Friday, March 12, 2010

TASIK SRI RAMPAI BAGAIKAN LAGUNA RAMPAI

oleh Abdul Rahman Hashim


Sesiapa yang telah mendiami di kawasan Taman Sri Rampai dan Taman Setapak Jaya tentunya mengetahui bahawa di situ terdapat sebuah tasik yang kini menjadi mercu tanda kepada sebuah kawasan penempatan yang telah didiami oleh warganya sejak awal tahun 80an lagi.

Tasik itu yang dikenali sebagai 'Tasik Sri Rampai' (Foto) dahulunya merupakan sebuah lombong kini telah dinaikkan taraf oleh pihak DBKL sebagai taman rekreasi untuk kemudahan orang ramai beriadah secara santai di sepanjang 'jogging track' yang melingkari tasik tersebut. Di tasik ini juga sering mendapat tumpuan oleh mereka yang kaki pancing, terutamanya di sebelah petang.

Panoramanya sungguh menarik kerana tasik ini dikelilingi oleh pusat-pusat perniagaan seperti Pusat Bandar Rampai, Megan Sri Rampai, Rampai Business Centre dan juga taman-taman perumahan seperti rumah pangsa DBKL Setapak Jaya 1A, Pangsapuri DBKL Setapak Jaya 1B, Pangsapuri Jasmin, Pangsapuri Dahlia, Taman Sri Rampai, Taman Setapak Jaya dan juga Taman Setapak Permai yang telah menjadikan lokasi tasik ini bagaikan Laguna Rampai yang menjadi milik kebanggaan warganya.

Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah (Foto Kanan) yang tersergam indah di tebingan tasik ini juga telah menyaksikan bahawa laguna rampai ini tidak mudah dicemari dengan remaja berpeleseran, dan pelbagai anasir kebejatan sosial yang menyongsangkan maruah dan kesucian rumah ibadat di situ.

Laguna Rampai hendaknya juga tidak menjadi rampai gejala sosial yang bakal meruntuhkan nilai-nilai insaniah warganya. Biarlah Laguna Rampai memiliki jati dirinya untuk menyuburkan akal budi pengunjungnya yang inginkan kerehatan (rehlah) menyedut udara nyaman, berekreasi menyihatkan jasmani seterusnya dapat pula mewujudkan interaksi mesra rakyat.

Memang wajarlah pihak DBKL sebagai penguasa tempatan memberikan fokus terhadap pengindahan lanskapnya di samping merencanakan pelbagai kegiatan rekreasi dan interaksi sosial untuk disertai oleh penduduk tempatan dan pengunjungnya.

Daya usaha pihak pengurusan DBKL cawangan Setiawangsa yang dipimpin oleh Ahmad Tarmizi Baharom yang akan mengadakan aktiviti gotong royong membersihkan tasik ini pada 14 Mac, bermula jam 8 pagi haruslah disertai dengan iltizam oleh penduduk tempatan supaya tasik tersebut bakal menjadi LAGUNA RAMPAI yang akan menjadi mercu tanda 'Parlimen Setiawangsa'.

Penyertaan Syarikat Persada Tenaga Sdn Bhd milik Dato' Ahmad Fauzi Zahari dan Azhar Kasim yang menjadi penggerak (Penganjur) kepada Pertandingan Memancing 1Malaysia yang akan diadakan di laguna ini pada 21 Mac depan, menjadi bukti bahawa sektor korporat juga mempunyai tanggungjawab sosialnya untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

(Foto: Tarmizi Baharom, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Setiawangsa DBKL)

Untuk tujuan itu, Dato' Ahmad Fauzi Zahari (foto kiri) yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa dijangka akan melepaskan ikan-ikan di Laguna Rampai ini pada 17 Mac depan, manakala pertandingan memancing pula akan diadakan pada 21 Mac 2010 , 8 pagi yang akan dirasmikan oleh YB Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Foto Kanan), Ahli Parlimen Setiawangsa.

Saya sendiri juga telah diberikan penghormatan menghadiri mesyuarat jawatankuasa gotong royong membersih Tasik Sri Rampai sempena pertandingan memancing 1Malaysia ini yang diadakan pada 10 Mac lalu bertempat di bilik mesyuarat pejabat cawangan DBKL Setiawanga di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Encik Ahmad Tarmizi Baharom, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Setiawangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Encik Azhar Kasim yang mewakili Syarikat Persada Tenaga Sdn Bhd, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam DBKL Setapak Jaya 1A, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam DBKL Desa Rejang, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Semarak dan juga wakil daripada Jabatan Pertahanan Awam serta wakil RELA.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.