Monday, February 21, 2011

LEBIH TIGA RIBU WARGA SETIAWANGSA SERTAI PERARAKAN MAULIDUR RASUL

Oleh Abdul Rahman Hashim



Lebih 3 ribu peserta dari kalangan warga Setiawangsa telah mengambil bahagian di dalam perarakan Maulidur Rasul anjuran Permuafakatan Masjid dan Surau Parlimen Setiawangsa (MAPEMS) yang diadakan pada hari Sabtu, 19 Februari lepas.

Perarakan Maulidur Rasul ini diketuai oleh YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa bermula dari padang Taman Seri Rampai menuju ke Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan melalui jalan-jalan berdekatan dengan Bangunan Felcra, simpang ke Seksyen 10 Wangsa Maju menghala ke Rampai Court seterusnya ke destinasi terakhir di perkarangan Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah.



Sebanyak 52 pasukan kontinjen telah mengambil bahagian dalam perarakan tersebut yang mewakili masjid dan surau-surau seluruh kawasan Parlimen Setiawangsa termasuk daripada badan-badan kebajikan, persatuan-persatuan penduduk dan juga murid-murid sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Setiawangsa. Sementara itu Universiti Teknologi Malaysia sendiri telah menghantar sebanyak 15 pasukan kontinjennya menyertai perarakan tersebut.



Turut serta dalam perarakan ini juga ialah Datuk Che' Mat Che' Ali, Pengarah JAWI, Tuan Haji Abdullah Abdul Rahman, Pengerusi Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, dan ASP Napri Sahlan, Pengerusi MAPEMS. Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa serta beberapa orang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian juga kelihatan mengambil bahagian dalam perarakan ini.




Turut mengambil bahagian dalam perarakan tersebut ialah Datuk Jawahar Ali, pemilik rangkaian Restoran Ali Maju yang menaja sebahagian daripada makanan dan minuman majlis tersebut.

Pasukan-pasukan kontinjen yang terbaik juga telah menerima hadiah kemenangan daripada Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Forum Perdana Maulidur Rasul juga diadakan sebaik sahaja selesai majlis penyampaian hadiah tersebut. Tahniah kepada pihak penganjur yang telah berjaya mengumpulkan lebih 3 ribu orang yang terlibat di dalam program ini.


Saturday, February 5, 2011

TAHNIAH....LIMA TOKOH SETIAWANGSA TERIMA DARJAH KEBESARAN DARI YANG DI-PERTUAN AGONG




Tahniah.....lima orang tokoh daripada UMNO Bahagian Setiawangsa telah pun menerima kurniaan darjah kebesaran daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang diraikan pada 1 Februari 2011.

Mereka yang menerima kurniaan itu ialah:-
  • Othman Bin Baba - Bintang Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W)
  • Abdul Rahman Bin Hashim - Bintang Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W)
  • Saiful Annuar @ Adam Taufek Bin Mat Ali - Bintang Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W)
  • Nor Hayatina Bt Noor Hakimi - Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W
  • Rosli Bin Mohammad - Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W)
Istiadat menghadap dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan ini telah diadakan buat pertama kalinya di Istana Melawati, Putrajaya (Foto). Sebelum ini istiadat tersebut diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, kesemua penerima darjah kebesaran ini telah menghadiri raptai yang diadakan pada 31 Januari di Istana Melawati, Putrajaya. Turut menyaksikan istiadat pengurniaan darjah kebsaran itu ialah Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak dan isteri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan isteri.

Mengetuai penerima darjah kebesaran Wilayah Persekutuan tahun ini ialah Tan Sri Datuk Seri Utama Mohd. Sidek Haji Hasan, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO dan Tan Sri Datuk Seri Utama Thong Yaw Hong. Masing-masing menerima Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (S.U.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.


Foto kiri - Datuk Bahrim Razak (di tengah). Foto Kanan - Datuk Santokh Singh

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Bahrim Razak telah menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk. Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Datuk Santokh Singh iaitu bekas pemain bolasepak negara. Seramai 35 orang yang menerima PMW.