Sunday, May 22, 2011

SENTUHAN KASIH UNTUK WANITA UMNO SETIAWANGSA

Oleh Radzi Jaafar

Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa bakal melancarkan program Sentuhan Kasih setelah Ketua UMNO Bahagiannya Dato' Sri Zulhasnan Rafique mengumumkan bahawa Ketua Pergerakan Wanitanya, Hairunnisha Ismail dlantik untuk mengetuai program tersebut sebagai langkah yang bersepadu untuk merakyatkan UMNO di Bahagian ini.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique mengumumkan perkara ini semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa hari ini di Hotel Flamingo, Kuala Lumpur.



Hairunnisha Ismail, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa


Kiri - Azmi Badarudin (Ketua Pemuda). Kanan - Seriwani Sabtu (Ketua Puteri)

Menurut Dato' Sri Zulhasnan, Hairunnisha Ismail, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian ini telah diberikan kepercayaan untuk mengetuai program tersebut, kerana menurutnya Wanita UMNO dilihat mempunyai hubungan yang rapat dengan anggota masyarakat di peringkat akar umbi.

Program sentuhan kasih menurutnya hendaklah menjangkau semua aspek kemasyarakatan terutama dalam bidang kebajikan dan kesihatan penduduk setempat tanpa mengira agama dan juga kaum. UMNO katanya mesti berperanan mendekatkan diri dengan masyarakat supaya parti ini sentiasa di hati mereka.



Sokongan rakyat akar umbi kepada UMNO begitu penting kerana pilihan raya umum ke-13 bakal menyaksikan samada UMNO/BN dapat mengembalikan semula kekuatannya. Rakyat, kata Zulhasnan lagi sentiasa memerhati dan akan membuat penilaian terhadap perjuangan UMNO malah rakyat akan terus memberikan sokongan kepada UMNO, sekiranya dapat kita melaksanakan program sentuhan kasih ini.

Sementara itu, Hairunnisha Ismail, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa semasa menggulung perbahasan persidangan di sebelah petang menyatakan rasa terharu dan menghargai di atas kepercayaan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa terhadap dirinya untuk mengetuai program sentuhan kasih ini.

Padanya ini merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan pucuk pimpinan UMNO Bahagian kepada Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa. Beliau berjanji akan menggemblengkan tenaga wanita UMNO untuk menjayakan program ini kerana menurutnya pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan nanti menuntut komitmen ahli-ahli Wanita UMNO untuk menghadapinya.

Dalam satu perkembangan yang lain, wakil UMNO Bahagian Setiawangsa, Abdul Rahman Hashim yang turut berucap di penghujung persidangan iini juga menyarankan supaya Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa dapat segera menggerakkan jentera program sentuhan kasih tanpa berlengah-lengah lagi.

Menurutnya, program ini amat sinonim dengan Pergerakan Wanita UMNO, kerana Wanita UMNO juga memiliki pengalaman serta mempunyai rekod kecemerlangannya dalam gerakan rumah 10 mendekati pengundi untuk menghadapi pilihan raya umum.

Beliau menyarankan supaya program sentuhan kasih ini dapat diancarkan di peringkat Parlimen Setiawangsa, malah katanya elok juga ia dilancarkan di peringkat zon seterusnya di peringkat cawangan. Kaedah ini menurutnya akan lebih berkesan untuk mempastikan perlaksanaannya dapat melibatkan semua pihak di dalam Pergerakan Wanita.


Abdul Rahman Hashim, Hamid Mayuni & Hj Ahmad Jais, mewakili UMNO Bahagian dalam persidangan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa



Saturday, May 14, 2011

SYED ALI ALHABSHEE RASMI PROJEK BANGLO AIR MADU

Oleh Radzi Jaafar
Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee, Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras telah merasmikan Projek Banglo yang dibangunkan oleh Syarikat Air Panas Development Sdn Bhd diadakan di tanah lapang bersebelahan Pangsapuri Madu Mas di Ayer Panas, Setapak, Kuala Lumpur hari ini (14 Mei 2011).

Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee sedang berucap merasmikan projek banglo di Jalan Air Madu, Setapak, Kuala Lumpur.

Muhamad Baba Kutty, Pengarah Urusan Syarikat Air Panas Development Sdn Bhd menyampaikan ucapan aluannya.

Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee sedang menyampaikan sumbangan kebajikan kepada kanak-kanak

Sebanyak 4 unit banglo pada harga RM2j setiap satu akan dibina di atas sebidang tanah seluas satu ekar yang terletak berhadapan dengan Pangsapuri Madu Mas, di Jalan Air Madu. Projek kedua pembangunan perumahan yang diusahakan oleh Syarikat Air Panas Development Sdn Bhd ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan. Projek pertama Pangsapuri Madu Mas yang diusahakan oleh syarikat pemaju ini telah pun didiami oleh pemilik masing-masing pada tahun 2010 yang lepas.

Tetamu Kehormat yang hadir

Ahli Jawatankuasa Pengelola Majlis Perasmian dan Jamuan Rakyat 1Malaysia

Roselan Abdul Rahman juga berucap di dalam majlis itu

Sementara itu, Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee dalam ucapannya telah memuji usaha yang dibuat oleh Syarikat Air Panas Development Sdn Bhd yang telah berjaya membangunkan projek perumahan yang boleh dimiliki sebahagian besarnya oleh golongan bumiputera.

Beliau yang amat mengenali Pengarah Urusan syarikat ini, Muhamad Baba Kutty juga berharap syarikat ini akan dapat mengorak langkah lebih pro aktif untuk membangunkan projek perumahan yang mampu dimiliki oleh golongan pertengahan dari kalangan bumiputera terutamanya untuk penduduk sekitar kawasan ini.

Beliau yakin kegigihan yang ditunjukkan oleh Muhamad Baba Kutty yang menerajui Syarikat Air Panas Development ini akan menjadikan penempatan Air Madu sebagai sebuah kawasan yang maju dan kondusif untuk penduduknya.

Sementara itu Pengarah Urusan Syarikat Air Panas Development Sdn Bhd, Muhamad Baba Kutty di dalam ucapan sebelumnya telah menyatakan bahawa syarikatnya juga sedang merancang untuk membina rumah kos sederhana yang mampu dimiliki oleh golongan bumiputera sebaik sahaja mendapat kelulusan oleh pihak yang berkenaan.

Turut hadir di dalam majlis ini juga ialah Datuk Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Astaman Abdul Aziz, Pengerusi Yayasan Pendidikan Titiwangsa dan juga Datuk Haji Idris, Pengerusi Masjid Jame' Kampung Baru.

Kira-kira 200 orang yang terdiri daripada penduduk kawasan sekitar telah menghadiri ke majlis ini. Mereka disajikan dengan jamuan petang selepas majlis perasmian.


Monday, February 21, 2011

LEBIH TIGA RIBU WARGA SETIAWANGSA SERTAI PERARAKAN MAULIDUR RASUL

Oleh Abdul Rahman Hashim



Lebih 3 ribu peserta dari kalangan warga Setiawangsa telah mengambil bahagian di dalam perarakan Maulidur Rasul anjuran Permuafakatan Masjid dan Surau Parlimen Setiawangsa (MAPEMS) yang diadakan pada hari Sabtu, 19 Februari lepas.

Perarakan Maulidur Rasul ini diketuai oleh YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa bermula dari padang Taman Seri Rampai menuju ke Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan melalui jalan-jalan berdekatan dengan Bangunan Felcra, simpang ke Seksyen 10 Wangsa Maju menghala ke Rampai Court seterusnya ke destinasi terakhir di perkarangan Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah.



Sebanyak 52 pasukan kontinjen telah mengambil bahagian dalam perarakan tersebut yang mewakili masjid dan surau-surau seluruh kawasan Parlimen Setiawangsa termasuk daripada badan-badan kebajikan, persatuan-persatuan penduduk dan juga murid-murid sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Setiawangsa. Sementara itu Universiti Teknologi Malaysia sendiri telah menghantar sebanyak 15 pasukan kontinjennya menyertai perarakan tersebut.



Turut serta dalam perarakan ini juga ialah Datuk Che' Mat Che' Ali, Pengarah JAWI, Tuan Haji Abdullah Abdul Rahman, Pengerusi Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, dan ASP Napri Sahlan, Pengerusi MAPEMS. Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa serta beberapa orang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian juga kelihatan mengambil bahagian dalam perarakan ini.




Turut mengambil bahagian dalam perarakan tersebut ialah Datuk Jawahar Ali, pemilik rangkaian Restoran Ali Maju yang menaja sebahagian daripada makanan dan minuman majlis tersebut.

Pasukan-pasukan kontinjen yang terbaik juga telah menerima hadiah kemenangan daripada Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Forum Perdana Maulidur Rasul juga diadakan sebaik sahaja selesai majlis penyampaian hadiah tersebut. Tahniah kepada pihak penganjur yang telah berjaya mengumpulkan lebih 3 ribu orang yang terlibat di dalam program ini.


