Thursday, August 12, 2010

PAK LAH DIBEDAH JANTUNG, MESYUARAT AJK BAHAGIAN SETIAWANGSA DIBATALKAN

Sumber daripada pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa dipetik bahawa mesyuarat ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa Kali Ke-3/2010 yang dijadualkan pada hari Jumaat, 13 Ogos 2010, jam 4.30 petang telah dibatalkan; manakala sumber itu juga memaklumkan iaitu Abdullah Mat @ Pak Lah (Foto kiri), Setiausaha UMNO Bahagian Setiawangsa kini sedang uzur dan beliau akan dimasukkan ke hospital Serdang pada 14 Ogos ini untuk menjalani pembedahan jantung.

Sebelum ini mesyuarat tersebut telah dijadualkan pada 9 Ogos 2010, namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan maka ia telah ditunda pada 13 Ogos 2010.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar Pak Lah dapat menjalani pembedahan jantungnya dengan selamat dan diberikan ketabahan hatinya dalam menempuh ujian Allah ini.



Wednesday, August 11, 2010

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN AL-MUBARAK

EDITORIAL SEMARAKWANGSA MENGUCAPKAN
SELAMAT BERPUASA KEPADA SEMUA SAHABAT MAYA



Ketua Panitia: Abdul Rahman Hashim. Panitia Kanan: Rosli Mohammad & Radzi Jaafar


Anggota Panitia: Abas Mohd. Dom, Roselan Abd. Rahman, Abidin Supardi & Adi Putra

Sesungguhnya Ramadan bulan kemuliaan, turunnya Al-Quran sebagai mukjizat Nabi Muhamad SAW, juga disebut Allah sebagai bulan keampunan (Al-Maghfirah), di bulan ini juga dibuka segala pintu syurga, di tutup semua pintu neraka dan terbelengu segala iblis dan syaitan.

Berpuasa merupakan perisai kepada orang yang bertaqwa, berpuasa menginsafkan kita sebagai insan, berpuasa bukan sekadar berlapar dan berdahaga di siang harinya malah berpuasa berkehendakkan sajian amalan berjariah dan banyakkan bersedekah.

Sesungguhnya seluruh warga semarakwangsa mengharapkan agar semangat Ramadan dapat memupuk silaturrahim yang lebih akrab tanpa dicemari dengan prasangka buruk di kalangan kita. Tiada lain tempat yang selayaknya untuk dipohon keampunan melainkan kepadaMu Ya Allah!!

Friday, August 6, 2010

SETIAWANGSA MENJATUHKAN DARJATNYA?

UMNO Bahagian Setiawangsa nampaknya semakin terjerumus dengan pertelingkahan sesama politikusnya. Semenjak Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa menyerapkan lantikan baru Bendaharinya, UMNO Bahagian ini dilihat bertambah goyah akibat persengketaan dan sindrom kebencian terhadap 'Sang Bendahari' itu sehingga mengheret maruah dan darjat ketuanya.

Bertambah buruk lagi apabila kemunculan Datuk Astaman dalam pertandingan G7 baru-baru ini telah mengundang kebaculan blog hantu 'anak kuala lumpur' yang hanya berani mengkritik dan mengadu domba tetapi tidak berani pula memaparkan nama apatah lagi memaparkan wajahnya di dalam blog berkenaan.

Blog itu terlalu ghairah membuat 'kutukan dewata' yang bersifat bias kerana ia terlalu menyenget dengan kebenciannya terhadap Datuk Astaman sehingga terserlah auranya sebagai penulis upahan yang terpercik kepada tuannya sendiri.

Blogger berkenaan tidak cermat dalam penulisannya seolah-olah melihat keburukan dan kelemahan UMNO Setiawangsa hanya terletak di pundak Datuk Astaman semata-mata, tanpa sedikit pun huraian penambah baikan yang perlu dilakukan oleh kepimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa dalam menangani beberapa isu rakyat yang semakin membenci terhadap UMNO/BN.

Apa perlunya blog berkenaan menjolok sarang tabuan sehingga membuat provokasi kononnya UMNO Setiawangsa kini dihendap oleh SPRM? Bukankah hendapan itu akan memburukkan lagi imej Zulhasnan, seolah-olah beliau sengaja mahukan SPRM menyelongkar kelemahan yang berlaku di dalam empayar Setiawangsa yang beliau pimpin?

