Saturday, May 22, 2010

MUHYIDDIN YASSIN BUAT KOPI TARIK DI SETIAWANGSA

oleh: Abidin Supardi

Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri disambut meriah oleh penduduk tempatan di Parlimen Setiawangsa hari ini di dalam satu program 'Juara Rakyat' yang diadakan di PPR Sg. Bonus dekat Ayer Panas.
Memeriahkan lagi suasana di situ, Tan Sri Muhyiddin telah diberikan kesempatan untuk mempamirkan bakatnya membuat kopi tarik di atas pentas di hadapan lebih 1,000 penduduk yang menghadiri sambutan 'Hari Keluarga' anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Setiawangsa.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tunjuk bakat buat kopi tarik

Dato' Sri Zulhasnan Rafique menyambut ketibaan Tan Sri Muhyiddin Yasin

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan juga telah dibawa melawat ke tapak pameran dan juga menyaksikan pertandingan memasak rendang 1Malaysia serta pertandingan mewarna kanak-kanak yang dikendalikan oleh Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa.

Sebelum itu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah disambut oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang juga Ahli Parlimen kawasan tersebut. Turut hadir di dalam majlis itu ialah Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamad Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Dato' Redzuan Hamid Ketua UMNO Bahagian Kepong, Dato' Tan Chai Ho Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan dan juga pemimpin-pemimpin komponen BN yang lainnya.

Pujian harus diberikan kepada Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sg Bonus Encik Razak Karim (Foto Kiri) yang menjadi tuan rumah kepada program juara rakyat ini.

Pengerusi Pengelola Hari Keluarga tersebut Puan Hairunnisha Ismail (Foto kanan di bawah) yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa melahirkan rasa syukur dan amat menghargai di atas sokongan dan juga kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak dalam menjayakan kesempurnaan perjalanan program Juara Rakyat ini.

Hari Keluarga yang diadakan itu dilihat telah berjaya mengeratkan hubungan perpaduan di kalangan penduduk tempatan. Tahniah dan syabas kepada UMNO Bahagian Setiawangsa di atas kesungguhan mendekati rakyat akar umbi menerusi aktiviti kemasyarakatan yang telah diadakan itu.

UMNO Bahagian Setiawangsa yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique telah banyak merencanakan aktiviti masyarakat seumpama ini. Sebelum program Hari Keluarga ini dijalankan, Dato' Sri Zulhasnan yang juga Wakil Rakyat kawasan ini dikatakan begitu gembira dan berpuas hati di atas kesungguhan semua peringkat sayap-sayap parti yang telah berjaya mengaturkan program masing-masing.

Kejayaan mengadakan Kursus Pemantapan Politik (Retreat) di Kem Ilmu Janda Baik pada April yang lepas dilihat telah meningkatkan motivasi kepimpinan di semua peringkat dalam Bahagian Setiawangsa sebagai langkah persediaan untuk menghadapi cabaran pilihan raya umum yang akan datang.

Kebijaksanaan Zulhasnan dalam era kepimpinannya dilihat telah berjaya memperkukuhkan kedudukan politik UMNO di Bahagian ini. Persaingan merebut jawatan tertentu di dalam UMNO Bahagian sebelum ini dilihat tidak menjurus kepada keretakan yang membarah, sebaliknya beliau mampu menyusun secara berhemah dalam mengurangkan politiking untuk menjadikan 'Setiawangsa' lebih perkasa.


Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Noraini (Kiri sekali)
di atas pentas utama bersama Dato' Sri Zulhasnan Rafique

Kelihatan Dato' Fauzi Zahari (memegang payung) di tengah-tengah
kemeriahan program Juara Rakyat

Papan Tanda UMNO Cawangan Dataran Bonus dan UMNO
Cawangan Immetex yang baru saja dipasang sempena
program Juara Rakyat Parlimen Setiawangsa

Abidin Supardi bersama Tuan Haji Yusof Setpol
Timbalan Perdana Menteri

Datin Sri Ana Razak (Tengah-tengah) bergambar kenangan
bersama para tetamu





MUHYIDDIN YASSIN BERKUNJUNG KE SETIAWANGSA

Tan Sri Muhyiddin Yassin Timbalan Perdana Menteri akan berkunjung ke Parlimen Setiawangsa hari ini dan beliau akan merasmikan satu program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Setiawangsa di PPR Sungai Bonus.

Muhyiddin akan diberikan sambutan meriah di sana. Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga Ketua UMNO Bahagian itu akan mengetuai sambutan sebelum beliau memeriahkan beberapa acara Hari Keluarga yang dipengerusikan oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Puan Hairunnisha Ismail.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan. Parlimen Setiawangsa merupakan satu-satunya kawasan parlimen yang dimenangi oleh UMNO/BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selain Putrajaya dan juga Labuan dalam PRU12 yang lalu.

Kehadiran Muhyiddin Yassin diharapkan dapat menyuntik semangat rakyat di kawasan parlimen ini untuk mengekalkan kekuatan BN menjelang pilihan raya akan datang.