Tuesday, June 1, 2010

KG. BARU TANAH ANUGERAH SULTAN SELANGOR BAKAL DIMILIKI 40 PERATUS BUKAN MELAYU?

Almarhum Sultan Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa
Sultan Selangor memerintah dari 1898 - 1938


Kg. Baru anugerah Sultan Sulaiman Shah Ibni Raja Muda Musa

Kg. Baru semakin mendapat perhatian. Terbaru Raja Nong Chik Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengumumkan cadangan kerajaan untuk menyerahkan kuota 40 peratus kepada bukan Melayu terhadap tanah anugerah Sultan Selangor, Sultan Sulaiman Shah Ibni Sultan Raja Muda Musa yang kini didiami turun temurun oleh masyarakat Melayu sejak tahun 1899.

Isu kuota 40 peratus kepada bukan Melayu untuk pembangunan Kg. Baru di Kuala Lumpur kini dihambat kontroversi. Rata-rata di kalangan orang Melayu merasakan cadangan kerajaan untuk menisbahkan 60/40 antara Melayu dan bukan Melayu bukanlah satu formula yang bijak sebaliknya telah mengguris malah melukakan hati orang Melayu.

Keresahan masyarakat Melayu yang mewarisi tanah pusaka anugerah Sultan Selangor itu jika tidak cermat diuruskan berkemungkinan akan memarakkan lagi kebencian dan kemarahan warga Melayu di situ yang masih sayangkan tanah milik mereka selama ini.

Jika cadangan ini tetap diteruskan dibimbangi Melayu akhirnya makan tulang sedangkan dagingnya akan dimamah oleh 'orang luar' yang tidak berperisa Melayu. Perdana Menteri ketika mengulas mengenai masa depan Kg. Baru ini ketika berucap di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM Ahad lalu telah memberi jaminan bahawa identiti Melayu tidak akan hilang jika pembangunannya dapat disertai oleh golongan bukan Melayu.

Persoalan yang berbangkit ialah apa guna dengan identiti itu jika harta milik orang Melayu selama ini dibiarkan pupus secara 'pecah dan perintah'. Terfikirkah kita selama ini jika Kg. Baru dibangunkan dengan perancangan nisbah 60/40, Melayu hanya bermegah dengan projek mega itu, tetapi tidak mampu bersaing dengan golongan yang mendapat 40 peratus itu.

Melayu yang telah kehilangan 4o peratus itu akhirnya terjerumus dengan fenomena gulung tikar bahkan kemungkinan apa yang digenggam akan terlepas ke tangan mereka yang sudah pun memiliki 40 peratus hasil dasar yang tidak cermat yang dilakukan oleh kerajaan UMNO hari ini.

Kita lihat saja apa yang sudah terjadi dengan projek mega KLCC. Perancangan awal kononnya akan memberi jaminan kepada kepentingan bumiputera, tetapi Ananda Krishnan yang telah menjualnya kepada Petrronas tetap tidak mampu menyelamatkan kepentingan kuota Melayu yang menceburi pasaran komersial di Suria KLCC.

Perniagaan Nasi Kerabu oleh pengusaha Melayu yang terpaksa membayar belasan ribu sewaan bulanan di kompleks membeli belah itu kini telah dilenyapkan jika dibandingkan dengan perniagaan Coffee Bean, Starbucks, Secret Recipe dan banyak lagi gedung-gedung yang telah didominasi oleh golongan yang bukan berperisa Melayu.

Apakah tergamak kerajaan hari ini mengambil tanah-tanah pusaka Melayu yang terletak di Kg. Baru itu dengan menjanjikan kononnya kepentingan Melayu tidak akan terjejas, sedangkan 40 peratus sudah pun terang lagi bersuluh akan diberikan pemilikan kepada golongan bukan Melayu, seolah-olah kerajaan merasakan orang Melayu di sana mungkin boleh bersetuju dengan formula pembahagian 60/40.

Inilah rumitnya jika orang Melayu hari ini dipaksa untuk menerima slogan 1Malaysia dimana segala-galanya mesti berkongsi dengan orang lain atas dasar kesamarataan kononnya. Keuntungan yang boleh dikecapi oleh bangsa lain di sebalik gagasan 1Malaysia sebenarnya amat merugikan malah boleh membunuh bangsa Melayu.

Orang Melayu sering disarankan supaya lebih banyak berkompromi dengan bukan Melayu hatta tanah milik pusaka orang Melayu juga terpaksa dibahagi-bahagi dengan mereka yang bukan sejiwa dengan Melayu, atas dasar untuk membodek hati mereka menyokong kerajaan yang ada pada hari ini.

Apakah kerajaan UMNO/BN sudah menghadapi kebuntuan untuk memikirkan bagaimana untuk membangunkan kepentingan Melayu di Kg Baru ini tanpa merobek hati orang Melayu yang tidak merelakan tanah mereka dikongsikan dengan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan tanah pusaka itu?

Jika formula perkongsian itu difikirkan boleh memajukan masa depan Melayu, kenapa ianya tidak dipraktiskan di tanah setinggan Cina yang terletak di Pudu yang kini menempatkan bangunan berkembar 'Berjaya Times Square' (Foto) milik Vincent Tan? Apakah orang Melayu telah diberikan kuota tertentu sebelum tanah itu dibangunkan? Rasanya tidak! Jika begitu kenapa Kg. Baru perlu dimangsakan atas nama pembangunannya?

Diharapkan kerajaan dapat menimbang semula cadangannya itu. Raja Nong Chik Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tidak wajarlah 'under estimate' pemilik dan pewaris tanah di Kg. Baru itu tanpa melihat lebih jauh masa depan generasi yang boleh diharapkan menjadi pewaris kepada hak kepentingan tanah kurniaan Sultan Selangor itu.

Kita tidak mahu melihat kerugian yang telah diterima oleh masyarakat Melayu di Singapura hasil dasar yang tidak memihak kepada orang-orang Melayu di negara Temasek itu. Kita rasa sedih dengan peninggalan-peninggalan Melayu seperti Kg. Gelam, Jalan Ampas dan yang terkini menyaksikan permainan tarik tali kerajaan PAP untuk meNyahkan tanah milik Keretapi Tanah Melayu di Tg. Pagar.

Amat malang sekali jika nasib orang Melayu di Kg. Baru tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan yang dipimpin oleh UMNO hari ini. UMNO janganlah dilihat oleh generasi akan datang sebagai 'Pagar Makan Padi'.

Kg. Baru yang sinonim dengan sejarah penempatan tertua bagi masyarakat Melayu di Kuala Lumpur ini hendaknya tidak meluputkan susur galur tanah pusaka ini kerana kita tidak mahu orang Melayu hilang sejarahnya kelak.