Thursday, April 8, 2010

BEKALAN ELEKTRIK FLAT DBKL DIPOTONG...

Oleh Abdul Rahman Hashim


Perumahan Awam DBKL Seksyen 10 Wangsa Maju..SIANG


Perumahan Awam Seksyen 10 Wangsa Maju....MALAM BERGELAP

Lebih tiga minggu penduduk flat DBKL di blok C9, C10 dan C11 Seksyen 10 Wangsa Maju telah mengalami kegelapan apabila lampu-lampu di bahagian tangga dan koridor blok 5 tingkat itu telah dipotong bekalan elektriknya oleh pihak TNB.

Menurut sumber yang dimaklumkan oleh penduduk tempatan, pihak TNB terpaksa mengambil tindakan memotong bekalan elektrik di semua tiga blok milik DBKL itu sejak tiga minggu yang lalu kerana pemilik bangunan ini dikatakan tidak menjelaskan tunggakan bil elektrik sehingga menyebabkan bekalannya disekat.

Pemotongan bekalan elektrik ini telah menimbulkan keresahan di kalangan penduduk yang menyewa blok-blok milik Datuk Bandar Kuala Lumpur itu kerana laluan di bahagian tangga dan koridor di blok berkenaan telah mengalami kegelapan terutama di sebelah malam.

Tiang-tiang lampu yang terdapat di halaman blok-blok berkenaan juga terlibat dengan pemotongan ini. Pada waktu malamnya Perumahan Awam DBKL di Seksyen 10 Wangsa Maju tidak lagi ceria seperti sebelumnya, malah dalam keadaan bergelap ini dibimbangi kemungkinan berlakunya kecurian motosikal dan kes-kes ragut yang membahayakan penduduk tempatan.

Mereka hairan dan terperanjat kerana pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur telah gagal menjelaskan tunggakan bil elektrik kepada pihak TNB sedangkan ianya merupakan tanggungjawab pihak DBKL untuk melunaskannya.

Terdapat 110 unit rumah yang merupakan 'rumah sewa' milik Datuk Bandar Kuala Lumpur telah didiami oleh penyewa-penyewanya sejak 23 tahun yang lalu. Blok C9 dan blok C10 masing-masing mempunyai 40 unit, manakala blok C11 pula mempunyai 30 unit. Ketiga-tiga blok perumahan awam DBKL ini telah ditawarkan oleh pihak kerajaan untuk dijual kepada penyewa-penyewanya baru-baru ini dengan harga jualan RM28,500.

NOTA:
Saya juga telah mengemukakan aduan kepada pihak DBKL mengenai masalah yang berbangkit seperti yang tertera di atas menerusi 'e-aduannya'.


2 comments:

  1. sampai bila keadaan mcm ni akan berlarutan??
    xde ape2 feedback pn dr DBKL.
    stahu sy aura sdr Rahman lebih hebat drpd nie, mungkin sdr Rahman sndri yg kne 'bersuara'wewakili penduduk..x perlu nk tggu persatuan penduduk..

    ReplyDelete
  2. Salam ,
    Tak faham betul polisi DBKL dan TNB bertindak menimbulkan masaalah Rakyaat . Kesian orang yang termangsa kerana tindakan potong bekalan di Seksen 10 wangsa maju.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.