Thursday, May 27, 2010

ZULHASNAN MASIH TERBAIK UNTUK SETIAWANGSA


Dato' Sri Zulhasnan, Dato' Halim Samad & Dato' Ahmad Fauzi Zahari

Apabila saya membaca 'posting' sebelum ini yang mengaitkan wujudnya tiga kepala di Setiawangsa yang dikatakan akan berentap dengan Dato' Sri Zulhasnan Rafique untuk merebut jawatan Ketua Bahagian, lantas saya terfikir siapakah gerangan di kalangan tokoh yang rapat dengannya begitu berani untuk beradu nasib tanpa menyukat keupayaan dan pengaruh yang dimiliki.

Setakat ini saya masih belum terasa adanya individu yang sebaris dengannya yang mampu untuk menggugat kedudukan Zulhasnan yang telah memimpin 'Bahagian Setiawangsa' sejak 2004 yang lalu. Saya bagaikan tidak percaya jika benar Dato' Halim Samad yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian begitu berminat untuk berentap dengan Ketuanya di musim pemilihan akan datang.

Saya juga mungkin terkejut jika ada pihak-pihak tertentu yang sengaja membuat andaian kononnya Dato' Ahmad Fauzi Zahari Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa bercita-cita besar untuk menjatuhkan orang nombor satu dalam Bahagian itu.

Sepanjang saya akrab dengan mereka, saya masih tidak terhidu wujudnya pakatan di antara kedua-dua tokoh ini sehingga mereka terdorong untuk menikam kepimpinan Zulhasnan. Hubungan baik di antara Zulhasnan, Halim dan Fauzi merupakan gandingan mantap yang perlu dipertahankan secara 'status quo' demi untuk memperkasakan UMNO di Bahagian ini di masa hadapan.
Memang lumrah berlaku dalam pencak poilitik yang menyaksikan kemunculan juragan-juragan yang gemar beraksi mengadu domba, malah ada yang berwatak kaki ampu serta tidak silu pula untuk mencucuk dan menabur fitnah sehingga berlakunya 'berantakan' sesama pemimpin yang tidak menjurus kebaikan kepada UMNO.

(Foto: Gandingan mantap tiga pemimpin kanan UMNO Bahagian Setiawangsa)

Gelagat politikus jenis inilah yang sebenarnya menjadi duri dalam daging yang bakal menjahanamkan hubungan baik yang sedia terjalin di kalangan pemimpin. Pada saya, golongan kiri jenis inilah juga yang sentiasa bersifat cemburu dan iri hati sehingga terpancar dendam kesumat yang tegar supaya wujudnya prasangka jahat di kalangan mereka itu.

Apakah tiga pemimpin utama Bahagian Setiawangsa iaitu Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Dato' Halim Samad dan Dato' Fauzi Zahari begitu rapuh pegangan mereka sehingga tergamak diperlakukan sedemikian rupa oleh 'penjual sate' yang hanya bijak menyucuk dan mengipas sebelum ianya dimamah oleh orang lain?

Bukankah gandingan tiga sejoli ini jika diperkuatkan akan menyaksikan seluruh komposisi di dalam Bahagian Setiawangsa berada di dalam kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan musuh sebenar iaitu 'Pakatan Rakyat' yang sentiasa mengintai peluang untuk merebut kerusi Parlimen Setiawangsa yang telah didominasi oleh Dato' Sri Zulhasnan sejak tahun 2004 hingga hari ini.

Seharusnya wujud kesedaran motivasi di kalangan 48 pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan di dalam Bahagian Setiawangsa termasuk kepimpinan sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puterinya supaya tidak terpengaruh dengan desiran angin yang menyatakan wujudnya pergeseran di kalangan pemimpin tertinggi UMNO Bahagian ini.

Pergeseran sesama sendiri wajarlah dielakkan kerana diantara kita bukanlah musuh sebenarnya. Jika kita masih tuli untuk membezakan yang mana satu kawan dan yang mana satu lawan, akhirnya kekeliruan itu akan menikam diri sendiri. Oleh itu pertikaman sesama kawan yang mencederakan itu janganlah sampai ke tahap membawa mala petaka kepada perjuangan UMNO.

'Setiawangsa' biarlah hendaknya terpancar suatu iltizam yang mencerminkan semangat kesetiaan untuk 'wangsa' yang lebih perkasa. Dato' Sri Zulhasnan disarankan supaya lebih bertekad untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang diwakilinya. Walaupun beliau telah kehilangan jawatan Menteri, namun hayat politiknya masih berdenyut.

Gandingan Sayap UMNO Bahagian Setiawangsa

Hairunnisha (Ketua Wanita), Azmi (Ketua Pemuda) Sriwani (Ketua Puteri)

Sokongan padu yang diberikan oleh semua 48 cawangan selama ini tidak mungkin menggugat dirinya untuk terus kekal di persada Setiawangsa. Manakala ketulusan sokongan yang ditunjukkan oleh Timbalannya, Naib Ketua, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri selama beliau menerajui UMNO Bahagian Setiawangsa membuktikan beliau masih relevan untuk diberikan sokonngan selanjutnya.

Jika ada pihak yang bercita-cita untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian di Setiawangsa ini bukanlah bermakna jawatan itu tidak patut dicabar, cuma biarlah ianya diganti sekiranya empunya badan tidak berdaya lagi untuk meneruskan khidmatnya. Proses demokrasi tidak menyekat mana-mana pihak untuk menawarkan diri bertanding merebut sesuatu jawatan, namun begitu pengaruh yang dimiliki oleh mereka yang terbaiklah yang bakal menjadi pilihan.

Saya optimis bahawa Dato' Sri Zulhasnan Rafique masih diperlukan bukan sahaja mengetuai UMNO Bahagian ini bahkan beliau masih terbaik untuk dikekalkan sebagai calon UMNO/BN di dalam PRU13 nanti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.