Monday, January 17, 2011

PRU13 - SETIAWANGSA KEKALKAN CALON UMNO

Oleh Abdul Rahman Hashim

Walaupun tempoh untuk mengadakan PRU13 masih jauh, namun ia tidak bermakna PRU13 tidak akan menjelma apabila tiba masanya. Penggal ke-12 Parlimen Malaysia akan berakhir dalam tahun 2013 setelah PRU12 diadakan pada 8 Mac 2008.

(Foto sebelah - Dato' Sri Najib ditemani oleh Dato' Sri Zulhasnan ketika turun padang bersama warga kota Kuala Lumpur)

Persoalan yang terjelma hari ini ialah apakah Dato' Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia mahukan pilihan raya umum ke-13 nanti dadakan seawal yang disangkakan oleh sesetengah tok nujum politik yang bagaikan tidak percaya tempoh lima tahun penggal ke-12 akan dihabiskan oleh Najib yang sedang mengemudi negara menggantikan Pak Lah sehingga tempoh edahnya berakhir pada tahun 2013?

Walaupun Najib boleh menghabiskan tempoh lima tahun itu, namun para pemerhati dan penganalisa politik bagaikan terhidu bahawa tempoh lima tahun itu akan disingkatkan oleh Najib setelah tempoh pemilihan jawatan di dalam UMNO yang sepatutnya berlaku pada tahun 2011 ini, tetapi telah ditunda hingga 18 bulan yang akan datang dengan alasan untuk memperkukuhkan jentera parti sebelum diadakan pilihan raya umum.

Jika diadakan juga pemilihan jawatan di peringkat parti pada tahun ini, Najib bagaikan menjangka akan berlaku perebutan yang mungkin menimbulkan keretakan dan pergeseran dalaman, terutama di kalangan mereka yang mahu merebut jawatan-jawatan tertentu dari peringkat cawangan sehinggalah ke peringkat jawatan tertinggi di dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Nampaknya UMNO dilihat tidak mampu untuk terus bergenang dengan pergolakan, kerana misi dan visi utama PRU13 nanti ialah untuk menebus semula maruah parti yang telah kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, manakala lima negeri telah ditawan oleh Pakatan Rakyat; ini tidak termasuk Wilayah Persekutuan yang turut dilanda tsunami politik setelah kehilangan 10 kerusi parlimen daripada 13 kerusi yang dipertandingkan dalam PRU12 yang lalu.

Parlimen Setiawangsa P.118 merupakan satu-satunya kerusi yang telah dimenangi oleh UMNO/BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah UMNO kehilangan Lembah Pantai, dan Titiwangsa. Parlimen Batu, Segambut, Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju yang sebelum ini dimiliki oleh BN turut dlanda kekalahan. Sementara itu kawasan Parlimen Bukit Bintang, Cheras, Seputih dan Kepong terus dominan di tangan DAP. DAP kelihatan menjadi pilihan terbaik kepada pengundi-pengundi Cina pada masa itu setelah mereka tidak begitu yakin dan mungkin juga meluat dengan gelagat MCA dan juga Gerakan.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang bertanding bagi penggal yang ketiga dalam PRU12 lepas agak terselamat, kerana beliau walaupun tertewas di peringkat peti-peti undi akar umbi, namun Zulhasnan diselamatkan oleh undi pos dari kalangan anggota polis dan juga tentera sehingga berjaya memenangi majoriti lebih lima ribu undi.

(Foto kiri - Penulis (Abd. Rahman Hashim) bersama Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Foto 2001)

Senario PRU12 itu jelas memberi petanda kepada UMNO/BN di Setiawangsa supaya tidak lagi over confident untuk menang mudah menjelang PRU13. Pemimpin-pemimpin UMNO di Bahagian ini dlihat masih bergentayangan dengan politik kabilahnya yang tidak menyuntik kepada kekuatan UMNO, sebaliknya akan menjerumuskan UMNO ke jurang perpecahan yang membawa mala petaka kepada parti.

