Friday, March 12, 2010

BENGKEL MOTOR DIROBOHKAN, KALOI JUARA RAKYAT!

oleh Abdul Rahman Hashim

Sahabat saya saudara Azhar@kaloi benar-benar telah menjiwai slogan 1Malaysia yang menuntut agar semua pemimpin di pelbagai peringkat mendahulukan kepentingan rakyat jika benar-benar kita mendokong aspirasi rakyat dan juga menjadi 'Juara Rakyat' sebagaimana yang disarankan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Semarak, Azhar@kaloi turut resah dan gelisah apabila berlakunya perobohan sebuah bengkel motor berdekatan dengan PPR Sg. Bonus oleh segerombolan penguatkuasa DBKL dua tiga hari yang lepas.

Azhar@kaloi tidak berasa senang hati dengan tindakan itu kerana beliau berpendapat mangsa perobohan itu wajar diberikan peluang untuk meneruskan perniagaannya di situ, malah beliau mahukan agar semua pemimpin yang terdapat di kawasan ini memberikan pembelaan yang sewajarnya kepada golongan rakyat yang memerlukan sedikit perhatian daripada pemimpin setempat.

Azhar@kaloi menyatakan kekecewaannya dengan insiden ini kepada saya melalui percakapan dalam telefon hari ini. Beliau turut kesal kerana Naiji Bin Mohamad atau dikenali oleh penduduk di situ sebagai 'akoi' iaitu mangsa perobohan itu yang dilihatnya tanpa mendapat simpati dan juga pembelaan daripada kalangan pemimpin masyarakat, seterusnya beliau mahukan agar pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat Bahagian Setiawangsa terutamanya wakil rakyat parlimen Setiawangsa dapat bertindak cepat untuk menyelesaikan masalah itu.

Sebagaimana biasa, Azhar@kaloi telah semboyankan kes ini kepada semua rakan-rakan pemimpin dan saya percaya Dato' Halim Samad Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dato' Ahmad Fauzi Zahari Naib Ketua UMNO Bahagian dan juga Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ahli Parlimen Setiawangsa turut tidak terkecuali daripada menerima 'semboyan sms' daripada telefon bimbitnya bernombor 012-9263652.

Saya tidak pasti apakah dengan langkah menghebohkan kejadian ini kepada semua pemimpin di Bahagian Setiawangsa maka 'Akoi' pemilik bengkel motor berkenaan akan memperolehi semula barang-barang berupa peralatan bengkel yang telah dimusnahkan oleh pasukan pemusnah (direkktorat) DBKL itu?

Walaupun saya tidak yakin bahawa barang-barang dalam bengkel itu akan diperolehi semula oleh pemilik bengkel berkenaan, namun saya tetap percaya bahawa Azhar@kaloi mempunyai nawaitu yang tulus iaitu mahukan supaya semua peringkat pemimpin masyarakat samada dalam NGO mahupun di dalam UMNO supaya tidak leka dengan tanggungjawab yang digalas selama ini untuk memberikan pembelaan kepada rakyat, barulah UMNO boleh menjadi JUARA RAKYAT, katanya.

Secara peribadi saya nyatakan di sini, sepatutnya warga PPR di kawasan itu tidak rasa terpinggir daripada memperolehi pembelaan, kerana di situ sahaja difahamkan terdapat lima enam pemimpin (Ketua Cawangan) yang turut menjadi penghuni PPR samada di PPR Sg. Bonus, PPR Sri Semarak dan juga di PPR Kg. Baru Air Panas. Ada juga di kalangan mereka yang menduduki AJK UMNO Bahagian Setiawangsa.

Tidak kurang juga adanya pemimpin-pemimpin pertubuhan yang lainnya seperti Persatuan Penduduk, pemimpin-pemimpin rumah ibadat, pemimpin-pemimpin belia dan bermacam-macam lagi jenama pemimpin di situ. Saya percaya semua pemimpin-pemimpin besar ini cukup terlatih dan berwibawa untuk mengendalikan keresahan yang dialami oleh rakyat di tempat masing-masing.

Semua mereka ini boleh menjadi jambatan bukan sahaja kepada wakil rakyat bahkan mereka juga sepatutnya boleh menjadi benteng terawal untuk berhadapan dengan kemelut yang menimpa rakyat. Kepada Azhar@kaloi, saya juga ingin mengesyorkan supaya anda menggunakan kebijaksanaan dan pengaruh anda untuk menambat hati rakyat dan meyakinkan warga di situ bahawa sebenarnya UMNO bukanlah menjadi pengkhianat rakyat, kerana agenda perjuangan UMNO bukannya untuk mengkhianati dan menganiaya rakyat.

Azhar@kaloi juga seorang pemimpin UMNO, dan tentunya UMNO berterima kasih kepada anda kerana anda telah menunjukkan sikap prihatin kepada permasalahan rakyat. Menjadi lebih manis jika anda teruskan perjuangan ini secara bergandingan dengan rakan-rakan pemimpin yang lain yang terdapat di tempat anda. Sememangnya kita harus menjadi pemimpin yang menjuarai rakyat dan bukan menjadi sebaliknya. Budaya menjaga hati rakyat haruslah menebal di kalangan pemimpin UMNO.

Nampaknya DBKL juga harus diberikan suntikan motivasi untuk lebih menjaga hati rakyat. Tindakan meruntuh dan meroboh adalah satu tindakan yang dilihat oleh rakyat sebagai kejam. Walaupun prosedur memberikan notis telah dikeluarkan kepada mereka yang berkenaan, namun tindakan mengadakan perundingan adalah lebih manis untuk menjiwai pendekatan yang dimahukan oleh Dato' Sri Najib iaitu mendahulukan raktyat!


1 comment:

  1. Suka dicadangkan pihak tuan mengadakan suatu program ceramah tertutup bertajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH. Group nie terdiri daripada anak-anak murid tok guru pondok yang giat berdakwah menyedarkan masyarakat tentang kekufuran PAS dari segi aqidah. Mereka hanya perlu sponser tempat tinggal, duit minyak dan sagu hati (sekadarnya) aje. Jika berminat, boleh hubungi Sdra. Saiful di talian 013-3655 715 untuk perbincangan lanjut

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.