Oleh: Abdul Rahman Hashim

Senator Raja Nong Chik berkata, jika Petaling Street terkenal dengan karakter Cinanya, dan Brickfields juga dikenali dengan karakter Indianya, maka wajarlah Kg. Baru mengekalkan identiti Melayunya.
"Kita mahukan Kg. Baru mempunyai daya tarikan yang menawan hati untuk sesiapa juga yang mengunjunginya, tambahnya lagi.
Menteri Wilayah Persekutuan itu juga bekata bahawa pembangunan Kg. Baru nanti akan diusahakan secara seratus peratus oleh pihak kerajaan menerusi sebuah agensi yang bakal dibentuk nanti, dan beliau turut merasakan kewajaran untuk mengekalkan nama 'Kampung Baru' setelah ia dibangunkan.

Rancangan Soal Jawab ini dihostkan oleh Datuk Ahmad A.Talib yang telah mengemukakan banyak soalan berkaitan dengan pembangunan Kg. Baru sebagaimana yang terkandung di dalam pelan pembangunan Kuala Lumpur.
(Foto Kanan: Kampung Baru di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur)
Pada 6 Februari lepas Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan lawatan ke kampung tersebut, dimana beliau telah menyatakan harapannya supaya Kg. Baru dapat membangun selari dengan arus pembangunan kotaraya Kuala Lumpur. Beliau memberi jaminan bahawa kepentingan penduduk Melayu di kampung ini tidak akan terjejas apabila ia dibangunkan nanti.

Kampung Baru kini berkeluasan 90.2 hektar dengan kepadatan penduduknya melebihi 35,000 orang yang didominasi oleh penduduk Melayu meliputi 7 buah kampung. Pemilik tanahnya pula adalah lebih kurang 1,000 penduduk.
Menjelang 2010 ini, nilai tanah Kampung Baru hanya di sekitar RM350 sekaki persegi (0.09 meter persegi) sahaja, sedangkan kawasan bersebelahannya seperti KLCC sudah melebihi RM2,000 sekaki persegi. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjangkakan nilai tanah di Kampung Baru ini boleh mencecah RM20 bilion jika penduduk kampung ini menerima konsep pembangunan sepenuhnya.