Saturday, December 25, 2010

JOHAN BOLA SEPAK JALANAN KUALA LUMPUR DAPAT HADIAH TIKET PERLAWANAN AKHIR AFF SUZUKI

Pasukan yang menjuarai Kejohanan Bola Sepak Jalanan Kuala Lumpur 2010 yang bersaing di Setapak Jaya 1A hari ini akan menerima hadiah berupa tiket ke perlawanan akhir bolasepak Piala AFF Suzuki yang bakal diadakan esok di stadium Bukit Jalil. Hadiah ini merupakan sampingan selain hadiah wang tunai, medal dan sijil juara yang bakal diterima oleh juara kejohanan ini.

Demikian diumumkan oleh Datuk Astaman Abdul Aziz (Foto kanan) Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur ketika beliau merasmikan Kejohanan Bola Sepak Jalanan Kuala Lumpur 2010 anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur, Persatuan Penduduk Perumahan DBKL Setapak Jaya 1A, UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A dan Kelab Belia Setempat Setapak Jaya 1A di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Sebanyak 30 buah pasukan yang mewakili pelbagai kelab sukan dan NGO telah berentap pada kejohanan ini bagi merebut trofi Datuk Astaman Abdul Aziz. Kejohanan ini diadakan selama dua hari bermula hari ini 25 Disember sehingga 26 Disember 2010.

Penyertaan pasukan yang mengambil bahagian adalah mengikut dua kategori iaitu kategori 17 - 21 tahun dan kategori bawah umur 16 tahun. Pemenang juara bagi kedua-dua kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai RM200 di samping medal, sijil kejuaraan dan juga trofi pusingan Datuk Astaman Abdul Aziz.

Manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM150 dan RM100 di samping medal dan sijil. Pasukan yang mendapat tempat yang keempat juga layak menerima hadiah berupa medal dan juga sijil.

Syarikat Air Panas Development Sdn Bhd telah menyumbangkan tajaan RM1,000 dan juga sepuluh hamper sebagai hadiah cabutan nombor bertuah sempena kejohanan ini. Kedua-dua pengarah syarikat ini Roselan Abdul Rahman dan juga Mohamad Babu Kutty juga kelihatan di dalam majlis perasmian tersebut.

KOLEKSI FOTO HARI PERTAMA KEJOHANAN


Datuk Astaman Abd. Aziz (dua dari kiri) sedang menyerahkan tiket-tiket perlawanan akhir bolasepak Piala AFF Suzuki kepada Mohd. Shariff Yunus, Pengerusi Kejohanan Bola Sepak Jalanan 2010.

Aksi beberapa ahli jawatankuasa semasa berehat tengahari

Aksi mencemaskan di pintu gawang

Samsuri Shahrom tidak mahu ketinggalan membuka kaunter SPR untuk memberi peluang kepada generasi muda tempatan mendaftar sebagai pemilih.

Suasana ketika jamuan ringan di dewan Persatuan Penduduk Setapak Jaya 1A
sebaik sahaja selesai majlis perasmian.

Gelagat pemain di gelanggang street soccer


Mereka berentap di gelanggang


Rosli Mohammad Presiden Kelab Sukan & Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur sedang berkata sesuatu kepada Pengurus Zon IV Jabatan Perumahan DBKL,
Encik Mohd. Salman Mohamed Jaafar (Paling kiri).


Datuk Astaman (Tengah) bergambar bersama-sama Ahli Jawatankuasa
Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur

Datuk Astaman sempat bermesra dengan pemain-pemain bola sepak
sebelum sepak mula.

Datuk Astaman menerima cenderahati daripada Pengerusi Kejohanan
Mohd. Shariff Yunus.

Dari kiri: Dato' Yamin, Datuk Astaman dan Mohd. Shariff

Abdul Rahman Hashim, Timbalan Presiden Kelab Sukan & Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur menyampaikan ucapan.

Antara tetamu yang hadir di majlis pembukaan rasmi

Diantara pemimpin-pemimpin masyarakat yang turut hadir di majlis perasmian

Datuk Astaman melalukan Sepak Mula


TROFI DATUK ASTAMAN ABDUL AZIZ

Datuk Astaman Abd. Aziz sedang menyampaikan ucapan perasmian

Datuk Astaman bersama pasukan yang mengambil bahagian

Semua pemain sedang mengikuti ucapan perasmian di khemah utama



Sunday, December 19, 2010

VILLA WANGSAMAS TIDAK SEINDAH NAMA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Villa Wangsamas
merupakan s
ebuah kondo mewah yang terletak di dalam Parlimen Setiawangsa berdekatan dengan Rampai Court dan Seksyen 10 Wangsa Maju.

