Sunday, April 25, 2010

SEBULAN BERGELAP....AKHIRNYA LAMPU FLAT DBKL SEKSYEN 10 WANGSA MAJU MENYALA SEMULA


Flat DBKL Seksyen 10 Wangsa Maju

Setelah aduan dibuat menerusi laman blog ini sejak dua minggu lalu, pihak DBKL akhirnya prihatin kerana kegelapan sejak 4 minggu berlalu kini kembali terang. Lampu tangga dan koridor di blok C9, C10 dan C11 Perumahan Awam DBKL R10 Wangsa Maju telah dipotong bekalan elektriknya oleh pihak TNB sejak 19 Mac, dan baru dua hari lalu telah dinyalakan semula.

Penduduk di tiga blok ini merasa kelegaan apabila dua hari yang lalu iaitu bermula pada 23 April 2010 semua lampu di bahagian tangga lima tingkat termasuk lampu di bahagian koridornya telah berfungsi semula. Namun begitu terdapat 3 blok yang berdekatan iaitu blok C12, C13 dan C14 masih bergelap.

Difahamkan ketiga-tiga blok milik DBKL iaitu C9, C10 dan C11 kini berada di dalam MC Sri Santubong yang menggabungkan juga blok C12, C13 dan C14. Mungkin berlaku masalah teknikal yang membabitkan strata title bagi kawasan MC Sri Santubong ini sehingga membabitkan pemotongan bekalan elektrik di bangunan premis berkenaan.

Ketua UMNO Cawangan Bukit Wangsa Abdul Rahman Hashim (Foto) ketika mengemukakan aduan ini kepada pihak DBKL pada dua minggu yang lalu telah dimaklumkan tentang permasalahan yang timbul setelah wujudnya pengurusan di Sri Santubong yang membabitkan 6 blok ini.

Beliau juga telah menghubungi pejabat cawangan DBKL Setiawangsa yang terletak di Taman Sri Rampai tentang pemotongan bekalan elektrik ini, dan pejabat cawangan DBKL itu telah meminta Abdul Rahman Hashim supaya segera menghubungi Jabatan Penilaian DBKL di Jalan Tun Razak untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan isu pemotongan bekalan elektrik di blok-blok yang terbabit.

Akhirnya desakan Abdul Rahman Hashim yang juga mewakili penduduk tempatan supaya bekalan elektrik yang terpotong selama ini disambung semula. Difahamkan juga bahawa alasan pemotongan itu ada kaitannya dengan isu penjualan rumah yang sedang ditawarkan oleh pihak DBKL kepada penyewa-penyewanya di blok C9, C10 dan C11.

Namun begitu, Abdul Rahman Hashim berkata bahawa alasan itu tidak munasabah kerana penyewa-penyewa di blok berkenaan masih belum memiliki rumah ini walaupun tawaran penjualan telah dibuat oleh pihak DBKL. Beliau juga telah meminta supaya pihak DBKL dapat segera bertindak untuk menyalakan semula lampu-lampu yang telah dipotong itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.