Friday, December 31, 2010

MUHYIDDIN DAN NONG CHIK KEKAL BERGANDINGAN UNTUK AGENDA TRANSFORMASI POLITIK UMNO WP

Oleh Abdul Rahman Hashim





Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Wilayah Persekutuan

Mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan merupakan satu langkah yang bijak, samalah juga mengekalkan Dato' Sri Najib Tun Razak mengetuai Badan Perhubungan UMNO Selangor dilihat sebagai melangkah ke hadapan untuk menjana transformasi politik memperkasakan UMNO/BN di kedua-dua negeri yang tidak lagi didominasi oleh UMNO dan BN.
Wilayah Persekutuan sejak dahulu lagi majoriti kerusi parlimennya tidak berpihak kepada Barisan Nasional. Meletakkan Timbalan Perdana Menteri mengetuai Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan rasanya bukan bermakna sebagai jaminan mudah untuk menjadikan UMNO menguasai semua 13 kerusi parlimen yang terdapat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putraja dan juga di Wilayah Persekutuan Labuan; namun saya percaya faktor kepimpinan Timbalan Perdana Menteri di Wilayah Persekutuan ini dilihat lebih menjurus ke arah memantapkan lagi keperkasaan kepimpinan di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di Wilayah ini.
Bukanlah mudah untuk mengurus 'politik kerja' di wilayah yang bukan bertaraf 'sebuah negeri' jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang memiliki sebuah kerajaan negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Di negeri-negeri yang mempunyai Menteri Besar ataupun Ketua Menteri, sistem dan struktur politiknya berpaksikan kepada mandat dan pilihan rakyat negeri itu dalam sesebuah pilihan raya peringkat negeri berkenaan. Berbanding dengan Wilayah Persekutuan, ia tidak mempunyai kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang akan dipertandingkan dalam PRU yang membolehkan terbentuknya sebuah kerajaan negeri berlandaskan majoriti pilihan rakyat.
Walaupun UMNO sejak dahulu lagi telah mengetuai kerajaan Negeri Selangor, namun dalam PRU12 tahun 2008 yang lalu majoriti rakyat negeri itu telah menolak UMNO dan BN sehingga UMNO/BN kini berada di blok pembangkang. Begitu juga di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak sebelum ini, di mana majoriti rakyat telah memilih Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di negeri-negeri berkenaan.

Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa sahaja yang menang dalam PRU12

Dari kiri - Tengku Adnan (Putrajaya), Yusoff Mahal (Labuan)
dan Zulhasnan (Setiawangsa)