Kami warga semarakwangsa.blogspot.com terpanggil untuk memanjangkan masalah yang dikemukakan oleh Mohd Amifarez Bin Hamidun iaitu salah seorang pemilik Villa Wangsamas menerusi email kami; dan saya percaya masalah tersebut ingin dikemukakan kepada Wakil Rakyat Parlimen Setiawangsa YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Sebagai memberi respon kepada permasalahan yang dibangkitkan itu, pihak pengadu tersebut wajarlah mengambil langkah yang perlu termasuk mengemukakannya kepada Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang menjadi Ahli Parlimen kawasan ini untuk tindakan susulan olehnya.

Berikut ini adalah kandungan aduan berkenaan yang telah diemelkan kepada saya seterusnya untuk siaran di dalam blog semarakwangsa.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Kepada YB Dato Sri Sri Zulhasnan Rafique, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, En Abdul Rahman Hashim, dan semua warga kerja Semarak Wangsa,

Saya merupakan salah seorang penghuni Villa Wangsamas, Wangsa Maju. Maafkan saya sekiranya kediaman saya ini tidak terletak di bawah kawasan Dato Sri. Saya menulis kepada email ini kerana saya cuma kenal Dato Sri sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa dan tidak tahu kemana nak disalurkan masalah saya dan penduduk di sini. Saya juga mendapat tahu bahawa Dato Sri mengambil serius setiap masalah yang dilaporkan disini.

Kalau dilihat dari luar, Villa Wangsamas merupakan sebuah kondo yang cantik walaupun berkepadatan tinggi. Namun demikian, sekiranya Dato Sri masuk ke dalam, banyak masalah yang kami hadapi di sini. Di sini saya senaraikan antara masalah-masalah utama tersebut:

Kebersihan - Sampah tidak dikutip, lantai tidak dicuci sehingga lebih sebulan, kolam (termasuk kolam renang) tidak dicuci langsung, etc.

Keselamatan - Pengawal keselamatan yang tidak cukup, kawalan keselamatan tidak ketat, CCTV tidak berfungsi, pagar keselamatan rosak, kejadian pecah rumah yang amat kerap (tanyalah polis yang meronda kawasan ini), kejadian kecurian kereta, etc.

Bangunan - Outer wall retak, masalah air hujan meresap ke dalam rumah, penggera kebakaran tidak diselenggara/tidak berfungsi, lif rosak/kotor/tidak diselenggara, etc

Untuk pengetahuan tuan, kami penduduk di sini secara purata membayar RM200+ sebulan untuk maintenance tetapi tidak mendapat perkhidmatan yang sewajarnya. Setiap masalah yang kami laporkan kepada pihak pengurusan tidak diselesaikan secepat mungkin dan adakalanya langsung tidak diambil peduli.

Kami berpendapat, pihak pengurusan villa wangsamas ini tidak memperdulikan masalah kami kerana kontrak mereka akan tamat pada akhir tahun ini. Sehingga hari ini, kami tidak tahu bagaimana pengurusan kewangan dibuat oleh Villa Wangsamas Sdn Bhd dan siapa pengurusan villa wangsamas untuk tahun hadapan. Saya mendapat tahu bahawa JMC yang ditubuhkan juga tidak dapat berfungsi dengan baik kerana Villa Wangsamas Sdn Bhd tidak memberikan kerjasama.

Untuk pengetahuan Dato Sri saya bukannya ahli JMC tapi hanyalah salah seorang penduduk di sini yang membeli kediaman ini dengan titik peluh saya sendiri untuk kediaman kami sekeluarga. Tulisan saya ini adalah untuk memohon jasa baik pihak kerajaan untuk campur tangan dalam menyelesaikan masalah kami disini. Setidak-tidaknya saya/kami ingin tahu bagaimana caranya untuk kami menyelesaikan masalah di sini. Sehubungan dengan itu, saya secara peribadi ingin menjemput Dato Sri dan semua pihak yang membaca email ini untuk datang dan melihat sendiri keadaan kami di sini. Sekiranya pihak tuan tidak mempunyai kesempatan masa, saya berharap masalah yang kami hadapi di sini dapat dipanjangkan/disalurkan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Segala kerjasama dan pertolongan dari Dato Sri dan semua pihak yang terlibat amatlah saya, keluarga, dan semua penduduk di sini hargai.