Saturday, February 5, 2011

TAHNIAH....LIMA TOKOH SETIAWANGSA TERIMA DARJAH KEBESARAN DARI YANG DI-PERTUAN AGONG




Tahniah.....lima orang tokoh daripada UMNO Bahagian Setiawangsa telah pun menerima kurniaan darjah kebesaran daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang diraikan pada 1 Februari 2011.

Mereka yang menerima kurniaan itu ialah:-
  • Othman Bin Baba - Bintang Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W)
  • Abdul Rahman Bin Hashim - Bintang Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W)
  • Saiful Annuar @ Adam Taufek Bin Mat Ali - Bintang Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W)
  • Nor Hayatina Bt Noor Hakimi - Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W
  • Rosli Bin Mohammad - Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W)
Istiadat menghadap dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan ini telah diadakan buat pertama kalinya di Istana Melawati, Putrajaya (Foto). Sebelum ini istiadat tersebut diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, kesemua penerima darjah kebesaran ini telah menghadiri raptai yang diadakan pada 31 Januari di Istana Melawati, Putrajaya. Turut menyaksikan istiadat pengurniaan darjah kebsaran itu ialah Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak dan isteri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan isteri.

Mengetuai penerima darjah kebesaran Wilayah Persekutuan tahun ini ialah Tan Sri Datuk Seri Utama Mohd. Sidek Haji Hasan, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO dan Tan Sri Datuk Seri Utama Thong Yaw Hong. Masing-masing menerima Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (S.U.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.


Foto kiri - Datuk Bahrim Razak (di tengah). Foto Kanan - Datuk Santokh Singh

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Bahrim Razak telah menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk. Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Datuk Santokh Singh iaitu bekas pemain bolasepak negara. Seramai 35 orang yang menerima PMW.


Monday, January 17, 2011

PRU13 - SETIAWANGSA KEKALKAN CALON UMNO

Oleh Abdul Rahman Hashim

Walaupun tempoh untuk mengadakan PRU13 masih jauh, namun ia tidak bermakna PRU13 tidak akan menjelma apabila tiba masanya. Penggal ke-12 Parlimen Malaysia akan berakhir dalam tahun 2013 setelah PRU12 diadakan pada 8 Mac 2008.

(Foto sebelah - Dato' Sri Najib ditemani oleh Dato' Sri Zulhasnan ketika turun padang bersama warga kota Kuala Lumpur)

Persoalan yang terjelma hari ini ialah apakah Dato' Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia mahukan pilihan raya umum ke-13 nanti dadakan seawal yang disangkakan oleh sesetengah tok nujum politik yang bagaikan tidak percaya tempoh lima tahun penggal ke-12 akan dihabiskan oleh Najib yang sedang mengemudi negara menggantikan Pak Lah sehingga tempoh edahnya berakhir pada tahun 2013?

Walaupun Najib boleh menghabiskan tempoh lima tahun itu, namun para pemerhati dan penganalisa politik bagaikan terhidu bahawa tempoh lima tahun itu akan disingkatkan oleh Najib setelah tempoh pemilihan jawatan di dalam UMNO yang sepatutnya berlaku pada tahun 2011 ini, tetapi telah ditunda hingga 18 bulan yang akan datang dengan alasan untuk memperkukuhkan jentera parti sebelum diadakan pilihan raya umum.

Jika diadakan juga pemilihan jawatan di peringkat parti pada tahun ini, Najib bagaikan menjangka akan berlaku perebutan yang mungkin menimbulkan keretakan dan pergeseran dalaman, terutama di kalangan mereka yang mahu merebut jawatan-jawatan tertentu dari peringkat cawangan sehinggalah ke peringkat jawatan tertinggi di dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Nampaknya UMNO dilihat tidak mampu untuk terus bergenang dengan pergolakan, kerana misi dan visi utama PRU13 nanti ialah untuk menebus semula maruah parti yang telah kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, manakala lima negeri telah ditawan oleh Pakatan Rakyat; ini tidak termasuk Wilayah Persekutuan yang turut dilanda tsunami politik setelah kehilangan 10 kerusi parlimen daripada 13 kerusi yang dipertandingkan dalam PRU12 yang lalu.

