Friday, June 11, 2010

PEMBANGUNAN KG. BARU - PANDANGAN ZULHASNAN....TINGKATKAN NILAI HARTANAHNYA UNTUK PEMILIKAN KEKAL MELAYU 100%!

Oleh Abdul Rahman Hashim

(Berikut ini petikan daripada pandangan yang dikemukakan oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique, mantan Menteri Wilayah Persekutuan berkaitan dengan isu pembangunan Kg. Baru yang telah disiarkan oleh akhbar Berita Harian bertarikh 7 Jun 2010. Saya berpendapat pandangannya begitu konstruktif dan amat relevan untuk dijadikan rujukan)


USAHA membangunkan Kampung Baru, di ibu negara sudah sekian lama digiatkan kerajaan. Sejak Pilihan Raya 2004, usaha pembangunan dan pengurusan kampung itu dilaksanakan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
(Foto Kanan: Dato' Sri Zulhasnan Rafique, Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan mantan Menteri Wilayah Persekutuan)

Pelbagai pendekatan, idea, s
trategi dan kaedah pelaksanaan cadangan pembangunan Kampung Baru sudah disiap, diutarakan kepada pemilik dan penduduknya untuk menjayakan usaha itu. Ia bertujuan untuk memberi peluang mereka turut serta dalam proses pembangunan Kampung Baru, kawasan strategik milik Melayu di tengah Bandar Raya Kuala Lumpur.

Pada 2005, kerajaan memulakan projek pembangunan di situ dengan membuka Pejabat Unit Khas Pembangunan Kampung Baru di Jalan Hamzah. Ia dianggotai pegawai Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan. Unit itu bertindak sebagai pejabat pengurusan tanah Kampung Baru bagi membantu menyelesaikan isu pemberi milikan tanah.

Your browser may not support display of this image.Pada 2006, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) memperuntukkan RM100 juta khusus bagi tempoh lima tahun untuk mempertingkatkan prasarana sedia ada di Kampung Baru dan pembangunan di tanah milik DBKL.

Kerajaan juga menerusi Kementerian Wilayah menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Pembangunan Kampung Baru yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan; dan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Kampung Baru yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian.

Your browser may not support display of this image.Pada 2007, kerajaan memulakan beberapa mesyuarat bagi memantapkan cadangan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB). Pada masa sama, kementerian menerusi DBKL melakar draf pelan khusus untuk pembangunan dinamakan Draf Pelan Tempatan Kampung Baru yang terkandung dalam Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020; yang diuar-uarkan kepada rakyat pada 2008.

Sehingga hari ini, pembangunan Kampung Baru masih menjadi isu sensitif. Ia bukan saja membabitkan rakyat tempatan, malah juga kerajaan, badan bukan kerajaan, pa
rti politik dan akhirnya pandangan mata seluruh negara. Pembangunan kawasan itu perlu dilihat daripada aspek kepentingan strategik dan kritikal orang Melayu di Kuala Lumpur.

"Kampung Baru boleh dibangunkan dengan berkesan, mempertingkatkan nilai hartanah orang Melayu dan memberi pulangan berterusan serta berkekalan kepada orang Melayu yang menjadi pemilik tanah di kampung itu"

(Dato' Sri Zulhasnan Rafique)

Justeru, semua pihak wajar bersabar, bertenang dan melihat apakah isu utama yang seharusnya diselesaikan sebelum Kampung Baru boleh dibangunkan dengan berkesan, mempertingkatkan nilai hartanah orang Melayu dan memberi pulangan berterusan serta berkekalan kepada orang Melayu yang menjadi pemilik tanah di kampung itu.

Ia juga satu usaha yang akan membawa Kampung Baru ke persada pembangunan abad ke-21 dan kemajuan kepada pemilik tanah selain memastikan warga kampung itu tidak ketinggalan mengecapi nikmat arus pembangunan negara.

Ada beberapa isu asas perlu diselesaikan sebagai titik permulaan pembangunan Kampung Baru. Pertama, isu status tanahnya. Ramai berpendapat atau menyangka Kampung Baru ialah tanah rizab Melayu. Ia tidak tepat. Sebenarnya ia tanah bebas milik bersyarat iaitu tidak boleh dipindah milik dan hanya boleh diduduki orang Melayu.

Jadi untuk membangunkan Kampung Baru, perkara pertama harus dilakukan ialah menyelesaikan isu status tanah ini. Bagaimana ia dapat dilakukan? Ada beberapa pilihan kepada pemilik. Antaranya, melalui proses pengambilalihan tanah oleh kerajaan pada kadar harga dipersetujui pemilik atau berdasarkan nilaian semasa harga tanah. Hanya kerajaan menerusi Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Kabinet, berupaya menukar status tanah itu.

Persoalan yang timbul apakah jaminan kepada pemilik bahawa penjualan atau pengambilalihan tanah oleh kerajaan tidak akan menghilangkan terus hak mereka ke atas tanah itu? Bagaimana kerajaan menentukan kepentingan orang Melayu Kampung Baru terbela jika tanah itu terus diambil kerajaan? Selepas pemilik menjualkan tanah, mereka masih berhasrat menetap di Kampung Baru selepas kawasan ini dibangunkan.