Terima Kasih.

Mohd Amifarez B Hamidun
0133678727
Villa Wangsamas

Wednesday, December 15, 2010

UMNO BELUM SESUAI MASUK SARAWAK?

Oleh Radzi Jaafar

Datuk Dr Abg Hj Abd. Rauf menyampaikan ucapannya

Delegasi dari Setiawangsa bergambar di halaman rumah Datuk Dr. Abg Rauf

Para delegasi Setiawangsa di ruang tamu kediaman Dr. Abg Rauf

Rantaian 10 delegasi Setiawangsa yang berkunjung ke Sarawak


YB Datuk Dr Abang Haji Abdul Rauf Bin Abg Haji Zen Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti UMNO boleh masuk ke Sarawak, namun buat masa ini ia tidak sesuai lagi untuk UMNO berbuat demikian.

(Foto kiri - Dr Abg Rauf bersama Abdul Rahman Hashim)

Demikian pandangan yang diberikan oleh beliau semasa menyampaikan ucapan di hadapan sepuluh orang pemimpin UMNO daripada Bahagian Setiawangsa, Wilayah Persekutuan yang berkunjung ke kediamannya di Kampung Siol Kandis, Petra Jaya dekat Kuching, Sarawak pada 10 Disember lalu.

Menurut beliau, Parti PBB yang diterajui oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud masih relevan malah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak itu masih diperlukan oleh rakyat negeri ini.

Beliau menambah bahawa PBB merupakan parti yang telah berjaya menyatu padukan rakyat negeri ini yang mempunyai kepelbagaian kaum, adat resam dan juga anutan agamanya. UMNO mungkin sesuai di semenanjung untuk perjuangan membela orang-orang Melayu di sana, tetapi Melayu dan Bumiputera di negeri Sarawak lebih selesa di bawah PBB yang menjadi teras kepada BN di negeri ini.


Kelihatan dari kiri Roselan, Joe, Shah dan Samad

Bergambar di Pangkalan Batu Water Front Sungai Sarawak

Bergambar di Water Front Sungai Sarawak berlatar belakang Kompleks
Dewan Undangan Negeri Sarawak yang baru

Gambar selepas makan malam di Hotel Hilton Kuching.
Dr. Razali (empat dari kanan) sahabat lama yang bertemu kembali di Kuching.
Beliau menjadi host makan malam di Hotel Hilton Kuching, 10 Disember 10.

10 delegasi Setiawangsa di pejabat Skuad 69 PDRM Sarawak di Jalan Rubber, Kuching.
Abdul Rahman Hashim (paling kanan) juga merupakan Setiausaha Eksekutif
Skuad 69 PDRM Sarawak

Dr Rauf juga berkata, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri amat sesuai bagi sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan juga budaya seperti Malaysia. Negeri Sarawak menurutnya telah lama mempraktriskan konsep 1Malaysia ini malah kini semakin diperkasakan demi untuk kemakmuran negara amnya dan negeri Sarawak khasnya.

Sementara itu, Abdul Rahman Hashim yang mengetuai delegasi 10 orang pemimpin-pemimpin NGO dari Parlimen Setiawangsa yang berkunjung ke negeri ini telah menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Dr Abang Rauf yang sudi menerima kehadiran 10 delegasi yang terdiri daripada Abdul Rahman Hashim, Roselan Abdul Rahman, Abas Mohd. Dom, Samad Saim, Yahya Taher, Nasir Md. Amin, Badrun Masan, Radzi Jaafar, Md. Zahari@Joe dan Md. Shah Abdul Wahab.

Kesemua mereka merupakan pemimpin masyarakat yang bergiat cergas di dalam UMNO, Perkasa dan juga Kelab Sukan & Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur. Kunjungan 10 orang ke kediaman Datuk Dr Abang Haji Abdul Rauf ini merupakan acara pertama lawatan muhibah ke negeri ini sebaik sahaja ketibaan pesawat dari Kuala Lumpur menuju ke Kuching kira-kira jam 1.00 tengahari.Foto atas & bawah: di Pasar Tamu Satok membeli ikan terebuk masin


Kunjungan hormat terhadap Datuk Dr Abang Haji Abdul Rauf ini telah berlangsung selama dua jam bermula pukul 4.30 petang, sebelum meneruskan lawatan santai ke Kompleks Dewan Undangan Negeri dan juga ke Kampung Gersik di Petra Jaya, Kuching.

