Begitu juga saya bagaikan tidak mahu mempercayai benarkah Azmi Badarudin sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa sering tersasar dan hilang kawalan tatkala berhadapan dengan arus tekanan tersebut. Beliau dikatakan terlalu dikongkong oleh pihak tertentu di luar Pemuda, malah 'siaran sering tergendala' kerana alat pemancar (Remote Control) tidak dalam genggamannya.

Disebabkan Azmi telah kehilangan rentaknya, maka difahamkan Ketua Pemuda Bahagian itu terpaksa berbuat sesuatu untuk memantapkan semula dirinya yang tidak lagi diyakini oleh beberapa pihak di dalam saf pimpinannya itu dengan penyusunan semula jemaah kabinetnya. Shamsul Jamalludin yang telah meletakkan jawatan sebagai PSU telah dilantiknya semula sebagai ahli jawatankuasa menggantikan M. Razali, manakala Fauzee Shahar (Foto Kanan) telah dilantik sebagai PSU menggantikan Shamsul.

Pada saya jika itulah permainannya, adalah lebih baik mengekalkan sahaja Shamsul sebagai PSU dan bukannya meletakkan Shamsul di tahap ahli jawatankuasa biasa. Saya lebih merasakan kebijaksanaannya, jika Azmi dapat memujuk semula Hameli supaya tidak disisih dari jawatan yang disandangnya itu. Saya percaya Hameli bukannya berbalah dengan Azmi, cuma Hameli merasakan dirinya telah ditekan oleh pihak tertentu yang melilit Azmi.

Saya masih menaruh harapan agar kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa dapat mencari formula terbaik mengekalkan jati dirinya daripada terjebak dengan kongkongan pihak tertentu yang tidak ada kaitan dengan aura Pemuda.

Budaya cantas mencantas hendaknya janganlah diamalkan di dalam era Pemuda ini, sebaliknya Pemuda hendaklah mencambahkan daya fikir anggotanya supaya membudayakan kesatuan hati untuk merakyatkan UMNO di peringkat akar umbi. Saya masih optimis, Azmi boleh malakukannya.


DULU NIK AZIZ MASUK HOSPITAL NAJIB DATANG MELAWATNYA, KINI NAJIB MASUK HOSPITAL, NIK AZIZ TAK DATANG KE?

Najib ziarah Nik Aziz


Thursday, November 4, 2010

SHAFEI & ZAID IBRAHIM BAKAL BERTEMBUNG DI WANGSA MAJU?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Tahniah kepada UMNO Bahagian Wangsa Maju pimpinan Ketua Bahagiannya Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah (Foto Kiri) kerana telah berjaya memikat hati Nasir Husin, bekas Ketua PKR Cabang Wangsa Maju dan 200 anggota PKR yang lainnya menyertai UMNO.

(Foto Kanan - Dato' Zaid Ibrahim)

Seingat saya sudah lama Nasir Husin ingin melompat semula ke dalam UMNO setelah beliau meninggalkannya sejak tahun 1998 untuk menzahirkan sokongannya kepada Anwar Ibrahim yang sudah pun dipecat dari UMNO pada tahun berkenaan. Sebelum ini beliau pernah menjadi ahli UMNO di dalam Bahagian Titiwangsa.

Bukan itu sahaja Nasir Husin sudah pun membuktikan pengorbanannya terhadap Anwar setelah dirinya sendiri tertangkap oleh pihak polis di dalam satu operasi ISA semasa kehangatan isu Anwar pada tahun 1998 yang juga membabitkan beberapa tokoh seperti Zahid Hamidi, Azam Abdul Rahman (Presiden ABIM), Kamarudin Jaafar, Ruslan Kassim dan lain-lainnya yang saya tidak berapa ingat lagi.

Beliau ditahan kerana dikatakan terbabit dalam gerakan reformasi yang diketuai oleh Ezam Mohd. Noor dan Azmin Ali pada masa itu. Hampir setiap minggu demonstrasi digerakkan oleh reformist terbabit di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Kg. Baru dan juga di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Setelah dibebaskan, Nasir telah meneruskan perjuangan bersama Parti KeADILan (ADIL) dan telah dilantik sebagai Ketua ADIL di Parlimen Wangsa Maju. Beliau sempat mengetuai parti itu dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1999 walaupun tidak menjadi calon menentang Zulhasnan Rafique di Wangsa Maju. Parti KeADILan yang diwakili oleh Marina Yusof pada masa itu tertewas di tangan Zulhasnan Rafique sebagai muka baru mewakili BN.