Zulhasnan mantan Menteri Wilayah Persekutuan yang mengetuai UMNO Bahagian Setiawangsa kini sedang berhadapan dengan kemelut politik dalaman yang akan menguji kewibawaannya. Kemunculan semula Datuk Astaman Abd. Aziz yang pernah memimpin UMNO di Bahagian Wangsa Maju di mana sebahagian daripada cawangan-cawangan UMNO di dalam Bahagian Setiawangsa hari ini pernah berada di bawah kepimpinannya, dikatakan cenderung untuk memanaskan badan sebelum dimasukkan ke gelanggang apabila tiba musimnya nanti.

Percubaan memanaskan badannya dalam sirkit pertandingan G7 walaupun hanya mendapat tempat keempat daripada tujuh yang dikehendaki pada musim 2010 yang lepas telah menjadi penanda aras untuk memungkinkan beliau memasuki gelanggang yang lebih mencabar di musim-musim akan datang di Setiawangsa?

Jika sebelum ini faktor Shuib Ibrahim sering membahangi suhu politik di Setiawangsa, namun semenjak beliau menjadi orang kepercayaan Zulhasnan selepas dilantik menjadi Bendahari Bahagian, namanya tidak lagi menghantui sebagai faktor untuk menundukkan Zulhasnan. Kebijakan politik Zulhasnan melantik Shuib Ibrahim sebagai Bendahari telah dapat mengendurkan suhu pertelagahan, bukan sahaja diantara pengaruh Shuib dengan Ketua Bahagian, malah Zulhasnan telah berjaya memperkukuhkan keyakinannya untuk terus memimpin UMNO Bahagian ini tanpa diganggu gugat lagi.

Astaman Abd. Aziz yang memindahkan keahliannya dari Bahagian Wangsa Maju ke Bahagian Setiawangsa pada tahun lepas (2010) telah mengundang berbagai spekulasi sehingga terdapat andaian kononnya beliau berpotensi untuk menggantikan Zulhasnan jika Zulhasnan tidak terpilih lagi sebagai calon pilihan raya umum akan datang seterusnya menggantikan Ketua UMNO Bahagian itu menjelang musim pemilihan akan datang.

Samada benar atau tidak andaian sedemikian, sama-samalah kita menyaksikan apakah akan berlaku lagi pertembungan di antara kedua-dua tokoh ini. Mereka pernah bertarung untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju pada tahun 2001. Zulhasnan ketika itu tidak bernasib baik tertewas di tangan Astaman.

Persoalannya apakah benar Zulhasnan sudah kehilangan pengaruhnya di Setiawangsa setelah beliau tidak lagi berjawatan Menteri atau tidak lagi menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan?

Apakah saranan Najib yang menyatakan tidak semestinya Ketua Bahagian akan menjadi calon pilihan raya yang akan datang hanya membabitkan Zulhasnan di Setiawangsa? Jika kenyataan Perdana Menteri itu hanya membabitkan Zulhasnan di Setiawangsa, bagaimana pula dengan Raja Nong Chik yang mengetuai UMNO Bahagian Lembah Pantai, Tengku Adnan di Putrajaya, Johari Ghani di Titiwangsa, Shafei di Wangsa Maju - apakah mereka juga harus bersiap sedia untuk tidak dicalonkan di dalam pilihan raya nanti?

Memang ada logiknya kenyataan Perdana Menteri yang mahukan hanya calon yang berkeupayaan untuk menang (winable) sahaja yang menjadi pilihan utamanya dalam kriteria menetapkan calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya akan datang. Namun begitu, setiap Ketua UMNO Bahagian ataupun mana-mana penjawat jawatan terpenting dalam UMNO Bahagian tentunya mereka beranggapan calon terbaik yang wajar dipertaruhkan ialah diri mereka, kerana mereka merupakan barisan hadapan yang mengemudi parti untuk menggerakkan jentera pilihan raya di peringkat bahagian masing-masing.