Lawatan muhibah yang bermula 10 Disember dan berakhir pada 12 Disember lalu amat memberi makna kepada sepuluh orang delegasi yang terbabit. Kesemua mereka juga telah dapat berkunjung ke Serikin (Daerah Bau) iaitu satu penempatan kaum Bidayuh yang terletak di sempadan Sarawak/Kalimantan, Indonesia.


Membelek cincin yang terdapat di Serikin

Bergambar di hadapan di Pondok Polis Serikin, Bau

Di Serikin, para delegasi telah sempat membeli belah barang-barang keperluan seperti tikar Sarawak, pakaian, cenderamata, ubat-ubatan tradisional dan lain-lain yang sukar diperolehi di Kuala Lumpur.

Sesungguhnya kunjungan selama 3 hari 2 malam ke negeri Sarawak Bumi Kenyalang ini begitu singkat sekali, kerana masih terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang tidak sempat dilawati. Namun begitu banyak kenangan manis yang begitu nostalgik sepanjang 3 hari berada di Kuching.

Sekalung penghargaan kepada Abdul Rahman Hashim (Ketua Delegasi) dan juga Roselan Abdul Rahman yang begitu arif dengan suasana di negeri Sarawak ini. Mereka berdua telah berjaya menambat hati-hati kami untuk terbang lagi ke Bumi Kenyalang, setidak-tidaknya akan ada tawaran selepas ini untuk kami membantu kempen pilihan raya umum negeri itu yang bakal diadakan sedikit masa lagi.

Tuesday, December 7, 2010

SETAPAK JAYA 1A JADI TUAN RUMAH KEJOHANAN BOLASEPAK JALANAN KUALA LUMPUR 2010

Oleh Mohd. Radzi Jaafar

Logo Kejohanan

Perumahan Awam DBKL Setapak Jaya 1A akan menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Bolasepak Jalanan Kuala Lumpur 2010 yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 Disember 2010 ini. Kejohanan sukan ini dianjurkan bersama oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur, Kelab Belia Setempat Setapak Jaya 1A, Persatuan Penduduk Perumahan DBKL Setapak Jaya 1A dan juga UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A.

Pengerusi Kejohanan ini, Mohd. Shariff Bin Mohamed Yunus (Foto kiri) berkata Kejohanan Bolasepak Jalanan Kuala Lumpur 2010 ini terbuka penyertaannya kepada semua kelab-kelab sukan, pertubuhan-pertubuhan masyarakat dan juga individu-individu yang berminat membentuk pasukan masing mengikut dua kategori yang ditetapkan, iaitu kategori remaja berumur 17 hingga 21 tahun dan juga kategori bawah umur 16 tahun.

Bagi kategori remaja berumur 17 hingga 21 tahun mereka dikenakan bayaran sebanyak RM30.00 sepasukan, manakala kategori di bawah umur 16 tahun mereka dikenakan bayaran RM20.00 sepasukan.

Borang-borang penyertaan boleh didapati dengan menghubungi wakil-wakil urusetia iaitu Adi Putra Abdul Rahman (019-2803360), Azam Abdul Rahman (012-3868114) dan Jamaludin Abu Bakar (010-2661027). Tarikh tutup penyertaan ialah pada 15 Disember ini.

Abdul Rahman Hashim, Timbalan Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur pula berkata Kejohanan Bolasepak Jalanan Kuala Lumpur ini akan dijadikan acara tahunan bagi merebut Piala Pusingan Datuk Astaman Abdul Aziz, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur yang juga Penasihat kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, Perumahan Awam DBKL Setapak Jaya 1A akan dikekalkan menjadi venue utama sebagai satu kejohanan tahunan bermula tahun 2010. Beliau berkata, Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur akan bertindak sebagai penganjur utama, manakala Kelab Belia Setempat Setapak Jaya 1A, Persatuan Penduduk Perumahan DBKL Setapak Jaya 1A dan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A merupakan penganjur bersama kejohanan tersebut.

Ramli Sulaiman (Foto kiri), Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan DBKL Setapak Jaya 1A dan Awaludin Zaharin (Foto Kanan), Ketua umno Cawangan Setapak Jaya 1A merupakan Penasihat kepada Jawatankuasa Kejohanan tersebut bersama-sama dengan Rosli Mohammad, Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur.

Abdul Rahman Hashim juga merasa kagum dengan sokongan dan juga kerjasama yang telah diberikan oleh NGO tempatan dalam melaksanakan kejohanan ini. Begitu juga beliau yakin bahawa kejohanan ini mampu memberikan impak untuk melahirkan golongan belia yang cerdas dan cergas serta berupaya untuk memupuk masyarakat yang bersatu padu selaras dengan konsep 1Malaysia.