(Foto Kanan - Nasir menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Dato' Shafei)

Hari ini Nasir bagaikan kesampaian hajatnya untuk bersama semula di dalam UMNO. Beliau menyatakan lebih ramai lagi yang bakal mengikut jejak langkahnya dalam beberapa bulan ini. Kini Parti KeADILan telah bertukar jenama kepada Parti Keadilan Rakyat atau PKR. Ketua PKR di Wangsa Maju kini bukan lagi Nasir dan bukan juga Wee Choo Keong.

Kedua-dua mereka tidak mempercayai lagi perjuangan palsu Anwar Ibrahim yang mereka anggap betul sebelum ini. Hari ini PKR Cabang Wangsa Maju diketuai oleh seorang bekas Menteri daripada UMNO iaitu Datuk Zaid Ibrahim yang juga menjadi Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Difahamkan Zaid kini sedang berjinak-jinak untuk mempertaruhkan dirinya bertanding dalam PRU13 nanti di kawasan Parlimen Wangsa Maju yang kini disandang oleh Wee Choo Keong yang telah lebih awal bertindak keluar daripada parti itu untuk menjadi Wakil Rakyat Bebas.

Wee yang tinggalkan PKR tidak pula berminat untuk menyertai BN. Sepatutnya MCA membuka pintu kepada Wee untuk sertai parti komponen BN itu, tetapi ianya tidak berlaku kerana MCA lebih berminat untuk mengembalikan semula Yew Teong Look (YTL) menjadi calon BN di kawasan parlimen ini.


Dari Kiri - Yew Teong Look, Wee Choo Keong & Zaid Ibrahim

YTL merasakan kekalahan 150 undi di tangan PKR dalam PRU12 lalu mungkin dapat ditebus kembali sekiranya beliau berentap dengan Zaid Ibrahim yang mungkin bertanding mewakili PKR. Zaid Ibrahim pula bagaikan sudah menghidu bahawa peratusan besar pengundi Melayu di Wangsa Maju bakal kecewa lagi kerana BN mungkin tidak meletakkan calon UMNO dalam PRU13 nanti.

Kehadirannya di Parlimen Wangsa Maju haruslah dilihat oleh UMNO sebagai satu cabaran sejauh mana UMNO yang dipimpin oleh Shafei Abdullah mampu memulihkan kekecewaan pengundi-pengundi Melayu di sini buat kali kedua yang mengharapkan calon MCA tidak lagi dipertaruhkan setelah tewas dalam PRU yang lepas.

Kekecewaan pengundi Melayu di Wangsa Maju ini mungkin ada asasnya, kerana kerusi di kawasan ini telah diwakili oleh UMNO sejak PRU 1995 yang telah dimenangi oleh Ketua UMNO Bahagiannya Datuk Dr. Kamal Salih. Kemudian pada PRU 1999, kawasan ini sekali lagi mendominasi kemenangan dengan mempertaruhkan calon UMNO iaitu Datuk Sri Zulhasnan Rafique.

Namun begitu bermula pada PRU 2004 kawasan Parlimen Wangsa Maju tidak lagi diwakili oleh UMNO sehinggalah BN kecundang di dalam PRU13 pada tahun 2008 yang lalu yang menyaksikan pertarungan calon-calon bukan Melayu iaitu Yew Teong Look dari MCA dan juga Wee Choo Keong dari PKR.

(Foto kanan - Dato' Shafei dalam satu program berkhatan di Kg. Puah)

Diantara kedua-dua mereka, siapa yang menang dan siapa yang kalah di kawasan ini memperlihatkan betapa UMNO tidak lagi disenangi oleh pengundi-pengundi Melayu di atas kegagalan meletakkan calon Melayu di kawasan ini yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Pada mereka sudah dua kali kawasan Parlimen Wangsa Maju diwakili oleh calon bukan Melayu, dan kali ini kedengaran bahawa sebahagian besar pengundi Melayu di sini mahukan calon Melayu mewakili mereka. UMNO Bahagian Wangsa Maju perlulah melihat senario ini secara tuntas kerana pengundi Melayu di sini mengharapkan BN tidak lagi meletakkan calon Cina sebaliknya mereka mahu mengembalikan kerusi ini kepada calon UMNO.

Jika UMNO tidak meletakkan calonnya, pasti ia menjadi advantage kepada PKR yang mungkin sudah membacai keperluan meletakkan calon Melayu bertanding di kawasan ini. Secara peribadi saya melihat YTL yang mengidamkan sekali lagi untuk bertanding di Wangsa Maju mungkin bakal menempah kekalahan kali keduanya.

Saya lebih optimis menyatakan sudah sampai masanya Wangsa Maju meletakkan semula calon UMNO untuk bertanding dalam PRU13 nanti supaya kedahagaan pengundi Melayu di sini dapat disegarkan semula. Sekiranya YTL juga yang bertanding, yang pasti pengundi Cina bakal berpecah kerana Wee Chee Keong juga mungkin berkeyakinan dirinya masih berpengaruh lantas beliau bertanding semula atas tiket bebas.

