Thursday, September 16, 2010

MELAYU SEMAKIN CELARU DAN KELIRU BAKAL DIRATAH

oleh Abdul Rahman Hashim


PERKASA pimpinan Ibrahim Ali dicemuh kawan dan lawan

Orang Melayu di negara ini semakin bercelaru akibat terkeliru dengan gimik politik yang dicanangkan oleh mereka yang tidak senang hati dengan percikan api keMelayuan yang dinyalakan oleh PERKASA. Perjuangan membela maruah Melayu dilihat semakin layu setelah UMNO tidak seghairah sebelumnya, sebaliknya UMNO lebih menjaga hati orang lain daripada menjaga kepentingan Melayu. Kecelaruan ini menyaksikan betapa UMNO semakin melatah dan bakal diratah.

Hari ini terdapat pemimpin UMNO yang mengugut diri mereka untuk keluar daripada saf perjuangan partinya sekiranya parti Melayu itu menyokong perjuangan PERKASA yang begitu kuat memperkasakan bangsa Melayu.

Setiausaha Agung UMNO (Ku Nan) sendiri semakin bercelaru apabila ditekan oleh mereka yang tidak sedarah Melayu, sehingga sanggup memberikan jaminan bahawa UMNO tidak akan bersekongkol dengan sebuah NGO Melayu seperti PERKASA yang dikiaskan oleh Presidennnya sebagai puak ekstrem yang patut dijauhi.

Manakala seorang lagi permimpin UMNO, Nazri Aziz dengan angkuh menyatakan bahawa beliau sudah lebih awal mengingatkan partinya supaya tidak menyokong perjuangan PERKASA yang diterajui oleh Ibrahim Ali, kerana menurutnya 'bukan Melayu' telah menolak UMNO/BN angkara taksubnya keMelayuan PERKASA jika dibandingkan dengan keMelayuan UMNO yang tidak disenangi oleh MCA, GERAKAN, MIC, PCM termasuk DAP.

Di celah-celah penolakan pemimpin Melayu UMNO terhadap perjuangan Melayu yang diteraskan oleh PERKASA itu, terpacul pula kenyataan kecewa Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilihat membela PERKASA, lantas mengingatkan UMNO bahawa parti itu akan menerima akibatnya dalam PRU13 nanti apabila Melayu merasakan bahawa UMNO tidak lagi memperjuangkan hak bangsanya demi untuk menjaga hati 'orang lain'.

Pemimpin MCA tersenyum riang apabila diberikan jaminan bahawa UMNO tidak lagi merestui perjuangan PERKASA. Manakala pemimpin DAP pula meyifatkan kenyataan Ku Nan itu sebagai silap mata dan bersandiwara untuk mengendurkan kebencian 'bukan Melayu' terhadap BN, sedangkan menurut mereka ramai ahli-ahli UMNO yang menjadi ahli PERKASA.

Melayu yang sudah berpecah tiga selama ini, kian menuju ke penghujung jalannya apabila hala tuju perjuangan Melayu tidak lagi sekata. PERKASA bukan sahaja dimusuhi oleh MCA, Gerakan, Parti Cinta Malaysia, MIC dan DAP hanya kerana pekat darah perjuangan Melayunya, malah hari ini UMNO sanggup pula menyisihkan rakan seperjuangan bangsanya itu demi untuk menjaga hati bangsa lain yang terangkum dalam gagasan 1MALAYSIA.

Pertubuhan-pertubuhan lain seperti Suqiu, Makhal Sakhti yang menyalakan api perjuangan bangsa masing-masing semakin naik tochang setelah saingan mereka PERKASA dimalukan oleh UMNO sendiri.

Demikianlah malangnya bangsa Melayu yang terjebak dengan sifat keliru dan celaru para pemimpinnya sendiri. Sampai bilakah kekeliruan dan kecelaruan ini akan berakhir sebelum Melayu dikudetakan di negaranya sendiri?

Wednesday, September 8, 2010

ROSLI SELAMAT DIBEDAH...


Ahmad Yahaya, Pengerusi PERKASA Setiawangsa ketika menziarahi Rosli di Hospital Gleanegles. Turut kelihatan Abd. Rahman Hashim (Kanan) dan Abidin Supardi (Tengah)



Foto atas & Bawah: Keadaan Rosli selepas tapak kakinya di bedah.