Jika kita melihat sistem politik di Wilayah Persekutuan, UMNO/BN tidak dibebankan dengan kerunsingan untuk membentuk kerajaan negeri, kerana Wialayah ini bukanlah sebuah negeri. Namun, jikalau Wilayah Persekutuan menjadi sebuah negeri seperti negeri-negeri lain, sudah pasti negeri ini dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Walaupun kemenangan di tiga buah kawasan parlimen iaitu di Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan, namun UMNO/BN tidak berjaya untuk menembusi 10 kawasan parlimen yang lainnya dalam PRU12 yang lalu.
Kawasan parlimen yang sepatutnya dimenangi oleh UMNO seperti di Lembah Pantai dan juga di Titiwangsa, namun ia tertiarap dan kecundang di tangan PKR dan juga PAS dalam PRU yang lepas. Kemungkinan untuk menang di Wangsa Maju memang ada, namun rata-rata pengundi di sana berpendapat kalaulah calon UMNO yang bertanding di kawasan itu, tentunya BN tidak kecundang dengan majoriti tipis 150 undi.
UMNO/BN bernasib baik di parlimen Setiawangsa, kerana calonnya Zulhasnan Rafique walaupun tertewas dalam pengiraan undi di beberapa kawasan peti undi, namun ia diselamatkan oleh pengundi-pengundi pos dari kalangan tentera dan juga polis. Kegagalannya untuk memenangi hati rakyat amat mengejutkan beliau, kerana populariti dirinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan telah tercalar akibat gelombang tsunami PRU12.
Walaupun Zulhasnan Rafique adalah satu-satunya calon dari WP Kuala Lumpur yang menang dalam PRU12 yang lalu, namun beliau tidak bernasib baik kerana tidak dikekalkan dalam kabinet Dato' Sri Najib, sebaliknya Perdana Menteri telah melantik Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai senator bagi membolehkan dirinya menggantikan Zulhasnan Rafique sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
(Lihat foto - Penyerahan tugas Menteri la
ma kepada Menteri WP yang baru)
Zulhasnan bukan sahaja kehilangan jawatan menteri, malah beliau juga tidak dikekalkan untuk mengetuai Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, kerana tempatnya telah digantikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Timbalan Perdana Menteri, manakala Menteri Wilayah Persekutuan yang baru itu dilantik pula sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.
Kombinasi pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Raja Nong Chik dilihat mampu untuk melakukan anjakan paradigma sebagai persediaan untuk memperkasakan perjuangan UMNO di Wilayah Persekutuan yang semakin mencabar ini.
Persoalan samada Menteri Wilayah Persekutuan yang baru ini mampu mengenepikan Nurul Izzah di Lembah Pantai dalam PRU13 nanti, sama-samalah kita melihat apakah anjakan yang dicipta ini benar-benar mampu menawan semula hati pengundi di kawasan yang pernah diwakili oleh Shahrizat Jalil ini.
Raja Nong Chik perlu membuktikan kehadirannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dapat menandingi kehebatan Nurul Izzah yang kini menjadi Naib Presiden PKR. Justeru, sewajarnya parlimen Lembah Pantai dirampas semula oleh UMNO/BN dalam PRU13 kelak. Misi ini bukanlah kerja mudah tetapi ia memerlukan kesungguhan yang berganda untuk merakyatkan semula UMNO yang telah ditolak oleh rakyat Lembah Pantai.
Parlimen Titiwangsa juga tidak pernah dimenangi oleh pembangkang sebelum ini, tetapi gelombang tsunami PRU12 2008 telah memangsakan juga UMNO yang pernah diwakili oleh Idris Ibrahim, Idris Basri, Dr. Suleiman Mohamed dan juga Astaman Abdul Aziz (Foto kiri).
Mereka ini mampu menggalas pengaruh UMNO untuk kekal di kawasan ini, tetapi percaturan yang menggugurkan Astaman Abd. Aziz daripada terus bertanding dalam PRU yang lepas telah menyebabkan kekecewaan bukan sahaja kehilangan pengaruh yang masih mahukan Dr Suleiman Mohamed yang mengetuai UMNO Bahagian itu, malah tidak kurang juga menghampakan sebilangan pengaruh rakyat yang baharu sahaja hendak bermanja dengan Datuk Astaman Abdul Aziz (Foto) yang telah menggerakkan jentera Yayasan Pendidikan Titiwangsa di kawasan yang diwakilinya.
Kehadiran calon penggantinya (Aziz Jamaludin) banyak menimbulkan keresahan di kalangan rakyat di Titiwangsa, di mana akhirnya mereka terpaksa memecah rekod memilih Dr Lo Lo dari PAS daripada memilih Aziz Jamaludin (Calon UMNO). UMNO terpaksa menggigit jari di Titiwangsa, sebelum bangkit semula dalam PRU13 nanti.
Apakah pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa sekarang, Dato' Johari Ghani mampu menggalas tugas untuk menebus kembali memartabatkan pengaruh UMNO di Titiwangsa? Sekali lagi misi agenda merakyatkan UMNO perlu digandakan di kawasan ini. Sumbang politik dalaman yang melemahkan parti janganlah dibiarkan melilit tengkok sendiri.
Nampaknya Parlimen Wangsa Maju yang sepatutnya menang dalam PRU12 juga menjadi mangsa akibat sedikit kekecewaan pengundi-pengundi Melayu yang berkehendakkan supaya calon UMNO bertanding di sana. Apakah kekalahan calon MCA di Wangsa Maju di tangan PKR dalam PRU12 yang lalu menjadikan Yew Teong Look (YTL) akan serik untuk berhadapan semula dalam PRU13 nanti?
Perlantikan Dato' Dr Shafei Abdullah (Foto kanan), Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju sebagai Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Wangsa Maju menggantikan Yew Teong Look (YTL) daripada MCA dilihat sebagai indikasi samada Shafei mampu menggalas tugas memperkasakan UMNO/BN di Wangsa Maju ataupun beliau bakal diangkat untuk menjadi calon UMNO/BN menjelang PRU13 kelak.
Kecenderungan pengundi Cina di kawasan ini agak menggugat siapa jua calon BN yang bakal bertanding di Wangsa Maju. Dato' Shafei harus menguatkan lagi keyakinan pengundi untuk mendekati UMNO dan juga Barisan Nasional. Masalah siapa juga yang bakal diletakkan di situ menjadi kayu pengukur KPI kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan parti komponen BN terutamanya MCA yang juga mahukan kerusi ini ditandinginya.
UMNO dilihat akan terus bertapak di Parlimen Putrajaya dan juga Labuan. Namun BN di WP di bawah kepimpinan Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin perlulah menggandakan usaha untuk mencipta sejarah kebangkitan slogan 1MALAYSIA yang diimpikan oleh pencetusnya Dato' Sri Najib, supaya kawasan-kawasan kelabu/hitam seperti Bukit Bintang, Cheras, Seputeh, Kepong, Batu, Bandar Tun Razak dan Segambut dapat diBNkan.
Inilah rentetan cabaran dan maruah yang harus digalas oleh mereka yang berada di tampuk kekuasaan, samada di peringkat Perhubungan Wilayah Persekutuan mahupun di peringkat Bahagian/Parlimen malah di peringkat akar umbinya. Tidak keterlaluan jika saya katakan, menjelang PRU13 nanti, banyak pengorbanan dan pembaharuan yang perlu dianjak oleh UMNO jika benar-benar mahukan rakyat meyakini semula UMNO.
Rasanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Raja Nong Chik yang dikekalkan menerajui UMNO di Wilayah Persekutuan ini juga mereka tahu betapa getirnya perjuangan untuk menebus semula maruah UMNO dan juga BN di Kota Metropolitan ini.
Harap-harap kombinasi Syed Ali Habshee di Cheras, Abas @ Yahya Ghani di Batu, Zulhasnan Rafique di Setiawangsa, Shafei Abdullah di Wangsa Maju, Saharudin Zainal Abidin di Bandar Tun Razak, Kamarudin Ambok di Segambut, Rizuan Hamid di Kepong, Azim Zabidi di Bukit Bintang, Johari Ghani di Titiwangsa, Mustapha Kamal di Seputeh, Tengku Nan di Putrajaya, Yunus Kurus di Labuan termasuk Raja Nong Chik di Lembah Pantai akan menjadi pelengkap kepada kekuatan UMNO yang dikepalai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wednesday, December 29, 2010

