Saturday, March 6, 2010

TEKAD NONG CHIK - SETIAWANGSA TERUS DIPERKASA, MANAKALA 6 KAWASAN PARLIMEN DI WP BAKAL KE PANGKUAN BN

Oleh: Abdul Rahman Hashim

Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan optimis dengan kekuatan yang dimiliki oleh UMNO Bahagian Setiawangsa terutama dalam menghadapi pilihan raya umum musim ke-13 nanti.

(Foto: Kiri - Datuk Raja Nong Chik, Kanan: Dato' Sri Zulhasnan Rafique)

Menurutnya, Parlimen Setiawangsa merupakan satu-satunya kawasan parlimen yang terdapat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dimenangi oleh Barisan Nasional dalam PRU12 yang lalu selain Parlimen Putrajaya di WP Putrajaya dan juga Parlimen Labuan di WP Labuan. Wilayah Persekutuan secara keseluruhannya mempunyai 13 buah kawasan Parlimen; tetapi BN telah tewas di sepuluh buah kawasan Parlimen iaitu di Segambut, Kepong, Titiwangsa, Cheras, Bandar Tun Razak, Seputih, Bukit Bintang, Wangsa Maju, Batu termasuk juga Parlimen Lembah Pantai.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar begitu yakin jika UMNO/BN dapat memberikan tumpuan dengan penstrukturan strategi yang lebih terancang bukan sahaja Parlimen Setiawangsa mampu dipertahankan, malah 6 kawasan parlimen yang pernah dimenangi oleh BN seperti Lembah Pantai, Batu, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan juga Batu juga bakal dikembalikan ke pangkuan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

Raja Nong Chik berkata demikian semasa beliau menyampaikan ucapan perasmian retreat UMNO Bahagian Setiawangsa yang bertemakan 'Program Pemantapan Politik (3P)' di Kem Ilmu Janda Baik, Bentong, Pahang kelmarin (5 Mac 2010). Lebih 200 peserta yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan seluruh Bahagian Setiawangsa telah mengambil bahagian di dalam kursus selama 3 hari itu yang akan berakhir pada ahad ini 7 Mac 2010.

Menurutnya lagi walaupun sokongan daripada pengundi-pengundi Cina masih belum menunjukkan peningkatan cenderung kepada BN, namun begitu beliau yakin pengundi-pengundi Melayu yang terdapat di tujuh kawasan parlimen berkenaan telah menunjukkan peningkatan untuk menyokong UMNO dan BN kali ini.

Justeru beliau mengharapkan supaya semua pemimpin UMNO di Wilayah Persekutuan terutama di tujuh kawasan parlimen ini dapat melipatgandakan usaha untuk mendekati rakyat menerusi program-program yang boleh dinikmati oleh rakyat terbanyak.

Semasa ditemui selepas selesai majlis perasmian, saya sempat bertanyakan kepada Raja Nong Chik tentang isu penjualan rumah PPR dan Perumahan Awam DBKL yang kini menjadi kerumitan di kalangan penghuninya untuk memperolehi pinjaman daripada pihak institusi kewangan, Raja Nong Chik berkata beliau akan mencari pendekatan terbaik untuk mempermudahkannya.

Sementara itu, Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa telah diberikan pujian oleh Raja Nong Chik kerana program retreat yang diadakan ini telah membuktikan bahawa pimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa tetap ampuh untuk berhadapan dengan cabaran politik yang bakal dihadapi untuk musim pilihan raya yang akan datang.

Sebagai Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Raja Nong Chik berkata beliau mahu menimba pengalaman yang dimiliki oleh Zulhasnan dalam menyusun jentera pilihan raya di kawasan Parlimen Setiawangsa, kerana menurutnya Zulhasnan terbukti telah berjaya mengemudi kemenangan dengan kekuatan jentera pilihan raya yang dipimpinnya selama ini.

Beliau juga kagum dengan semangat yang dimiliki oleh Zulhasnan walaupun beliau tidak lagi menjadi Menteri WP dan juga Pengerusi Perhubungan UMNO WP, namun Zulhasnan masih unggul malah sedang bekerja keras untuk mantapkan perjuangan UMNO di kawasan ini.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.