Tuesday, September 7, 2010

ROSLI JALANI PEMBEDAHAN TAPAK KAKINYA

Rosli Mohammad (Foto), Ketua UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa dimasukkan ke Hospital Gleneagles (Bilik 773) sejak semalam sebelum menjalani pembedahan kecil di telapak kaki kanannya. Kaki kanannya kelihatan membengkak memerlukan rawatan rapi bagi mengelakkan penyakit itu menjadi lebih serius.

Sebaik sahaja mendapat berita Rosli telah dimasukkan ke hospital berkenaan, maka maklumat ini serta merta dihebahkan kepada sahabat handai termasuk keluarganya sendiri. Diantara mereka yang menjengah Rosli di hospital malam tadi ialah Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Abdul Rahman Hashim, Abas Mohd. Dom, Samad Saim, Samsuri Shahrom, Radzi Jaafar, Roselan Abdul Rahman, Badrun Masan dan isterinya Fadilah Karim, Zulifilda Tamali, Jailani Mohamad serta anggota keluarganya.

Warga Semarakwangsa mendoakan agar Rosli dapat menjalani rawatan pada tapak kakinya itu dengan sempurna dan kembali sihat supaya ketibaan aidilfitri dapat dirayakan bersama.



Saturday, September 4, 2010

UNIT AMAL RAKYAT (UMARAK) DI SURAU SETAPAK JAYA 1A

Unit Amal Rakyat (UMARAK) Kelab Sukan & Rekreasi Wargakota Kuala Lumpur telah berkunjung ke Surau Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A pada Khamis lepas (2 September) untuk bersama-sama jemaah di sana menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawih.

(Foto - Datuk Astaman bersama pemimpin tempatan di Surau Rumah Setapak Jaya 1A)

Datuk Astaman Abd. Aziz, Pengerusi UMARAK turut serta bersama-sama rombongan ahli jawatankuasa Kelab Sukan yang diketuai oleh Rosli Mohammad (Yang Dipertua), Abdul Rahman Hashim (Timbalan Yang Dipertua), Roselan Abdul Rahman (Setiausaha) dan Radzi Jaafar (AJK). Turut bersama ialah Badrun Masan (Tim. Ketua Cawangan Taman Setapak Jaya), Yahaya Yahir (Tim. Ketua Cawangan Rampai Town), Haji Zulkapi Hussin (Bendahari PERKASA Setiawangsa).

Selepas selesai solat sunat tarawih rombongan UMARAK berkesempatan beramah mesra dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A yang terdiri daripada Ismail Silah (Pengerusi Surau), Ramli Sulaiman (Pengerusi Persatuan Penduduk), Awaludin Zaharin (Ketua UMNO Cawangan), Haji Abd. Rahim Abdullah (Pengerusi Tetap UMNO Cawangan) dan lain-lain ahli jawatankuasa masing-masing.

Datuk Astaman Abdul Aziz, Pengerusi UMARAK telah menyerahkan sumbangan amal sempena Ramadan untuk surau berkenaan kepada Pengerusinya, Ismail Silah.



Datuk Astaman bersama Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A, Ramli Sulaiman.


Beramah mesra dengan para jemaah.

Menikmati jamuan morey bersama pemimpin-pemimpin tempatan.

Thursday, September 2, 2010

UMNO BAHAGIAN SETIAWANGSA ANJUR BUKA PUASA 3 SEPTEMBER INI

UMNO Bahagian Setiawangsa akan mengadakan majlis berbuka puasa pada Jumaat ini, 3 September bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Memetik sumber maklumat yang diperolehi bahawa majlis ini terbuka kepada semua Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa 4 peringkat juga kepada semua Ketua Cawangan, Ketua Wanita Cawangan, Ketua Pemuda Cawangan dan Ketua Puteri UMNO Cawangan dalam Bahagian Setiawangsa.


Dijangkakan seramai 400 orang jemputan yang meliputi semua perwakilan cawangan ke Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa 11 Julai lalu akan menghadiri ke majlis tersebut.

Majlis seumpama ini diadakan sebagai memenuhi janji yang dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang menyatakan perkara ini di dalam ucapan penangguhannya di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa yang lepas.