Wednesday, February 10, 2010

ZULHASNAN TEMUI PENDUDUK MADU MAS, SETAPAK
Oleh Radzi Jaafar

Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa telah disambut meriah oleh penduduk apartment Madu Mas yang terletak di Jalan Ayer Madu, Setapak, Kuala Lumpur, di dalam satu majlis 'Mesra Rakyat 1Malaysia Madu Mas' anjuran Air Panas Development Sdn Bhd yang diadakan pada hari Ahad lepas, 7 Februari 2010, jam 3 petang, di laman kolam renang apartment berkenaan.

Semasa ketibaan di perkarangan apartment Madu Mas ini, Dato' Sri Zulhasnan telah disambut oleh Encik Mohamad Baba Kutty, Pengarah Urusan Syarikat Air Panas Development Sdn Bhd bersama dengan Encik Roselan Abdul Rahman, Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan. Encik Roselan juga merupakan Pengerusi Pengelola majlis yang tersebut.
Sebelum naik ke tingkat 3, Dato' Sri Zulhasnan juga disambut dengan pertunjukan tarian singa dan pasukan gendang India. Sebaik sampai ke laman kolam renang yang berada di tingkat 3, Zulhasnan dan rombongannya telah disambut pula dengan paluan kompang.

Foto Kiri: Mohamad Baba Kutty
Foto Kanan: Roselan Abdul Rahman

Kira-kira 300 orang penduduk yang terdiri daripada penghuni apartment berkenaan termasuk tetamu-tetamu lain dari kalangan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan di sekitar kawasan Air Panas turut memeriahkan majlis tersebut.

Selain mereka, turut hadir di dalam majlis ini ialah pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian Setiawangsa iaitu seperti Dato' Hj Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dan Puan Hairunnisha Ismail, Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa serta 12 orang Ketua-Ketua UMNO Cawangan di dalam Bahagian ini. Turut kelihatan ialah wakil-wakil DBKL dan juga wakil-wakil Perumahan Guru yang berjiran dengan apartment Madu Mas.

GAMBAR-GAMBAR LOKASI
'MAJLIS MESRA RAKYAT 1MALAYSIA'

APARTMENT MADU MAS


Di dalam ucapannya Dato' Sri Zulhasnan Rafique amat gembira dengan kehadiran penduduk apartment ini yang kini telah pun menjadi sebahagian daripada warga Setiawangsa. Beliau menyeru agar penghuni apartment ini dapat menjalani kehidupan bermasyarakat dengan semangat 1Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan juga budaya.

Selain itu beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Syarikat Air Panas Development Sdn Bhd yang telah berjaya menyiapkan pembinaan apartment 11 tingkat yang mengandungi 199 unit rumah ini; dengan penyediaan prasarana lengkap untuk kegunaan penduduk setempat.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga turut menyokong cadangan yang dikemukakan oleh wakil penduduk Madu Mas, Roselan Abdul Rahman untuk menubuhkan sebuah Persatuan Penduduk di Madu Mas ini. Roselan disarankan supaya cepat berbuat demikian supaya penduduk di Madu Mas dapat menikmati kehidupan yang lebih terancang dengan kepelbagaian kegiatan sosial yang bakal diadakan.

Menurut kata Zulhasnan lagi, pihak DBKL sendiri mempunyai kalendar kegiatannya untuk masyarakat di sini jika persatuan penduduk dapat ditubuhkan kelak. Pihak persatuan juga akan diberikan peruntukan khas untuk tujuan tersebut.