Friday, November 5, 2010

NAIB KETUA DAN PSU PEMUDA SETIAWANGSA LETAK JAWATAN, M. RAZALI DIPECAT?

Oleh Mohd. Radzi Jaafar

Apa dah jadi dengan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa....Naib Ketua Pemudanya Hameli Mohamed (foto kiri) dan Penolong Setiausaha Pemuda Shamsul Jamalludin telah pun meletakkan jawatan masing-masing?

Sebagai seorang yang pernah bergelumang dengan Pergerakan Pemuda, saya turut terpanggil untuk membuat sedikit ulasan dan juga pandangan terhadap senario Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa yang kini disaluti dengan kemelut berbaur 'krisis anak beranak' bagaikan tersampuk hantu.

Saya agak terperanjat dengan perkembangan yang berlaku ini, kerana ia melibatkan pembesar-pembesar kanan kepada sayap terpenting UMNO Bahagian yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique. Azmi Badarudin (Foto kanan di atas) yang mengetuai Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa hendaklah melihat masalah ini secara tuntas dan harus ada agenda terbaik untuk meredakan ketegangan dengan berpaksikan kepada jati diri pemuda itu sendiri.

Barisan G10 Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa

Amat malang sekali jika isu perletakan jawatan kedua-dua mereka ini bukan bersebab dengan pertelagahan dalaman Pemuda, sebaliknya ia tercetus dengan sebab tekanan yang kuat dari lembaga hitam yang telah mencengkam beberapa kerat di dalam kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian.

Gandingan mantap pimpinan Azmi dan Hameli selama ini dilihat begitu serasi, malah rata-rata di kalangan pimpinan Pemuda di peringkat cawangan merasakan selepas Azmi ialah Hameli yang layak memimpin Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa. Tetapi isu Hameli yang telah meletakkan jawatannya walaupun dikatakan dibuat secara maklumat sms kepada pihak tertentu, namun ia cukup memberi impak terhadap kestabilan Pemuda.

Saya hampir tidak percaya dengan perkembangan ini, malah saya bagaikan tidak mahu mempercayainya. Namun apabila empunya diri (Hameli) menyatakannya kepada saya, maka saya beranggapan maklumat berkenaan adalah sahih. Sebelum ini pun saya bagaikan tidak mempercayainya apabila dikhabarkan Shamsul@Seventh (Foto kiri) juga telah meletakkan jawatan sebagai Pen. Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian.

Bukan itu sahaja malah salah seorang daripada Exco Pemuda UMNO Bahagian itu (M. Razali Ibrahim) yang bertaraf exco lantikan turut menerima tekanan untuk dipecat. Operasi pemecatan dan perletakan jawatan ini telah berlaku selepas musim persidangan perwakilan peringkat Bahagian baru-baru ini.

Difahamkan operasi itu boleh terjadi kerana mereka yang berkenaan ini dihidu oleh pihak tertentu sebagai penyokong kepada tokoh tertentu yang tidak sehaluan dengan payung tertentu yang memayungi tokoh tertentu dalam Pemuda. Jika itulah bentuk tekanannya, saya bagaikan boleh tergelak sendiri melihat gelagat pencatur politik yang bergentayangan di dalam Bahagian Setiawangsa ini sehingga menjatuhkan martabatnya mencampuri urusan rumahtangga orang lain.

Begitu juga saya bagaikan tidak mahu mempercayai benarkah Azmi Badarudin sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa sering tersasar dan hilang kawalan tatkala berhadapan dengan arus tekanan tersebut. Beliau dikatakan terlalu dikongkong oleh pihak tertentu di luar Pemuda, malah 'siaran sering tergendala' kerana alat pemancar (Remote Control) tidak dalam genggamannya.

Disebabkan Azmi telah kehilangan rentaknya, maka difahamkan Ketua Pemuda Bahagian itu terpaksa berbuat sesuatu untuk memantapkan semula dirinya yang tidak lagi diyakini oleh beberapa pihak di dalam saf pimpinannya itu dengan penyusunan semula jemaah kabinetnya. Shamsul Jamalludin yang telah meletakkan jawatan sebagai PSU telah dilantiknya semula sebagai ahli jawatankuasa menggantikan M. Razali, manakala Fauzee Shahar (Foto Kanan) telah dilantik sebagai PSU menggantikan Shamsul.

Pada saya jika itulah permainannya, adalah lebih baik mengekalkan sahaja Shamsul sebagai PSU dan bukannya meletakkan Shamsul di tahap ahli jawatankuasa biasa. Saya lebih merasakan kebijaksanaannya, jika Azmi dapat memujuk semula Hameli supaya tidak disisih dari jawatan yang disandangnya itu. Saya percaya Hameli bukannya berbalah dengan Azmi, cuma Hameli merasakan dirinya telah ditekan oleh pihak tertentu yang melilit Azmi.

Saya masih menaruh harapan agar kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa dapat mencari formula terbaik mengekalkan jati dirinya daripada terjebak dengan kongkongan pihak tertentu yang tidak ada kaitan dengan aura Pemuda.

Budaya cantas mencantas hendaknya janganlah diamalkan di dalam era Pemuda ini, sebaliknya Pemuda hendaklah mencambahkan daya fikir anggotanya supaya membudayakan kesatuan hati untuk merakyatkan UMNO di peringkat akar umbi. Saya masih optimis, Azmi boleh malakukannya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.