Parlimen Setiawangsa P.118 merupakan satu-satunya kerusi yang telah dimenangi oleh UMNO/BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah UMNO kehilangan Lembah Pantai, dan Titiwangsa. Parlimen Batu, Segambut, Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju yang sebelum ini dimiliki oleh BN turut dlanda kekalahan. Sementara itu kawasan Parlimen Bukit Bintang, Cheras, Seputih dan Kepong terus dominan di tangan DAP. DAP kelihatan menjadi pilihan terbaik kepada pengundi-pengundi Cina pada masa itu setelah mereka tidak begitu yakin dan mungkin juga meluat dengan gelagat MCA dan juga Gerakan.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang bertanding bagi penggal yang ketiga dalam PRU12 lepas agak terselamat, kerana beliau walaupun tertewas di peringkat peti-peti undi akar umbi, namun Zulhasnan diselamatkan oleh undi pos dari kalangan anggota polis dan juga tentera sehingga berjaya memenangi majoriti lebih lima ribu undi.

(Foto kiri - Penulis (Abd. Rahman Hashim) bersama Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Foto 2001)

Senario PRU12 itu jelas memberi petanda kepada UMNO/BN di Setiawangsa supaya tidak lagi over confident untuk menang mudah menjelang PRU13. Pemimpin-pemimpin UMNO di Bahagian ini dlihat masih bergentayangan dengan politik kabilahnya yang tidak menyuntik kepada kekuatan UMNO, sebaliknya akan menjerumuskan UMNO ke jurang perpecahan yang membawa mala petaka kepada parti.

Zulhasnan mantan Menteri Wilayah Persekutuan yang mengetuai UMNO Bahagian Setiawangsa kini sedang berhadapan dengan kemelut politik dalaman yang akan menguji kewibawaannya. Kemunculan semula Datuk Astaman Abd. Aziz yang pernah memimpin UMNO di Bahagian Wangsa Maju di mana sebahagian daripada cawangan-cawangan UMNO di dalam Bahagian Setiawangsa hari ini pernah berada di bawah kepimpinannya, dikatakan cenderung untuk memanaskan badan sebelum dimasukkan ke gelanggang apabila tiba musimnya nanti.

Percubaan memanaskan badannya dalam sirkit pertandingan G7 walaupun hanya mendapat tempat keempat daripada tujuh yang dikehendaki pada musim 2010 yang lepas telah menjadi penanda aras untuk memungkinkan beliau memasuki gelanggang yang lebih mencabar di musim-musim akan datang di Setiawangsa?

Jika sebelum ini faktor Shuib Ibrahim sering membahangi suhu politik di Setiawangsa, namun semenjak beliau menjadi orang kepercayaan Zulhasnan selepas dilantik menjadi Bendahari Bahagian, namanya tidak lagi menghantui sebagai faktor untuk menundukkan Zulhasnan. Kebijakan politik Zulhasnan melantik Shuib Ibrahim sebagai Bendahari telah dapat mengendurkan suhu pertelagahan, bukan sahaja diantara pengaruh Shuib dengan Ketua Bahagian, malah Zulhasnan telah berjaya memperkukuhkan keyakinannya untuk terus memimpin UMNO Bahagian ini tanpa diganggu gugat lagi.

Astaman Abd. Aziz yang memindahkan keahliannya dari Bahagian Wangsa Maju ke Bahagian Setiawangsa pada tahun lepas (2010) telah mengundang berbagai spekulasi sehingga terdapat andaian kononnya beliau berpotensi untuk menggantikan Zulhasnan jika Zulhasnan tidak terpilih lagi sebagai calon pilihan raya umum akan datang seterusnya menggantikan Ketua UMNO Bahagian itu menjelang musim pemilihan akan datang.

Samada benar atau tidak andaian sedemikian, sama-samalah kita menyaksikan apakah akan berlaku lagi pertembungan di antara kedua-dua tokoh ini. Mereka pernah bertarung untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju pada tahun 2001. Zulhasnan ketika itu tidak bernasib baik tertewas di tangan Astaman.

Persoalannya apakah benar Zulhasnan sudah kehilangan pengaruhnya di Setiawangsa setelah beliau tidak lagi berjawatan Menteri atau tidak lagi menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan?

Apakah saranan Najib yang menyatakan tidak semestinya Ketua Bahagian akan menjadi calon pilihan raya yang akan datang hanya membabitkan Zulhasnan di Setiawangsa? Jika kenyataan Perdana Menteri itu hanya membabitkan Zulhasnan di Setiawangsa, bagaimana pula dengan Raja Nong Chik yang mengetuai UMNO Bahagian Lembah Pantai, Tengku Adnan di Putrajaya, Johari Ghani di Titiwangsa, Shafei di Wangsa Maju - apakah mereka juga harus bersiap sedia untuk tidak dicalonkan di dalam pilihan raya nanti?