Abdul Rahman Hashim dan Mohd. Shariff Yunus (Pengerusi Kejohanan)


Abdul Rahman Hashim mempengerusikan mesyuarat kejohanan


Abdul Rahman Hashim mempengerusikan mesyuarat kejohanan.



Monday, December 6, 2010

BN KENA ELAKKAN BERKHAYAL, LUPA DIRI, JUMUD DAN ANGKUH JIKA INGIN BERKUASA LAGI

Oleh Abdul Rahman Hashim

BN kena elakkan 4 penyakit jika ingin berkuasa lagi

Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi Barisan Nasional mengajak semua anggota komponennya supaya mengelakkan diri daripada empat gejala penyakit besar yang sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa.

Empat penyakit tersebut delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan.

Menurutnya, parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri. Baginya, keempat-empat penyakit ini perlu dielak dan dijauhkan sebelum rasa sayang rakyat kepada BN berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan, sokongan menjadi penentangan.

Beliau berkata demikian di dalam ucaptamanya sempena Konvensyen Barisan Nasional 2010 yang diadakan semalam (5 Disember 2010) di Dewan San Choon, Wisma MCA dekat Kuala Lumpur. Ucapan dasar Najib itu dialunkan dengan penuh bersemangat di hadapan lebih dua ribu perwakilan yang mewakili parti -parti komponen BN dari seluruh negara.


Ikrar Piagam Barisan Nasional 2010 dilafazkan...

Saya sendiri berada di dalam dewan tersebut (sebagai perwakilan dari UMNO WP), dan saya mendapati getaran ucapan dasar Perdana Menteri itu mampu menyuntik semangat yang tinggi kepada semua deligasi dari 13 parti komponen BN. Kesemua yang hadir dilihat begitu mengkagumi visi yang digariskan oleh pemimpin mereka itu, malah rata-rata perwakilan begitu optimis bahawa ucapan Najib kali ini menjurus kepada persediaan untuk menghadapi PRU13 yang dibayangkannya semakin hampir.

Saya bersama Tengku Adnan, Setiausaha Agung BN di Konvensyen BN 2010

Saya bersama Dato' Shafei, Setpol PM (di tengah)

Sempat juga bertemu dengan sahabat-sahabat lama saya Dato' Abdul Rahman Palil (Dua dari kanan) dan Datuk Zahidi (paling kiri)

Saya bersama Hajis Japar Labaw (kiri) Exco Pemuda Parti PBB dari Sarawak

Suasana di dalam Dewam San Choon
Perwakilan Konvensyen BN 2010

Ucapan yang bertemakan 'Mengukuh Barisan Mendahulu Rakyat' merupakan satu tiupan nafiri dari seorang pemimpin yang tampak lebih serius untuk melakukan transformasi politik yang lebih ampuh setelah parti ini kehilangan majoriti 2/3 dalam PRU12 lalu.

Dato' Sri Najib Tun Razak begitu yakin rakyat semakin menampakkan kecenderungan untuk kembali menyokong Barisan Nasional. Dambaan ini dibuat berasaskan kepada angin perubahan rakyat yang dirasainya bakal menjadikan BN sebagai parti yang mampu menebus kembali kekalahan yang dialami di beberapa kerusi dalam pilihan raya yang lepas.

Menurutnya, untuk bangun kembali, BN mesti mencari formula pemulihan dalam melaksanakannya secara konsisten. Padanya, empat gejala penyakit yang disebutkan itu jika tidak dapat dihindari, hanya akan menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah kepada BN.

Pucuk pangkalnya, Najib berkata semua pihak di dalam BN hendaklah lebih berani melangkah ke hadapan untuk menggapai kekuatan baru memenuhi harapan rakyat hingga ke akar umbi. Najib meminta semua anggota komponen BN harus memahami denyutan nadi rakyat, kerana menurutnya rakyat hendak tahu apakah BN kali ini lebih bersedia untuk mengota apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Dato' Sri Najib juga secara sinikal menyifatkan pihak pembangkang hanya mampu memperdagangkan mimpinya (traders of dream), mencanangkan angan-angan dan mencetak khayalan untuk memperdayakan rakyat, sedangkan BN adalah parti yang menjadi barisan pejuang tulen untuk rakyat, merchant of realities, yang berpasak di bumi, bersandarkan perancangan yang jitu, serta perlaksanaan kerjanya lebih tersusun.