Ada pemilik mungkin berhasrat membangunkan tanah mereka secara sendirian atau menerusi usaha sama pihak ketiga. Jawapannya adalah kepada kesungguhan politik kerajaan dalam menjamin masa depan orang Melayu Kampung Baru.

Sebagai kawasan yang ditadbir terus Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Wilayah, isu ini dapat diselesaikan terus pada peringkat pusat atau Kabinet. Perdana Menteri dan jemaah menteri boleh menetapkan syarat mengenai kaedah pengambilalihan tanah Kampung Baru selepas dipersetujui semua pihak terbabit, bagi melindungi kepentingan pemilik tanahnya, pada mesyuarat Kabinet.

Yang penting adalah menjaga kepentingan pemilik tanah dan menjamin tanah keramat ini kekal di tangan orang Melayu, walaupun selepas dibangunkan. Pilihan seterusnya jika perlu, kerajaan boleh membuat keputusan menukar status tanah Kampung Baru kepada pajakan selama 25, 30, 60 atau 99 tahun, mengikut keperluan pembangunan dan persetujuan pengeluar dana kepada pembangunan iaitu institusi kewangan.

Beberapa syarat boleh dikenakan untuk mengelak syak wasangka kepada pemilik. Antaranya, mensyaratkan tanah boleh dipajak hanya kepada pihak yang akan membangunkan Kampung Baru. Dengan ini, isu pemilikan tanah tidak akan timbul kerana selepas tamat pajakan, tanah kembali kepada pemilik asal. Penyelesaian isu pemilikan tanah adalah permulaan kepada kejayaan usaha membangunkan Kampung Baru.

Isu seterusnya ialah Pelan Pembangunan Kampung Baru. DBKL sudah mencadangkan Pelan Pembangunan Kampung Baru dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur pada 2008. Ia dibincang dan dibahaskan semua pihak. Pelan itu merangkumi segala aspek pembangunan, termasuk lot komersial, perumahan dan tapak rizab bagi kemudahan awam.

Ia peta pembangunan yang memberi gambaran menyeluruh kepada rakyat terutama pemilik tanah Kampung Baru, mengenai cadangan ke atas tanah milik. Justeru, ia memberi gambaran nilai sebenar tanah pemilik mengikut pelan yang dicadangkan. Semua pihak harus memberi masa supaya pelan itu dapat dipersetujui dan diwartakan terlebih dulu. Jika tidak, usaha pembangunan Kampung Baru tidak dapat dilaksanakan sebab harga tanah tidak dapat ditentukan secara khusus dan tepat.

Pewartaan pelan ini juga satu tanda keprihatinan dan kesungguhan kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL dalam membangunkan Kampung Baru secara teratur dan menyeluruh. Cadangan menubuhkan PPKB adalah bernas dan perlu diperhalusi untuk memastikan pihak yang menguruskan pembangunan Kampung Baru mampu melaksanakannya dengan berkesan.

PPKB wajar diperbadankan menerusi satu Akta Parlimen bagi menentukan ketelusan serta tanggungjawab, peranan dan fungsinya. Antara pihak yang wajar menjadi pemegang saham PPKB adalah Kerajaan Pusat menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC berkepentingan Melayu) yang mempunyai dana dan kepakaran, contohnya PNB dan Tabung Haji.

Dana pinjaman pembangunan pula boleh didapati daripada kerajaan, KWSP dan institusi kewangan korporat. Pemegang saham yang dicadangkan ini akan menjaga kepentingan pemilik tanah Kampung Baru, di samping memberi pulangan kepada caruman dan pelaburan rakyat yang dibuat menerusi ASB, ASN, Tabung Haji dan jika perlu, saham tertentu contohnya 'Kampung Baru Property Reit'.

PPKB diberi tanggungjawab membeli semua tanah daripada pemilik yang bersetuju menjual tanah dan menjadi pemegang amanah kepada tanah itu. Menerusi pembabitan PPKB yang diperbadankan, pembangunan Kampung Baru dapat dilaksanakan dengan melantik golongan profesional untuk merancang dan melaksanakan pembangunannya sambil memberi gambaran serta jaminan kepada pemilik bahawa kerajaan mengambilalih tanah itu untuk meningkatkan nilai hartanah, memberi pulangan kepada pemilik dalam jangka waktu panjang serta memberi pilihan lebih tepat untuk menjaga kepentingan semua pihak.

Ia akan menjamin tanah Kampung Baru tetap menjadi 100 peratus milik orang Melayu dan pembangunannya diurus tadbir kerajaan dan pemilik sendiri. Penyelesaian isu itu akan menjadi wadah kepada titik permulaan pembangunan Kampung Baru berwawasan, sejajar aspirasi semua pihak.

Untuk menjadi kenyataan, rakyat Kampung Baru harus bekerjasama dengan kerajaan dalam satu gagasan supaya hasrat pembangunan Kampung Baru tercapai sebagai satu legasi pusat tamadun Melayu dinamik dan berjaya.

Sudah tentu misi pembangunan Kampung Baru menjadi pemangkin ke arah memperkasakan Melayu Bandar. Insya-Allah!

Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Petikan: Berita Harian - 7 Jun 2010.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.