Memang ada logiknya kenyataan Perdana Menteri yang mahukan hanya calon yang berkeupayaan untuk menang (winable) sahaja yang menjadi pilihan utamanya dalam kriteria menetapkan calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya akan datang. Namun begitu, setiap Ketua UMNO Bahagian ataupun mana-mana penjawat jawatan terpenting dalam UMNO Bahagian tentunya mereka beranggapan calon terbaik yang wajar dipertaruhkan ialah diri mereka, kerana mereka merupakan barisan hadapan yang mengemudi parti untuk menggerakkan jentera pilihan raya di peringkat bahagian masing-masing.

Oleh yang demikian, relevansi penetapan calon untuk pilihan raya yang akan datang biarlah mereka yang mempunyai kewibawaan dan berpotensi untuk diterima oleh rakyat walaupun tidak berada di dalam ranking parti. Parti hanya merupakan lambang perjuangan, sedangkan calon yang bertanding adalah mereka yang bakal menjadi wakil rakyat, yang akan menghambakan dirinya untuk mewakili rakyat di Dewan Rakyat, seterusnya menjadi pejuang rakyat mewakili parti yang dipertandingkan.

Apa pun bagi Parlimen Setiawangsa, siapa juga yang dicalonkan biarlah mereka yang ada autoriti untuk mewakili wadah perjuangan UMNO. Dato' Sri Zulhasnan Rafique tidak mungkin berada di takhta Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa sehingga hari ini, jikalau beliau tidak memiliki karisma sebagai seorang pemimpin. Siapa juga yang kempunan untuk menjadi calon UMNO bertanding dalam PRU13 nanti di P.118 Setiawangsa, haruslah mereka yang lebih baik dan lebih berwibawa daripada Zulhasnan yang telah berkhidmat sebagai wakil rakyat sejak 1999 sehingga hari ini. Jika masih ketandusan calonnya, rasanya Zulhasnan tidak mampu digugat lagi.

Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian adalah rangkaian pemimpin UMNO di Parlimen Setiawangsa yang tidak menimbulkan masalah kepada bosnya, sekaligus menjadikan UMNO Setiawangsa tidak semudah yang disangka untuk diganggu gugat.

(Foto kanan - Gandingan tiga sejoli pemimpin UMNO Bahagian Setiawangsa)

Kedua-dua Timbalan dan Naib Ketua Bahagian itu bijak menyesuaikan diri mereka, kerana mereka merasakan agenda memperkasa parti adalah lebih penting daripada agenda pertikaman sesama sendiri.

Justeru serahkan sahaja mandat dan kepercayaan ini kepada pucuk pimpinan untuk membuat penilaiannya, manakala tugas dan tanggungjawab untuk memenangkan calon pilihan raya akan terpikul akhirnya di atas pundak pemimpin-pemimpin UMNO bagi meyakinkan rakyat terhadap perjuangan UMNO. Janganlah bertindak ala-desparado membiarkan parti dicerca setelah kecewa tidak terpilih menjadi calon. Parti ini bukanlah milik individu, tetapi UMNO adalah landasan terbaik untuk siapa juga yang menjadi calonnya untuk menunjukkan kesetiaan perjuangan membela nusa dan bangsa.

Di saat menunggu tiupan nafiri pembubaran parlimen menjelang PRU13 nanti, diharapkan semua pecatur politik tidak terjebak dengan permainan hanya untuk mencantas dan menjatuhkan sesama pemimpin, sedangkan hala tuju sebenar ialah kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan cabaran pilihan raya yang akan menentukan samada tali hayat UMNO masih di hati rakyat.

Tidak ada maknanya jika hanya menang merebut jawatan dalam parti, tetapi parti kalah dalam pilihan raya. Transformasi politik yang digagaskan oleh Dato' Sri Najib bukannya melebarkan lagi permusuhan sesama sendiri, kerana musuh sebenar bukanlah sesama pemimpin UMNO. Perjuangan UMNO hendaklah mendahulukan rakyat jika mahukan rakyat terus menyokong parti ini. UMNO Bahagian Setiawangsa hendaklah mengambil iktibar ini jika mahukan UMNO terus dominan di hati rakyat.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Dato' Halim Samad dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari mereka merupakan tiga serangkai pemimpin Setiawangsa yang menjadi tonggak harapan untuk memperkasakan UMNO di persada rakyat. Gandingan bersepadu di kalangan tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di samping sokongan jitu yang diberikan oleh saf jawatankuasa di setiap peringkat hingga ke paras akar umbi parti akan membolehkan calon UMNO terus kekal mewakili BN di Parlimen Setiawangsa kelak.