Tuesday, June 22, 2010

ZULHASNAN AKAN SERAH USUL PERUMAHAN KEPADA MUHYIDDIN YASSIN 11 JULAI INI

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dijangka akan menerima satu 'Usul' yang menyentuh masalah penjualan rumah pangsa PPR dan Perumahan Awam DBKL.

Usul ini dikatakan akan diserahkan sendiri oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique semasa majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa yang bakal berlangsung pada 11 Julai nanti oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Isu yang membabitkan penjualan rumah PPR dan Perumahan Awam DBKL masih hangat diperbahaskan oleh warga kota Kuala Lumpur terutama di kalangan mereka yang terbabit dengan isu ini. Lebih 60 ribu unit rumah PPR dan Perumahan Awam DBKL dikatakan terlibat dengan dasar penjualan tersebut, manakala kurang separuh daripada jumlah itu dikatakan tidak menunjukkan respon yang positif kerana mereka menghadapi halangan dengan pihak bank untuk mendapatkan pinjaman bagi tujuan pembelian rumah-rumah tersebut.

Di Parlimen Setiawangsa ini, terdapat beberapa kawasan perumahan PPR dan Perumahan Awam DBKL yang terlibat dengan dasar penjualan itu, antaranya ialah di PPR Sungai Bonus, PPR Seri Semarak dan PPR Kg. Baru Air Panas.

Sementara itu isu yang sama juga dihadapi oleh penduduk Perumahan Awam DBKL di Seksyen 10 Wangsa Maju yang membabitkan tiga blok iaitu blok C9, C10 dan blok C11. Sebahagian besar daripada penyewa yang menghuni di 110 unit itu kini meraih simpati pihak kerajaan supaya kaedah pembayarannya dapat dipermudahkan.

Menurut kata Ketua UMNO Cawangan Bukit Wangsa Abdul Rahman Hashim, sebahagian besar daripada penghuni di sini telah menyewa dengan pihak DBKL sejak tahun 1987 lagi. Setelah Dato' Sri Najib Tun Razak Perdana Menteri mengumumkan penjualan unit-unit rumah pangsa milik DBKL kepada penyewanya pada tahun lalu, rakyat dilihat telah menyambut baik, malah mereka berpendapat inilah peluang terbaik untuk mereka memiliki rumah tersebut.

Namun begitu, penghalang terbesar kepada dasar 'Satu Keluarga Satu Rumah' sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu ialah masalah pembiayaan pinjaman bank yang dihadapi oleh mereka yang hilang kelayakan untuk membuat pinjaman.

Perumahan Awam DBKL Desa Rejang juga terlibat dengan penjualan rumah ini. Manakala penghuni-penghuni yang menyewa di Perumahan Awam DBKL Setapak Jaya 1A juga tidak mahu mereka dianak tirikan. Difahamkan Persatuan Penduduk dan juga UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A sedang berusaha gigih supaya 10 blok yang terdapat di kawasan perumahan ini turut dijual kepada mereka.

Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa turut merasakan kegelisahannya kerana beliau sendiri mendapat maklum balas daripada sebahagian besar penduduk yang terbabit yang mahukan supaya kaedah pembiayaannya dapat dipermudahkan.

Oleh yang demikian, di atas kesedarannya untuk memberikan pembelaan kepada rakyat dalam menghadapi kemelut ini, maka Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa itu bercadang untuk mengemukakan usul perumahan ini di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang akan diadakan pada 11 Julai ini, supaya kaedah pembayarannya dibuat secara konsep 'Sewa Beli'.

Menurutnya, sistem sewa beli ini mungkin merupakan satu formula yang boleh diterima oleh mereka yang terbabit, kerana penyewa asal dikehendaki melunaskan jumlah keseluruhan harga rumah yang ditawarkan itu secara ansuran (bulanan) kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Penghuni yang terbabit juga dikehendaki menandatangani perjanjian sewa beli dengan pihak DBKL. Hari ini mereka yang terbabit menyewa rumah pangsa DBKL hanya terikat dengan perjanjian sewaan yang dibuat dengan pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.