Monday, March 8, 2010

PEMUKIMAN JANDA BAIK YANG BERJAYA...

'Retreat' atau 'pemukiman' UMNO Bahagian Setiawangsa di Janda Baik, Bentong, Pahang yang berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula pada 5 Mac lalu telah berakhir dengan jayanya pada hari ahad, 7 Mac yang lepas.

(Foto Retreat Janda Baik: Dari Kiri - Dato' Fauzi Zahari, Dato' Sri Zulhasnan dan Dato' Halim Samad)

Di akhir pemukiman Janda Baik ini, jelas kelihatan ketiga-tiga pemimpin utama UMNO Bahagian ini iaitu Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Ketua Bahagian), Dato' Halim Samad (Timbalan Ketua) dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari (Naib Ketua) begitu ceria sekali dengan kejayaan penganjuran kursus ini.

Lebih 200 peserta yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan di Bahagian Setiawangsa juga telah menjadi saksi apabila ketiga-tiga pemimpin ini telah bergandingan menjulang tangan di hadapan mereka sebaik sahaja selesai Dato' Fuad Hassan, Ketua Pengarah Jasa menyampaikan ceramah isu-isu semasa di hari kedua (Hari Sabtu).

Para peserta kelihatan begitu tersentuh dan tampak gembira apabila kesemua mereka di dalam dewan berdiri sambil memberikan tepukan gemuruh setelah ketiga-tiga pemimpin ini berada di pentas sambil menjulang tangan bersama-sama dengan Dato' Fuad Hassan.


Foto Kiri: Dato' Sri Zulhasnan, Dato' Halim & Dato' Fauzi meraikan Dato' Fuad Hassan
Foto Kanan: Suasana hari ketiga dalam dewan.

Abdul Rahman Hashim, Ahli Jawatankuasa Bahagian (Foto kanan) yang bertindak sebagai moderator kepada sesi ceramah ini dengan penuh bersemangat menyatakan bahawa gandingan mantap mereka ini perlu diberikan sokongan padu untuk mengukuhkan lagi keazaman politik UMNO/BN Setiawangsa dalam menghadapi cabaran PRU13 yang akan datang.

Dato' Fuad Hassan (Foto Kiri), Ketua Pengarah Jasa terbukti telah berjaya menambat hati para peserta dengan ceramah memukaunya itu. Fuad Hassan telah menghangatkan lagi sesi ceramahnya itu dengan kupasan terhadap isu-isu 'Anwar Ibrahim' dan kemelut Pakatan Rakyat yang membabitkan pergolakan PKR.

Menurutnya UMNO hendaklah sentiasa berada di dalam kesiapsiagaan dan mampu untuk menyerang dakyah parti lawan yang sering memutar belitkan isu-isu tertentu terhadap UMNO/BN dan juga kerajaan. Pegangan 'attacking is the best defence' telah dilontarkan oleh Fuad sebagai kaedah terbaik untuk melemahkan parti pembangkang.

Fuad juga berpendapat serangan bertubi-tubi yang dibuat oleh parti pembangkang terhadap UMNO/BN tidak harus dibiarkan, malah pihak UMNO juga mempunyai banyak isu yang membabitkan parti lawan yang sepatutnya diketengahkan. Fuad juga meminta agar semua pemimpin UMNO tidak berada di dalam zon selesa sehingga terleka untuk membuat serangan balas kepada parti pembangkang.


Foto Kiri: Dato' Zul, Dato' Halim, Dato' Fauzi & Rahman Hashim bersama penceramah SPR
Foto Tengah: Dato' Sri Zulhasnan bersalaman dengan peserta di akhir kursus
Foto Kanan: Peserta membuat bulatan di akhir kursus

Sementara itu, di akhir retreat ini Dato' Sri Zulhasnan Rafique telah menerima rumusan-rumusan berupa cadangan pelan tindakan yang dirumuskan oleh para peserta daripada 4 kumpulan yang berbeza mengikut zon peti undi pilihan raya bagi kawasan Parlimen Setiawangsa.

Dato' Fauzi Zahari, Naib Ketua Bahagian yang juga Pengerusi Penyelaras Retreat ini telah menyerahkan semua pelan tindakan tersebut kepada Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa untuk dijadikan rujukan dan juga tindakan selanjutnya. Semua pelan tindakan itu telah dirumuskan dalam bentuk 'Analisa SWOT' yang menjurus kepada kajian kekuatan, kelemahan, merebut peluang dan juga bentuk ancaman yang dihadapi oleh UMNO khususnya di Setiawangsa.

Di dalam ucapan penutupan, Dato' Sri Zulhasnan telah memaklumkan iaitu semua pelan tindakan yang diterimanya itu akan diteliti oleh Biro Politik dan akan mempastikannya segera diambil tindakan.