Friday, February 12, 2010

RETREAT JANDA BAIK UNTUK PEMANTAPAN UMNO SETIAWANGSA

UMNO Bahagian Setiawangsa yang diterajui oleh Ketuanya Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Foto) dilihat semakin perkasa dan kini dalam posisi 'fit' dengan segala susunan agenda rakyatnya yang menjurus kepada pemantapan politik kerja dengan memperkukuhkan jentera parti khususnya di dalam UMNO.

Semua pemimpin 48 buah cawangan di Bahagian ini termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puterinya akan berkampung (retreat) di Kem ILMU di Janda Baik selama tiga hari bermula pada 5, 6 dan 7 Mac depan di dalam satu kursus 'Pemantapan Politik' yang bakal dirasmikan oleh Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Dijangkakan lebih 300 peserta akan menyertai retreat ini untuk merangka pelan tindakan bersepadu ke arah memperkasakan perjuangan UMNO sebagai langkah persiapan rapi untuk berhadapan dengan musim PRU13 tidak berapa lama lagi.

Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang bertindak sebagai Pengerusi Penyelaras Program ini sudah pun bersedia untuk menggalas tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Ketuanya Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

(Foto Kanan: Kem ILMU di Janda Baik)

Surat makluman kepada semua 48 cawangan juga telah diedarkan dimana setiap cawangan dikehendaki menghantar seramai 6 orang wakil masing-masing yang terdiri daripada Ketua Cawangan, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Setiausaha Cawangan dan Ketua Penerangan Cawangan.

Dijangkakan semua peserta akan diberikan suntikan semangat kebertanggungjawaban dan akauntibiliti terhadap perjuangan parti sebagai satu langkah kehadapan untuk pemantapan kepimpinan dan kepengikutan di peringkat akar umbi.


Pemimpin-Pemimpin Bahagian yang hadir di majlis penutupan rasmi
Kursus Team Building Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa, di Dusun Eco Resort
pada 7 Februari 2010 lalu.


Kursus 'Team Building' Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa,
pada 5, 6 dan 7 Februari 2010, di Dusun Eco Resort.

Gerak kerja sedemikian juga telah dilaksanakan lebih awal oleh Pergerakan Puteri UMNO Bahagian ini dimana mereka telah berjaya mengumpulkan serikandi puteri di dalam satu kursus 'team building' yang telah diadakan pada 5, 6 dan 7 Februari yang lalu, bertempat di Dusun Eco Resort, Karak, Pahang.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique sendiri telah pun menyampaikan amanatnya kepada pemimpin-pemimpin Puteri yang hadir semasa merasmikan penutupannya pada 7 Februari lepas. Seriwani Sabtu, Ketua Puteri Bahagian Setiawangsa di dalam ucapan penutupnya telah memberikan keyakinan kepada Dato' Sri Zulhasnan betapa semangat berpasukan diantara mereka telah berjaya disematkan untuk menjadikan mereka lebih bersiap siaga dalam menghadapi kemungkinan PRU13 yang bakal diadakan nanti.

Mereka telah menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Dato' Sri Zulhasnan Rafique dan amat teruja dengan suntikan semangat yang telah diberikan oleh beliau ketika berucap di hadapan mereka.

Begitu juga dengan kesiap siagaan yang ditunjukkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO dan Wanita UMNO Bahagian ini menerusi kegiatan yang telah dijalankan selama ini telah membuktikan betapa sayap-sayap ini terus berada di dalam posisi yang mantap lagi kukuh.

Pendekata, UMNO Bahagian Setiawangsa secara keseluruhannya dilihat tidak menghadapi sebarang masalah yang akan menghalang mereka untuk terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan UMNO Bahagian ini yang diterajui oleh Dato' Sri Zulhasnan.

Kemesraan, keserasian dan keakraban di antara Dato' Sri Zulhasnan bersama-sama dengan kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri di Bahagian ini sentiasa di tahap ampuh lagi meyakinkan.

Kebimbangan terhadap anasir-anasir adu domba yang tidak menyumbang ke arah pemantapan parti di dalam Bahagian ini bukanlah satu fenomena yang menjadi masalah besar sehingga ia tidak dapat dibendung.

Rasanya, sebahagian besar pemimpin samada di peringkat cawangan mahupun di peringkat Bahagian rata-rata mereka menolak kerja politik adu domba, laga melagai apatah lagi mengamalkan sentimen kebencian sesama sendiri. Setiawangsa yang dipimpin oleh Zulhasnan dilihat lebih bersifat positif untuk menjuarai hati rakyat.