PENERAJU BOLA SEPAK JALANAN KUALA LUMPUR 2010

TAHNIAH & TERIMA KASIH
RANGKAIAN BAJU OREN
Dedikasi anda menjayakan
KEJOHANAN BOLA SEPAK JALANAN
KUALA LUMPUR 2010




Monday, December 27, 2010

DESA REJANG FC JUARA PIALA ASTAMAN ABDUL AZIZ

Rosli Mohammad, Presiden Kelab Sukan & Rekreasi
Warga Kota Kuala Lumpur menyampaikan hadiah pemenang
Juara 17 - 21 Tahun, Desa Rejang FC.

Desa Rejang FC Juara 17 - 21 tahun

Desa Rejang FC menjuarai Kejohanan Bola Sepak Jalanan Kuala Lumpur 2010 bagi kategori 17 - 21 tahun setelah berjaya menewaskan Kaki Bangku FC 4 - 2 di dalam perlawanan akhir kejohanan itu kelmarin, sekaligus berjaya membawa pulang trofi rebutan Datuk Astaman Abdul Aziz, wang tunai RM200 di samping medal dan juga sijil kejuaraan.

Pemenang juara ini juga berjaya memiliki tiket-tiket perlawanan akhir bola sepak Piala AFF Suzuki di antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam yang menyaksikan pasukan Harimau Malaysia berjaya membaham pasukan Garuda Indonesia dengan jaringan 3 - 0.

Juara bawah 16 tahun Jasmine Junior FC menjulang
Trofi Datuk Astaman sambil disaksikan oleh Cif Inspektor Mispani (Kanan sekali)
Ketua Polis Balai Wangsa Maju

Jasmine Junior FC menjadi juara bawah 16 tahun

Sementara itu Jasmine Junior FC pula telah menjadi juara kepada kategari bawah umur 16 tahun setelah mengalahkan StarPark FC dengan jaringan 6 - 4. Juara kategori ini juga berjaya memiliki tiket-tiket perlawanan akhir bola sepak Piala AFF Suzuki sumbangan Datuk Astaman Abdul Aziz, di samping trofi Astaman, medal dan juga sijil kejuaraan.

Kejohanan Bola Sepak Jalanan Kuala Lumpur 2010 ini telah berakhir petang semalam setelah dua hari ia diadakan di gelanggang street soccer Setapak Jaya 1A, bermula 25 Disember sehingga 26 Disember.

Mereka menyanyikan lagu Negaraku pada awal majlis penutupan rasmi

Penyokong-penyokong semasa perlawanan akhir

Hadiah-hadiah pemenang

Datuk Astaman Abdul Aziz, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur yang juga Penasihat Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur telah merasmikan pembukaan kejohanan ini sabtu lepas, 25 Disember 2010, manakala upacara penutupan rasmi pula telah disempurnakan oleh Mohamad Salman Mohamed Jaafar, Pengurus Zon IV Jabatan Pengurusan Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, petang semalam 26 Disember 2010.

Kejohanan Bola Sepak Jalanan Kuala Lumpur 2010 ini dianjurkan bersama oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur, Persatuan Penduduk Perumahan DBKL Setapak Jaya 1a, UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A dan Kelab Belia Setempat Setapak Jaya 1A.

Hadiah-hadiah pemenang kejohanan ini telah disampaikan oleh Mohamad Salman, Pengurus Zon IV DBKL, Rosli Mohammad, Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur dan juga Cif Inspektor Mispani, Ketua Polis Balai Wangsa Maju.

Encik Salman Jaafar, Pengurus Zon IV DBKL menyampaikan
hadiah pemenang Naib Johan 17 - 21 tahun.

Perlawanan persahabatan di antara Kelab Sukan & Rekreasi
Warga Kota Kuala Lumpur dengan pemimpin tempatan
Setapak Jaya 1A