Menurutnya lagi, pembangkang cuba meniru konsep kerjasama yang diamalkan di dalam BN. Namun begitu baginya, usaha pihak pembangkang hanya sia-sia sahaja, kerana mereka tidak mempunyai ramuan keikhlasan, tidak memiliki wawasan malah nilai yang dikongsi bersama hanya bersifat talam dua muka.

Beliau juga menyifatkan antara DAP dan PAS tidak akan wujud kerjasama yang berpanjangan, mereka hanya boleh tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Mereka nampak macam bersatu tetapi hakikatnya telunjuk sahaja yang lurus, kelingking tetap berkait. Di antara kedua-dua parti ini mereka hanya bersatu semata-mata kerana ada orang ketiga. Kalau dahulu ada Parti Melayu Semangat 46, tetapi hari ini peranan itu diambil alih oleh PKR yang beliau sifatkan sebagai 'Parti Keluar Ramai-Ramai'.

Hakikatnya, ketiga-tiga parti lawan yang mendakwa bersifat pelbagai kaum, tetapi sebenarnya merekalah parti yang didominasi oleh satu kaum sahaja. Jika ada pun kaum-kaum lain, hanyalah bersifat token atau sekadar kosmetik.

Sebenarnya menurut Najib, mereka bukan Pakatan Rakyat tetapi hanyalah pakatan tiga empat kerat, atau tiga empat kepala atau tiga empat orang sahaja. Lebih tepat dikatakan, mereka adalah parti dua buah keluarga dengan satu pihak lagi sekadar menjadi pak turut atau kuda tunggangan.

Seterusnya Najib berkata, inilah kelainannya konsep BN yang memang dari segi hakiki dan maknawinya benar-benar berdasarkan perkongsian sejati rakyat dengan mengiktiraf realiti kepelbagaian kaum.

Konvensyen sehari ini telah berakhir kira-kira jam 6.00 petang selepas semua perwakilan melafazkan ikrar 'Piagam Barisan Nasional 2010' di hadapan Dato' Sri Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang lainnya.


Nota: artikel ini juga disiarkan dlm blog http://locengwangsa.blogspot.com

Friday, November 26, 2010

RAHMAN HASHIM MENGETUAI SIDANG EDITOR BULETIN UMNO WILAYAH PERSEKUTUAN

Oleh Mohd. Radzi Jaafar

Sidang panitia blog semarakwangsa mengucapkan tahniah kepada Abdul Rahman Hashim (foto kiri) yang telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan sekaligus diberikan amanah mengetuai sidang editor Buletin UMNO Wilayah Persekutuan berkuatkuasa pada 25 November 2010 yang lalu.

Perlantikan ini diumumkan sendiri oleh Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang mempengerusikan mesyuarat ketujuh biro ini Rabu lepas (25 November) di pejabat Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan
di Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Buletin UMNO Wilayah Persekutuan Edisi Kedua

Di antara ahli jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan yang menghadiri mesyuarat Penerangan Ke-7.

Dato' Shafei Abdullah sedang mempengerusi mesyuarat Penerangan Ke-7

Abdul Rahman Hashim yang pertama kali menghadiri mesyuarat itu telah diperkenalkan oleh Dato' Shafei Abdullah kepada semua ahli jawatankuasa biro yang mewakili setiap UMNO Bahagian dalam Wilayah Persekutuan, termasuk wakil Labuan yang diwakili oleh Ahli Parlimennya, Dato' Yusof Mahal.

Di dalam mesyuarat itu juga telah memutuskan bahawa penerbitan buletin UMNO Wilayah Persekutuan bagi edisi selanjutnya (Edisi 3) akan diterbitkan pada bulan Januari 2011 yang akan datang.

Abdul Rahman Hashim yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa merupakan seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam bidang penerbitan dan hal ehwal penerangan. Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Wangsa Maju di samping mengetuai sidang pengarang beberapa buletin/warta terbitan UMNO sebelum ini.

Seiring dengan kecenderungan massa terhadap media medium baru menerusi laman-laman maya, kini beliau turut mengendalikan beberapa laman blog di antaranya ialah blog locengwangsa, blog semarakwangsa, blog skuad69 PDRM dan beberapa laman blog NGO yang lainnya.

Beliau banyak melontarkan idea dan pandangan secara kritis terhadap isu-isu semasa politik tanah air di dalam blog-blognya. Selain itu, Abdul Rahman Hashim juga merupakan seorang pemidato yang mendapat pentauliahan daripada Ibu pejabat UMNO.