Bukankah perlakuan menjolok sarang tabuan itu boleh juga disifatkan sebagai membuka pekung di dada? Sudah tentulah mereka yang diserang itu akan mengambil sikap pula untuk menangkis dan mungkin mereka yang terbabit juga akan mencari punca provokasi serta akan mengatur pula tindakan untuk melakukan pendedahan terhadap kebobrokan pihak lain yang tidak didedahkan oleh 'blog anak kuala lumpur'?

Risiko inilah yang sedang dihadapi oleh UMNO Setiawangsa akibat menebalnya sikap iri hati yang memperlihatkan juga sifat ketakutan terhadap bayang-bayang yang diandaikan sebagai bayangan hantu.

Samada menuduh tanpa bukti atau bersangka benar bahawa wujudnya permainan wang dalam perebutan jawatan tertentu di dalam UMNO, bukan bermakna kita dianggap lebih sayangkan UMNO, kerana perlakuan membaling batu sembunyi tangan itu dilihat lebih membahayakan parti. Apatah lagi jika yang menyembunyikan tangannya itu juga pernah terlibat malah lebih menonjol koruptivitinya daripada orang yang disangka sepertinya.

Apa bezanya koruptiviti G7 dengan koruptiviti merebut jawatan penting di dalam UMNO Bahagian? Bukankah apa yang didedahkan itu juga berlaku lebih hebat ketika musim merebut jawatan pada tahun 2008, cuma tidak ada yang terdorong dan mendorong untuk membuat provokasi di dalam blog tertentu. Blog locengwangsa yang lebih mendahului blog semarakwangsa juga tidak terdorong apatah lagi didorong untuk melakukan pendedahan mengenai aktiviti rasuah yang berlaku pada tahun 2008.

Saya turut mengikuti kemunculan Ahmad Yahaya dengan blog sensasinya iaitu 'buraqkualalumpur'. Ahmad Yahaya dilihat terdorong pula mempertahankan dirinya setelah diserang akibat prasangka buruk yang dicetuskan oleh pihak tertentu di dalam blog upahannya iaitu blog 'anak kuala lumpur'.

Pada saya, pergeseran itu semakin tercondong untuk mengheret keburukan yang berlaku di dalam kepimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa yang bukan sahaja memercik ke muka pengadu domba yang terbabit, malah telah mencalarkan imej Dato' Sri Zulhasnan yang mungkin mahu mendarjatkan dirinya untuk semusim lagi selepas ini.




Monday, August 2, 2010

ASTAMAN TURUT MENANG BESAR DALAM FAM

Datuk Astaman Abdul Aziz, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur adalah di antara muka baru yang telah membarisi 'Jawatatankuasa Eksekutif FAM' bagi sesi 2010 - 2014. Beliau berjaya di tempat kedua telah memperolehi 32 undi di bawah Datuk Takiyuddin Hassan daripada Kelantan yang mendapat undi tertinggi iaitu 33 undi.

(Foto kiri: Datuk Astaman Abdul Aziz)

Enam orang tokoh yang lain yang turut berjaya menduduki Jawatankuasa Eksekutif FAM ialah Mejar Rani Abdul Rahim (31 undi), S. Sivasundram (31 undi), Dr. Hamdan Mohamed Khalib (29 undi), Datuk Osman Salleh (24 undi), Haji Rosmadi Ismail (24 undi) dan Datuk Jeferey Low Han Chau (20 undi).

Kongres Tahunan Ke-47 Persatuan Bolasepak Malaysia yang diadakan pada 31 Julai lalu juga telah mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila 38 perwakilan yang menghadiri Sidang Pemilihan Kongres telah mengembalikan semula Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Timbalan Presiden FAM yang bergandingan dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Annuar Musa yang turut memenangi jawatan Timbalan Presiden dengan memperolehi 23 undi. Tengku Abdullah memperolehi 29 undi.

Tengku Abdullah sebelum ini pernah menyandang jawatan itu pada Februari 1992, namun telah melepaskannya pada Mac tahun berikutnya. Tengku Mahkota Pahang itu bagaimanapun dipilih memegang jawatan itu semula pada Februari 1994, sebelum melepaskannya kembali pada Julai 2007.

Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur turut berbangga di atas kejayaan Datuk Astaman Abdul Aziz bertapak di dalam arena bolasepak negara. Datuk Astaman yang juga penasihat kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur baru-baru ini telah menerima anugerah 'Tokoh Komuniti Sukan Kuala Lumpur' daripada Kelab ini sebagai pengiktirafan di atas kecemerlangannya mengangkat martabat sukan bolasepak Kuala Lumpur.

Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur, Rosli Mohammad berkata bahawa kelab ini akan mengadakan satu majlis kesyukuran di atas kejayaannya itu sebelum ketibaan Ramadan yang akan datang ini.


Monday, July 26, 2010

AHMAD YAHAYA DILANTIK PENGERUSI PERKASA SETIAWANGSA


Pemimpin Perkasa Setiawangsa: Ahmad Yahaya, Mat Laili & Dato' Yamin

Ahmad Yahaya Yaakub
telah dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Parlimen Setiawangsa. Beliau dilantik oleh Presiden PERKASA Dato' Paduka Ibrahim Ali bagi membolehkannya melantik pula barisan ahli-ahli jawatankuasa di peringkat Parlimen Setiawangsa.

PERKASA Parlimen Setiawangsa telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama pada 22 Julai 2010 yang lalu bertempat di Dewan Menara Seri Jati, AU3 Keramat. Di dalam mesyuarat itu Ahmad Yahaya telah mengumumkan perlantikan Pegawai dan Ahli Jawatankuasanya yang terdiri daripada Ahmad Laili Tajul Arus sebagai Timbalan, manakala Dato' Paduka Ahmad Yamin Dato' Rahim telah dilantik sebagai Naib Pengerusi.

Yahaya Tahir pula dilantik sebagai Setiausaha, diikuti Haji Zulkapli Hussin sebagai Bendahari dan Abdul Rahman Hashim pula dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Berikut ini adalah senarai penuh barisan ahli jawatankuasa PERKASA Peringkat Parlimen Seiawangsa yang telah dilantik:-

PENGERUSI
Ahmad Yahaya Yaakub

TIMBALAN PENGERUSI
Ahmad Laili Tajul Arus

NAIB PENGERUSI
Dato' Ahmad Yamin Dato' Abd. Rahim

KETUA WIRA PERKASA
Mohd. Shah

KETUA WIRANITA
Nora Haji Tarmizi

KETUA WIRAWATI
Maimunah Sharizan

SETIAUSAHA
Yahaya Tahir

BENDAHARI
Tuan Haji Zulkapli Husin

KETUA PENERANGAN
Abdul Rahman Hashim

AHLI JAWATANKUASA
Rosli Mohammad
Mohd. Radzi Jaafar
Yatim Mohamad
Abas Mohd. Dom
Samad Saim
Mohd. Shari Sidek
Haji Yahaya Abu Bakar
Abdul Hamid Mayuni
Awaluddin Abu Zaharin
Jaafar Malek
Muner Nasution Amin Nordin
Nasir Md. Amin
Haji Abdullah Abdul Rahman
Badrun Masan
Wan Yaakop.
Mehat
Roselan Abdul Rahman

Kini, di Wilayah Persekutuan setiap kawasan Parlimen telah ditubuhkan PERKASA. Dato' Mokhtar Samad sendiri merupakan Yang Dipertua PERKASA Wilayah Persekutuan. Satu majlis pelancaran PERKASA Wilayah Persekutuan yang merangkumi semua peringkat Parlimennya telah dirasmikan oleh Y.Bhg Tan Sri Sanusi Junid pada 25 Julai lepas.

Warga Setiawangsa yang ingin menjadi ahli PERKASA sila hubungi Setiausaha Perkasa, Yahaya Tahir No. Telefon01934555575 atau 0126866885.

Sunday, July 25, 2010

KELUMPUK CAMAR GOTONG ROYONG MEMBERSIH KAWASAN

Penduduk di Kelumpuk Camar AU3 hari ini telah keluar beramai-ramai bergotong royong membersihkan kawasan sekitar. Lebih daripada 100 orang penduduk Kelumpuk Camar A, B dan C telah mula berkumpul pada jam 8 pagi untuk memulakan gerak kerja secara bergotong royong yang berakhir kira-kira pukul 12.15 tengahari.

