Tuesday, February 23, 2010

JALAN PINTAS KG. SEMARAK - KG. BARU AIR PANAS SERINGKALI SESAK

Apadah jadi...lampu isyarat yang berada di simpang tiga di antara jalan pintas Kg. Semarak dan Jalan Air Keroh Dalam samada yang menghala ke Air Panas mahupun ke Setapak Jaya dilihat semakin mengalami kesesakan, terutamanya di waktu pagi dan petang kerana pada masa berkenaan jalan ini digunakan untuk mereka yang hendak ke tempat kerja yang menghala ke pusat bandar.

Begitu juga, kesesakan berlaku di waktu petang apabila kenderaan begitu bertali arus bermula di persimpangan Jalan Semarak/Jalan Padang Tembak berdekatan dengan Pulapol sehinggalah ke persimpangan menuju ke PPR Seri Semarak di Air Panas.

Jalan pintas yang melalui Kg. Semarak ini dikatakan terlalu sempit untuk menampung laluan dua hala yang digunakan oleh kenderaan yang berulang alik ke pusat bandar. Keadaan sesak ini dilihat semakin menyulitkan lagi apabila pelajar-pelajar sekolah menggunakan jalan kampung ini menuju ke Sekolah Padang Tembak.

Sebahagian besar pelajar-pelajar sekolah ini berjalan kaki daripada PPR Seri Semarak dan juga PPR Sg. Bonus, kerana sebelum ini pelajar-pelajar berkenaan tinggal di Kg. Semarak sebelum mereka di tempatkan di penempatan baru di PPR Sg. Bonus dan PPR Seri Semarak sejak 3 tahun yang lalu.

Begitu juga kebanyakan penduduk yang tinggal di Taman Setapak Jaya dan Taman Seri Rampai malah penduduk Wangsa Maju juga merupakan pengguna harian jalan raya pintas ini, kerana mereka merasakan jalan raya ini merupakan jalan alternatif untuk ke tempat kerja masing-masing di pusat bandar.

Jalan Genting Klang/Setapak dikatakan bukan lagi menjadi pilihan untuk mereka yang hendak menuju ke Jalan Semarak, Jalan Padang Tembak dan juga menghala ke pusat bandar. Jalan ini sering menghadapi kesesakan yang melampau kerana ia juga digunakan oleh kenderaan dari arah Danau Kota, Taman Bunga Raya, Taman Melawati, Wangsa Melawati dan juga dari arah Taman Melati Gombak.

Kerja-kerja membaiki dan pembesaran jalan di sepanjang Jalan Genting Klang yang masih belum siap telah menambahkan lagi kesulitan pengguna jalan raya terutamanya di waktu pagi. Oleh itu diharapkan pihak berkaitan samada DBKL ataupun pihak berkuasa yang berkaitan dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah ini, terutamanya jalan pintas di Kampung Semarak supaya dapat dilebarkan lagi.


1 comment:

  1. traffic light tu puncanya..
    sebelum ni semua lancar..
    skrg hari ahad pun sesak kat sana..
    dan klu boleh buat la susur dr semarak ke air panas, xpyhla tunggu sampai ke simpang trafic light tu..
    camnela org xmarahj..
    yg buat kerja main pacak je tak kaji dulu..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.