Kemunculan pula Zaid Ibrahim sebagai calon PKR sebenarnya menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara BN yang diwakili oleh YTL dan juga Wee Choo Keong sebagai calon Bebas. Senario ini dilihat akan menguntungkan PKR yang akan berjaya meraih sebahagian besar daripada pengundi-pengundi Melayu, manakala parti itu juga dilihat masih mampu untuk meraih kepercayaan pengundi-pengundi bukan Melayu yang sudah muak dengan MCA dan juga Gerakan yang masih membuai dengan masalah dalamannya.

Kebencian dan mual pengundi Cina terhadap MCA dan juga Gerakan telah mendorong mereka ini untuk beralih arah kepada Pakatan Rakyat. Kecondongan yang ketara masyarakat Cina kepada DAP nampaknya masih tegar jika dibandingkan dengan MCA dan juga Gerakan. MCA dan Gerakan haruslah membuat koreksi segera untuk membaik pulihkan keyakinan pengundi Cina terhadap BN jika mahukan Wangsa Maju kembali ke pangkuan BN.

Untuk memperbetulkan kemelut keyakinan ini, saya menaruh harapan yang tinggi agar dinamisme yang dimiliki oleh Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah selaku Ketua UMNO Bahagian dan juga Pengerusi Barisan Nasional Wangsa Maju dapat meletakkan keutamaan untuk menang merentasi bentuk kompromi lapuk yang akan menjebakkan BN dengan kekalahan kali kedua di PRU13.

Saya berpendapat apa salahnya BN Wangsa Maju kali ini meletakkan bosnya sendiri iaitu Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah untuk menyertai sirkit PRU13 agar BN dapat meraih gelombang rakyat Wangsa Maju yang memerlukan ketokohan seperti beliau.

Shafei dan Zaid pertembungan buku dengan ruas..


Dari Kiri - Shafei Abdullah & Zaid Ibrahim

Biarkan Shafei (UMNO) berentap dengan Zaid (PKR). Pertembungan buku dengan ruas ini mungkin menyebelahi Shafei kerana beliau merupakan calon tempatan yang sudah lama bertapak dan berakar umbi di Wangsa Maju. Zaid Ibrahim di Wangsa Maju tidaklah segagah namanya jika hendak dibandingkan dengan kehebatan Shafei Abdullah yang sudah lama merakyatkan dirinya dengan warga di Wangsa Maju.

Shafei harus diberikan peluang ini oleh pucuk pimpinan parti kerana beliau mampu melepasi halangan yang terbeban oleh YTL selama ini. YTL adalah calon BN yang kalah dalam PRU12, beliau tidak seharusnya dimangsakan sekali lagi dengan kekecewaan dan kemuakkan oleh warga Wangsa Maju yang tidak memerlukannya kali ini.

Saya yakin sebahagian besar warga di Kampung Wira Jaya, Kampung Sungai Mulia, Kampung Setia Jaya, Kampung Puah Seberang Utara/Selatan, Kampung Puah Bahagia, Kampung Puah, begitu juga penduduk di Taman Ibu Kota, Taman Setapak Indah, Taman Danau Kota, Taman Bunga Raya, Taman Melati, Seksyen 1, 2 dan 4 Wangsa Maju, malah saya lebih yakin dengan penduduk di Taman Setapak yang diketuainya, di mana semua kawasan penempatan ini tentunya mengharapkan Ketua UMNO Bahagian mereka dapat menjadi calon dalam PRU13 nanti.

Shafei Abdullah dalam meredah kejayaannya sebagai seorang pemimpin rakyat tidak digapainya dengan jalan yang mudah. Kepimpinannya telah merakyat dan berakar rumput sejak bergelumang dalam era Pemuda di Bahagian Batu sehingga beliau pernah mengetuai Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju sebelum menyandang jawatan Naib Ketua Bahagian hinggalah ke mercu hari ini sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju.

Keakrabannya dalam persahabatan begitu ampuh, begitu juga komitmennya dalam tingkah berpolitik amat dedikasi dan begitu terencana agenda perjuangannya. Saya pernah bergelumang dan berkancah politik dengannya. Kami pernah bersengketa dalam bertingkah politik, namun tidak pernah pula kami bermusuh tanpa bernoktah.

Keazaman dan kekuatan iltizam perjuangannya telah memikat Dato' Sri Najib Tun Razak sehingga melantik beliau sebagai Setiausaha Politiknya hingga kini. UMNO Wangsa Maju hendaklah seiring dengan beliau untuk mengembalikan semula maruah UMNO yang tersadung dalam PRU11 dan PRU12. Mungkinkah PRU13, Wangsa Maju milik UMNO?