Oleh yang demikian, relevansi penetapan calon untuk pilihan raya yang akan datang biarlah mereka yang mempunyai kewibawaan dan berpotensi untuk diterima oleh rakyat walaupun tidak berada di dalam ranking parti. Parti hanya merupakan lambang perjuangan, sedangkan calon yang bertanding adalah mereka yang bakal menjadi wakil rakyat, yang akan menghambakan dirinya untuk mewakili rakyat di Dewan Rakyat, seterusnya menjadi pejuang rakyat mewakili parti yang dipertandingkan.

Apa pun bagi Parlimen Setiawangsa, siapa juga yang dicalonkan biarlah mereka yang ada autoriti untuk mewakili wadah perjuangan UMNO. Dato' Sri Zulhasnan Rafique tidak mungkin berada di takhta Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa sehingga hari ini, jikalau beliau tidak memiliki karisma sebagai seorang pemimpin. Siapa juga yang kempunan untuk menjadi calon UMNO bertanding dalam PRU13 nanti di P.118 Setiawangsa, haruslah mereka yang lebih baik dan lebih berwibawa daripada Zulhasnan yang telah berkhidmat sebagai wakil rakyat sejak 1999 sehingga hari ini. Jika masih ketandusan calonnya, rasanya Zulhasnan tidak mampu digugat lagi.

Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian adalah rangkaian pemimpin UMNO di Parlimen Setiawangsa yang tidak menimbulkan masalah kepada bosnya, sekaligus menjadikan UMNO Setiawangsa tidak semudah yang disangka untuk diganggu gugat.

(Foto kanan - Gandingan tiga sejoli pemimpin UMNO Bahagian Setiawangsa)

Kedua-dua Timbalan dan Naib Ketua Bahagian itu bijak menyesuaikan diri mereka, kerana mereka merasakan agenda memperkasa parti adalah lebih penting daripada agenda pertikaman sesama sendiri.

Justeru serahkan sahaja mandat dan kepercayaan ini kepada pucuk pimpinan untuk membuat penilaiannya, manakala tugas dan tanggungjawab untuk memenangkan calon pilihan raya akan terpikul akhirnya di atas pundak pemimpin-pemimpin UMNO bagi meyakinkan rakyat terhadap perjuangan UMNO. Janganlah bertindak ala-desparado membiarkan parti dicerca setelah kecewa tidak terpilih menjadi calon. Parti ini bukanlah milik individu, tetapi UMNO adalah landasan terbaik untuk siapa juga yang menjadi calonnya untuk menunjukkan kesetiaan perjuangan membela nusa dan bangsa.

Di saat menunggu tiupan nafiri pembubaran parlimen menjelang PRU13 nanti, diharapkan semua pecatur politik tidak terjebak dengan permainan hanya untuk mencantas dan menjatuhkan sesama pemimpin, sedangkan hala tuju sebenar ialah kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan cabaran pilihan raya yang akan menentukan samada tali hayat UMNO masih di hati rakyat.

Tidak ada maknanya jika hanya menang merebut jawatan dalam parti, tetapi parti kalah dalam pilihan raya. Transformasi politik yang digagaskan oleh Dato' Sri Najib bukannya melebarkan lagi permusuhan sesama sendiri, kerana musuh sebenar bukanlah sesama pemimpin UMNO. Perjuangan UMNO hendaklah mendahulukan rakyat jika mahukan rakyat terus menyokong parti ini. UMNO Bahagian Setiawangsa hendaklah mengambil iktibar ini jika mahukan UMNO terus dominan di hati rakyat.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Dato' Halim Samad dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari mereka merupakan tiga serangkai pemimpin Setiawangsa yang menjadi tonggak harapan untuk memperkasakan UMNO di persada rakyat. Gandingan bersepadu di kalangan tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di samping sokongan jitu yang diberikan oleh saf jawatankuasa di setiap peringkat hingga ke paras akar umbi parti akan membolehkan calon UMNO terus kekal mewakili BN di Parlimen Setiawangsa kelak.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.