(Foto Kiri: Abas Mohd. Dom, Ketua UMNO Cawangan Kelumpuk Camar)

Gotong royong ini adalah anjuran bersama UMNO Cawangan Kelumpuk Camar dan juga Persatuan Penduduk Kelumpuk Camar. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga turut memberikan kerjasama dengan menyediakan beberapa buah lori untuk memunggah sampah sarap dan bahan-bahan buangan yang telah dibersihkan termasuk dahan-dahan pokok yang dicantas.

Turut serta di dalam kerja gotong royong ini ialah Datuk Astaman Abdul Aziz yang juga Penasihat Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur. Beliau bersama-sama dengan Roselan Abdul Rahman Setiausaha Kelab Sukan & Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur dan ahli jawatankuasa Kelab Mohd. Radzi Jaafar telah bersama-sama dengan penduduk tempatan melakukan kerja-kerja pembersihan.

Abas Mohd. Dom, Ketua UMNO Cawangan Kelumpuk Camar mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan di atas semangat kerjasama yang telah ditunjukkan sepanjang gotong royong ini diadakan.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa Kelab Sukan & Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur amat menghargai di atas keprihatinan Datuk Astaman yang telah menyediakan kontraktor untuk membaik pulih longkang berjeriji yang sering menjadi laluan kenderaan oleh penduduk tempatan.

Penduduk tempatan yang menggunakan laluan ini untuk memasuki parkir kenderaan yang terletak berhampiran dengan longkang jeriji ini sering berhadapan dengan risiko sehingga tayar kenderaan memasuki longkang tersebut. Hari ini masalah itu telah berjaya di atasi apabila kerosakan langkang tersebut telah ditutupi dengan simen.

Abas Mohd. Dom juga menyatakan kegembiraannya kerana penduduk di Kelumpuk Camar ini bakal menerima kemudahan gelanggang futsal yang disediakan oleh DBKL. Roselan Abd. Rahman Setiausaha Kelab Sukan & Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur pula menghargai di atas kesediaan pihak DBKL menyumbangkan gelanggang futsal untuk kegunaan penduduk tempatan terutama anak-anak muda yang meminati acara sukan ini.

Menurutnya, Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur akan bekerjasama dengan UMNO Cawangan ini untuk memanfaatkan arena futsal yang bakal dibina di Kelumpuk Camar ini.

Friday, July 23, 2010

MAT YAHAYA KINI BLOGGER 'BURAQKUALALUMPUR'


Ahmad Yahaya Yaakub bersama blog 'buraqkualalumpur'

Ahmad Yahaya Yaakub (Foto di atas) Ketua UMNO Cawangan Rampai Town yang juga Pengerusi PERKASA Parlimen Setiawangsa kini telah meneroka laman mayanya yang dijudulkan sebagai 'BURAQ'. Blog ini boleh dibuka dengan menggunakan alamat 'http://buraqkualalumpur.blogspot.com'.

Semarakwangsa amat tertarik dengan ulasannya yang terbaru mengenai pergelutan G7 UMNO Bahagian Setiawangsa, yang begitu sinikal terhadap beberapa komentar samada dalam blog semarakwangsa mahupun di dalam blog 'Anak Kuala Lumpur' yang mengaitkan kemenangan Datuk Astaman dan enam yang lainnya dengan politik wang.

Saya tidak berhajat untuk melanjutkan komentar mengenai pendapatnya itu, tetapi saya mengucapkan tahniah kepada Saudara Mat Yahaya yang sudah pun berjinak dengan laman mayanya itu. Kelihatannya pandangan yang dilontarkan itu tersinar dengan mesej yang bernas 'sekilat cahaya' serasi dengan makna 'buraq'.

Ahmad Yahaya tidak seperti 'Anak Kuala Lumpur' kerana beliau tidak menyembunyikan dirinya, sedangkan 'Anak kuala lumpur' masih takut dengan bayangan dirinya, kerana tidak berani menonjolkan diri ketika mengkritik orang lain.