Sunday, July 25, 2010

KELUMPUK CAMAR GOTONG ROYONG MEMBERSIH KAWASAN

Penduduk di Kelumpuk Camar AU3 hari ini telah keluar beramai-ramai bergotong royong membersihkan kawasan sekitar. Lebih daripada 100 orang penduduk Kelumpuk Camar A, B dan C telah mula berkumpul pada jam 8 pagi untuk memulakan gerak kerja secara bergotong royong yang berakhir kira-kira pukul 12.15 tengahari.

(Foto Kiri: Abas Mohd. Dom, Ketua UMNO Cawangan Kelumpuk Camar)

Gotong royong ini adalah anjuran bersama UMNO Cawangan Kelumpuk Camar dan juga Persatuan Penduduk Kelumpuk Camar. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga turut memberikan kerjasama dengan menyediakan beberapa buah lori untuk memunggah sampah sarap dan bahan-bahan buangan yang telah dibersihkan termasuk dahan-dahan pokok yang dicantas.

Turut serta di dalam kerja gotong royong ini ialah Datuk Astaman Abdul Aziz yang juga Penasihat Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur. Beliau bersama-sama dengan Roselan Abdul Rahman Setiausaha Kelab Sukan & Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur dan ahli jawatankuasa Kelab Mohd. Radzi Jaafar telah bersama-sama dengan penduduk tempatan melakukan kerja-kerja pembersihan.

Abas Mohd. Dom, Ketua UMNO Cawangan Kelumpuk Camar mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan di atas semangat kerjasama yang telah ditunjukkan sepanjang gotong royong ini diadakan.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa Kelab Sukan & Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur amat menghargai di atas keprihatinan Datuk Astaman yang telah menyediakan kontraktor untuk membaik pulih longkang berjeriji yang sering menjadi laluan kenderaan oleh penduduk tempatan.

Penduduk tempatan yang menggunakan laluan ini untuk memasuki parkir kenderaan yang terletak berhampiran dengan longkang jeriji ini sering berhadapan dengan risiko sehingga tayar kenderaan memasuki longkang tersebut. Hari ini masalah itu telah berjaya di atasi apabila kerosakan langkang tersebut telah ditutupi dengan simen.

Abas Mohd. Dom juga menyatakan kegembiraannya kerana penduduk di Kelumpuk Camar ini bakal menerima kemudahan gelanggang futsal yang disediakan oleh DBKL. Roselan Abd. Rahman Setiausaha Kelab Sukan & Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur pula menghargai di atas kesediaan pihak DBKL menyumbangkan gelanggang futsal untuk kegunaan penduduk tempatan terutama anak-anak muda yang meminati acara sukan ini.

Menurutnya, Kelab Sukan dan Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur akan bekerjasama dengan UMNO Cawangan ini untuk memanfaatkan arena futsal yang bakal dibina di Kelumpuk Camar ini.

1 comment:

  1. Salam,

    Tahniahlah buat Abas Md.Dom Jae dan rakan-rakan yang turut bersama persatuan yang terus memberi khidmat pada masyarakat dikediaman Kelompok Camar .

    Semuga usaha yang murni ini menjadi ikutan kepada seluruh pengiat masyarakat .

    Semuga diberikan kesihatan yang baik kepada warga Kelumpuk Camar .

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.